Adakah penstabil faktor teraruh hipoksia berkesan untuk pengurusan anemia dalam kalangan orang dengan penyakit buah pinggang kronik?

Apakah isunya?

Anemia (pengurangan paras sel darah merah dalam edaran) adalah lazim dalam kalangan orang dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD). Anemia dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular, jangkitan dan kematian. Penstabil faktor teraruh hipoksia (HIF) kini tersedia untuk pengurusan anemia dan boleh diambil melalui mulut, oleh itu mengelakkan suntikan.

Apa yang kami lakukan?

Kami menilai sama ada penstabil HIF bermanfaat untuk kanak-kanak dan orang dewasa dengan CKD untuk menguruskan anemia. Kami menilai semua kajian klinikal untuk penstabil faktor teraruh hipoksia dan meringkaskan keputusannya. Kami menilai keyakinan kami tentang bukti yang berkait dengan penstabil faktor teraruh hipoksia menggunakan sistem yang dipanggil “GRED”.

Apakah yang kami temui?

Kami sertakan 51 kajian yang merawak 30,994 pesakit dewasa. Para pesakit dalam kajian-kajian tersebut diberi penstabil HIF, pil gula (plasebo), atau rawatan erythropoietin. Rawatan yang mereka terima diputuskan secara rawak. Kajian-kajian ini secara am adalah jangka pendek (beberapa minggu). Tiada kajian dalam kalangan kanak-kanak atau orang yang telah menerima transplan buah pinggang.

Penstabil HIF mengurangkan transfusi darah untuk pesakit CKD apabila dibanding dengan plasebo atau rawatan eritropoietin. Penstabil HIF meningkatkan bilangan pesakit yang mencapai tahap hemoglobin sasaran berbanding plasebo. Penstabil HIF mempunyai kesan yang tidak menentu terhadap jangka hayat dan kemungkinan penyakit jantung dalam kalangan orang dengan CKD.

Kesimpulan

Penstabil HIF mengurangkan keperluan transfusi darah bagi orang dengan CKD dan meningkatkan bilangan pesakit yang mencapai paras hemoglobin sasaran. Kami tidak pasti sama ada penstabil faktor teraruh hipoksia mempunyai sebarang impak ke atas jangka hayat atau kualiti hidup orang dengan CKD berbanding plasebo atau rawatan lain untuk anemia.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Mastura). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information