Mesej utama
Pada masa ini, ianya masih tidak jelas sama ada perencat acetylcholinesterase berkesan dalam merawat ciri-ciri teras autisme. Ini kerana terlalu sedikit kajian yang telah dijalankan. Dua yang kami temui adalah kecil, dan tidak melaporkan hasilnya dengan baik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian berterusan dalam bidang ini.
Apakah gangguan spektrum autisme?
Gangguan spektrum autisme (autisme) ialah keadaan yang mana mempengaruhi cara seseorang berfikir, merasakan, berinteraksi dengan orang lain, dan pengalaman dengan persekitaran mereka. Tingkah laku teras autisme termasuk kekurangan perkongsian minat, kesukaran dengan komunikasi bukan lisan (contohnya, sedikit hubungan mata), kesukaran membentuk dan mengekalkan perhubungan dan terhad, atau tingkah laku atau minat yang berulang. Tingkah laku ini boleh berbeza bergantung kepada keterukan, tetapi ia masih mengganggu fungsi harian seseorang dan keterlibatan dalam aktiviti. Ubat-ubatan, yang dipanggil perencat acetylcholinesterase (bahan kimia yang menghalang pecahan normal penghantar saraf), telah digunakan untuk merawat penyakit Alzheimer (contohnya, donepezil dan galantamine). Baru-baru ini, telah dicadangkan bahawa perencat ini juga boleh mengurangkan beberapa kesukaran yang dilihat pada orang yang mempunyai autisme.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Adakah perencat acetylcholinesterase, secara bersendirian atau kombinasi dengan ubat-ubatan lain, mengurangkan ciri teras autisme (komunikasi dan interaksi sosial, tingkah laku yang menyekat dan berulang) berbanding dengan plasebo (pil palsu). Kami juga ingin mengetahui sama ada perencat acetylcholinesterase dikaitkan dengan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang meneroka sama ada terdapat sebarang perbezaan dalam tingkah laku orang autistik selepas mereka mengambil perencat acetylcholinesterase berbanding dengan orang yang mengambil pil plasebo. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan perkara, seperti betapa besar dan sempurnanya kajian-kajian dijalankan.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui dua kajian yang berkaitan. Satu kajian melihat sama ada perencat acetylcholinesterase yang dipanggil galantamine, digabungkan dengan ubat yang dipanggil risperidone (secara tradisional digunakan untuk merawat psikosis), adalah lebih baik daripada plasebo digabungkan dengan risperidone. Kajian itu memasukkan 40 kanak-kanak, berumur antara 4 dan 12 tahun, dengan diagnosis autisme. ia berlaku selama 10 minggu di Iran. Kajian kedua membandingkan perencat acetylcholinesterase yang dipanggil donepezil dengan plasebo. Ia mermasukkan 34 kanak-kanak, berumur antara 8 dan 17 tahun, dengan diagnosis autisme. Ia telah dijalankan di Amerika Syarikat. Semua kajian melibatkan kanak-kanak yang menghadiri klinik pesakit luar.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Ia adalah tidak jelas sama ada perencat acetylcholinesterase memberikan sebarang perbezaan terhadap ciri-ciri teras autisme pada kanak-kanak atau orang dewasa.
Galantamine mungkin boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam interaksi sosial dan kemahiran komunikasi serta tahap kerengsaan pada kanak-kanak autisme selepas 10 minggu rawatan. Tiada bukti bahawa galantamine mengurangkan kesukaran yang berkaitan dengan tingkah laku yang terhad atau berulang atau hiperaktif. Galantamine juga boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan, termasuk gugup, mengantuk, meningkatkan selera makan, dan mengigil.
Tiada bukti bahawa donepezil mengurangkan kesukaran yang berkaitan dengan ciri-ciri teras autisme atau masalah sekunder yang berkaitan. Kami tidak dapat mengetahui sama ada ia menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini pada kanak-kanak autisme, kerana kajian tersebut tidak melaporkan keputusan mereka dengan sepenuhnya.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti terhadap penggunaan ubat ini untuk merawat masalah yang berkaitan dengan autisme, kerana bukti-bukti diambil daripada hanya dua kajian kecil yang tidak dijalankan atau dilaporkan dengan baik. Setiap kajian melihat jenis perencat acetylcholinesterase dan cara pemberian ubat yang berbeza. Mereka tidak memberikan maklumat tentang semua isu yang kami minati, dan mereka mengukur kesan sampingan secara berbeza.
Jika lebih banyak kajian disertakan dalam ulasan masa hadapan, keputusan ini mungkin berubah.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti dalam ulasan ini terkini sehingga November 2022.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).