Kesan tomografi berkomputer (CT) pada pemeriksaan kanser paru-paru

Latar belakang

Kanser paru-paru adalah penyebab kematian yang paling biasa berkaitan kanser di seluruh dunia. Kelangsungan hidup kanser paru-paru sangat bergantung pada masa seseorang didiagnosis dengan penyakit tersebut. Adalah penting untuk mengesan penyakit ini seawal mungkin melalui radiografi (x-ray dada) atau imbasan tomografi berkomputer (CT), yang merupakan jenis radiografi yang lebih terperinci di mana berbilang imej paru-paru diambil. Matlamat ulasan ini adalah untuk mengumpul maklumat mengenai penggunaan imbasan CT untuk mengesan kanser paru-paru lebih awal dan untuk mengetahui sama ada pengesanan awal kanser paru-paru mengurangkan kematian akibat kanser paru-paru. Kami juga menilai potensi bahaya yang boleh berlaku daripada menggunakan CT untuk menyaring kanser paru-paru, seperti penyiasatan tambahan dan komplikasi berkaitan.

Penerangan tentang kajian yang disertakan

Bukti adalah terkini sehingga 31 Julai 2021. Kami memasukkan 11 kajian, dengan sejumlah 94,445 peserta. Kajian datang dari AS dan Eropah. Kajian terawal bermula pada 1991, dan yang terbaru bermula pada 2011. Para peserta adalah orang dewasa yang berumur lebih dari 40 tahun. Kekerapan saringan dengan CT adalah dari setiap tahun hingga lebih daripada 2.5 tahun.

Penemuan utama

Lapan daripada kajian (91,122 peserta) telah dimasukkan dalam analisis hasil utama kematian berkaitan kanser paru-paru. Pada orang berumur lebih 40 tahun dengan pendedahan merokok yang ketara, saringan CT mengurangkan kematian akibat kanser paru-paru sebanyak 21%, dengan 226 orang perlu menjalani pemeriksaan untuk mencegah satu kematian akibat kanser paru-paru. Kami juga mendapati bahawa kematian daripada sebarang sebab (termasuk kanser paru-paru) adalah kurang dengan pemeriksaan CT. Walau bagaimanapun, kesannya jauh lebih rendah (hanya 5% pengurangan risiko). Kanser paru-paru dikesan lebih kerap dalam kumpulan orang yang menjalani pemeriksaan CT berbanding tanpa pemeriksaan. Walau bagaimanapun, imbasan CT boleh mendorong imbasan positif palsu (ujian yang positif atau tidak pasti untuk kanser paru-paru, apabila orang itu sebenarnya tidak menghidap kanser paru-paru). Kami mendapati bahawa keputusan positif palsu adalah lebih biasa dalam kalangan orang yang disaring dengan CT daripada x-ray dada. Disebabkan itu, mereka yang menjalani saringan CT mempunyai lebih banyak ujian untuk menyiasat kedua-dua penyakit kanser dan bukan berkaitan kanser. Pemeriksaan juga membayangkan risiko mengesan kanser paru-paru yang mungkin tidak akan berkembang sehingga menyebabkan kemudaratan kepada orang tersebut (ini dirujuk sebagai diagnosis berlebihan). Risiko diagnosis berlebihan kanser paru-paru dengan pemeriksaan CT adalah dianggarkan sebanyak 18%.

Kajian adalah terlalu berbeza atau tidak memberikan maklumat yang mencukupi untuk melihat kesan pemeriksaan terhadap berhenti merokok atau kualiti hidup. Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa tiada kemudaratan psikologi jangka panjang daripada pemeriksaan, dengan sesetengah orang dalam kumpulan pemeriksaan CT berasa kurang cemas berbanding kumpulan kawalan yang tidak ditawarkan pemeriksaan.

Kepastian bukti

Kepastian keseluruhan bukti adalah sederhana apabila ia datang kepada hasil berkenaan kematian, dengan bukti kepastian sederhana hingga rendah untuk hasil lain. Penilaian kepastian untuk hasil mencerminkan keyakinan dan kepastian pengarang dalam hasil yang betul.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information