Merangsang kulit kepala bayi sebagai ujian kesejahteraan bayi semasa dilahirkan

Kami berusaha untuk mencari bukti daripada kajian rawak terkawal tentang keberkesanan dan keselamatan merangsang kulit kepala bayi sebagai ujian kesejahteraan peringkat kedua apabila terdapat kerisauan terhadap pemantauan kadar jantung bayi.

Apakah isunya?

Wanita yang mengalami kehamilan yang rumit disyorkan untuk pemantauan berterusan kadar jantung bayi menggunakan perakam elektronik yang dipanggil CTG. Bayi biasanya menunjukkan ciri-ciri abnormal pada CTG semasa kelahiran. Dalam sesetengah kes, ciri-ciri yang tidak normal menimbulkan kebimbangan yang mencukupi untuk pembedahan kecemasan caesarian dilakukan. Untuk mengurangkan kemungkinan pembedahan caesarian yang tidak perlu, ujian tambahan 'peringkat kedua' boleh ditawarkan. Salah satu ujian sedemikian ialah di mana kulit kepala bayi dirangsang menerusi liang peranakan dalam usaha meningkakan kadar denyutan jantung bayi. Tindak balas yang sihat ini menunjukkan bahawa bayi menerima oksigen yang mencukupi. Pendekatan alternatif adalah dengan mengambil sedikit sampel darah dari kulit kepala bayi dan menguji tahap asid-bes di dalam darah.

Mengapakah ini penting?

Jika rangsangan pada kulit kepala bayi sebagai ujian kesihatan peringkat kedua terbukti selamat dan berkesan, maka kemungkinan pembedahan caesarian yang tidak perlu bagi wanita semasa bersalin mungkin dapat dikurangkan.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti pada 18 Oktober 2022 dan mengenal pasti dua kajian yang layak (melibatkan 377 wanita). Kajian rintis terhadap 50 wanita di Ireland membandingkan rangsangan kulit kepala janin digital (dFSS) dan CTG dengan pensampelan darah janin (FBS) dan CTG. Satu kajian di India terhadap 327 wanita membandingkan rangsangan kulit kepala janin manual (FSS) (pergerakan bahagian perut ke sisi kepala janin atau cubitan kulit kepala janin melalui faraj) dan CTG dengan CTG sahaja. Dalam kedua-dua kajian, wanita dan kakitangan hospital menyedari bahawa rangsangan kulit kepala janin telah dilakukan. Ini mungkin memberi impak kepada keputusan. Kedua-dua kajian telah dijalankan di hospital dan merekrut wanita yang sedang bersalin dengan seorang bayi yang cukup bulan dan bahagian kepala adalah bahagian yang paling hadapan. Secara keseluruhan, kajian yang disertakan berada pada risiko bias yang sederhana atau tidak jelas, dan kepastian bukti yang dihasilkan adalah sangat rendah atau tidak jelas.

dFSS dan CTG berbanding FBS dan CTG

Tiada kematian perinatal dan tiada data dilaporkan tentang kecacatan pada bayi pada atau selepas 12 bulan. Kami mendapati bukti berkepastian sangat rendah yang rangsangan kulit kepala bayi sebagai tambahan kepada CTG boleh mengurangkan risiko pembedahan caesarian berbanding pensampelan darah kulit kepala dan CTG (1 kajian rintis; 50 wanita). Tiada bayi yang dilahirkan dengan bukti kecederaan otak semasa kelahiran. Tiada perbezaan dalam risiko kelahiran faraj dibantu dengan vakum atau forsep, atau dalam kadar kelahiran faraj spontan. Kebolehterimaan prosedur kepada ibu tidak dilaporkan.

FSS dan CTG berbanding CTG sahaja

Tiada kematian perinatal dan tiada data dilaporkan tentang kecacatan pada bayi pada atau selepas 12 bulan. Kami mendapati bahawa rangsangan kulit kepala bayi sebagai tambahan kepada CTG mempunyai sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko pembedahan caesarian berbanding CTG sahaja (1 kajian; 327 wanita). Tiada bayi yang dilahirkan dengan bukti kecederaan otak semasa kelahiran. Tiada perbezaan dalam risiko kelahiran faraj dibantu dengan vakum atau forsep, atau dalam kadar kelahiran faraj spontan. Semua bukti didapati mempunyai kepastian yang sangat rendah. Kebolehterimaan prosedur kepada ibu tidak dilaporkan.

Apakah maksudnya?

Bukti adalah tidak jelas sama ada merangsang kulit kepala bayi semasa kelahiran adalah cara yang selamat dan berkesan untuk mengesahkan kesihatan bayi semasa kelahiran. Kajian lanjut yang berkualiti tinggi dengan saiz sampel yang mencukupi, termasuk rangka kajian dan kriteria kelayakan yang luas, diperlukan untuk menilai persoalan kajian ini.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information