Adakah pemantauan ultrasound pasca pembedahan vaskular yang melibatkan arteri anggota badan bawah mampu meningkatkan kadar keterselamatan anggota terjejas dan pengekalan keterbukaan saluran arteri?

Mesej utama

Oleh disebabkan kekurangan bukti yang kukuh, faedah pemantauan rapi menggunakan ultrasound dupleks (DUS) selepas intervensi revaskularisasi anggota badan bawah adalah tidak jelas. Tiada kajian yang telah melaporkan kesan buruk yang berkaitan dengan pemantauan menggunakan DUS.

Apakah faedah pemantauan menggunakan DUS?

Keadaan di mana berlakunya sekatan atau penyempitan saluran arteri besar anggota badan bawah yang dikenali sebagai penyakit aterosklerotik anggota badan bawah atau penyakit arteri periferal, mungkin memerlukan prosedur revaskularisasi (pembedahan untuk memulihkan aliran darah ke arteri atau vena yang tersumbat), terutamanya apabila penyakit itu parah atau tidak pulih sesudah menjalani pendekatan rawatan bukan pembedahan. Pengimbasan DUS sering dilakukan sebagai sebahagian daripada rawatan pasca bedah selepas prosedur sebegini untuk mengesan sebarang ketidaklaziman aliran darah yang dapat mengugat aliran darah melalui cantuman yang dimasukkan tadi (kekekalbukaan cantuman).

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mencari:

- sama ada pengawasan rapi (program pemantauan intensif) menerusi pengimbasan DUS dapat mencegah amputasi baik kecil mahupun besar;

- sama ada program pengawasan intensif dengan pengimbasan DUS dapat meningkatkan kadar intervensi semula (prosedur yang dijalankan untuk mengekalkan kekekalbukaan cantuman selepas revaskularisasi) dan kadar kematian, terutamanya dalam kalangan pesakit atng tidak bergejala, iaitu pesakit yang tidak mengalami kesakitan, klaudikasi terputus-putus (sakit otot yang dicetus senaman dan lega apabila pesakit berehat), ataupun gejala lain.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami menyaring kajian yang membandingkan antara program pemantauan berpandukan imbasan DUS selepas revaskularisasi anggota badan bawah dengan kaedah pemantauan berdasarkan hasil pemeriksaan perubatan dan pempalpatan nadi, sama ada disertai atau tanpa sebarang ujian objektif lain, misalnya indeks tekanan arteri.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti perkaedahan kajian dan saiz kajian.

Apakah hasil yang kami temui?

Kami mengenal pasti tiga buah kajian yang melibatkan 1092 orang penghidap penyakit aterosklerotik bahagian badan bawah (keadaan di mana lemak, kolesterol dan bahan lain termendap di dalam arteri) yang telah menjalani prosedur revaskularisasi. Saiz kajian adalah antara 156 hingga 594 orang peserta. Semua kajian yang disertakan telah dijalankan di Eropah. Dua kajian berlangsung kurang daripada 24 bulan, dengan hanya satu kajian yang berlangsung lebih daripada 24 bulan. Kajian yang disertakan membandingkan DUS serta palpasi nadi dan indeks tekanan arteri berbanding palpasi nadi dan indeks tekanan arteri pada orang yang menjalani prosedur revaskularisasi yang dilakukan di arteri di bawah kawasan inguinal (pangkal paha).

Hasil utama

Program pengawasan intensif dengan DUS boleh membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar penyelamatan anggota badan, patensi selepas campur tangan yang dilakukan untuk merawat cantuman atau vesel selepas trombosis (pembentukan bekuan darah) atau stenosis (menyempit), kematian daripada semua punca, dan kualiti hidup.

Program pemantauan intensif menggunakan imbasan DUS boleh meningkatkan kadar intervensi semula.

Tiada data tersedia tentang kesan program pengawasan dengan DUS dari segi kesan buruk akibat pengawasan DUS.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad. Tiga faktor utama mengurangkan tahap keyakinan kami terhadap bukti:

- bukan setiap kajian menyediakan data tentang hasil yang berkepentingan;

- dalam satu kajian, pengagihan peserta kepada kumpulan kajian yang berbeza tidak benar-benar rawak;

- hanya terdapat bilangan kajian yang sedikit, dan beberapa kajian sangat kecil.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information