Soalan ulasan
Bagaimanakah reseksi (melalui pembedahan) kanser pundi kencing yang disokong dengan kaedah visualisasi khas (cahaya biru) berbanding dengan reseksi standard dengan cahaya putih pada orang yang disyaki mempunyai tumor pada dinding dalam pundi kencing?
Latar belakang
Dalam orang yang disyaki menghidap kanser pundi kencing, tisu yang mencurigakan dipotong dari dinding dalam pundi kencing menggunakan alat khas yang dimasukkan melalui uretra ke dalam pundi kencing. Walau bagaimanapun, kadangkala adalah sukar untuk membezakan pundi kencing normal berbanding kanser. Untuk melihat tumor dengan lebih baik dan membuangnya sepenuhnya, bahan, atau 'agen kontras,' dimasukkan ke dalam pundi kencing melalui kateter. Semasa pembedahan, lampu khas digunakan yang bertujuan untuk menjadikan kawasan kanser menyala biru.
Ciri-ciri kajian
Kami hanya memasukkan ujian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta dimasukkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) untuk dimasukkan dalam ulasan, kerana jenis kajian klinikal ini dianggap sebagai kualiti tertinggi yang menghasilkan keputusan yang paling boleh dipercayai. Kami memasukkan orang yang berkemungkinan besar menghidap kanser pundi kencing kerana telah dilihat pada kajian pengimejan (seperti imbasan tomografi berkomputer (CT)) atau semasa melihat ke dalam pundi kencing. Kami memasukkan kajian melibatkan orang yang baru disyaki mempunyai tumor dan mereka yang telah dirawat untuk kanser pundi kencing sebelum ini dan mempunyai kebimbangan bahawa ia telah kembali.
Keputusan utama
Kami memasukkan 16 kajian yang menangani soalan ulasan kami. Secara keseluruhannya, pemotongan kanser pundi kencing yang dipertingkatkan melalui cahaya biru boleh mengurangkan risiko penyakit berulangan dari masa ke semasa berbanding dengan pemotongan cahaya putih (bukti berkepastian rendah) dan mungkin mengurangkan risiko perkembangan penyakit dari masa ke semasa (bukti berkepastian rendah). Walau bagaimanapun, sama ada kesan ini cukup besar untuk membawa kesan kepada penghidap kanser pundi kencing bergantung pada sama ada mereka tergolong dalam kumpulan berisiko rendah, sederhana dan tinggi untuk penyakit berulang atau berkembang.
Kami juga mendapati bahawa cahaya biru mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas berlakunya komplikasi pembedahan yang serius (bukti berkepastian rendah) atau risiko kematian akibat kanser pundi kencing dari masa ke semasa (bukti berkepastian rendah). Kami sangat tidak pasti sama ada TURBT cahaya biru boleh mengurangkan kejadian kesan sampingan yang tidak diingini, kerana kepastian bukti dinilai sebagai rendah. Kami tidak tahu bagaimana komplikasi pembedahan tidak serius terjejas kerana tiada data dilaporkan untuk hasil ini.
Kualiti bukti
Kepastian bukti adalah rendah, bermakna penyelidikan masa depan mungkin akan mengubah keputusan kami.
Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my