Persoalan ulasan
Apakah faedah dan risiko menggunakan intervensi digital untuk menyampaikan atau memantau, atau kedua-duanya, aktiviti fizikal di kalangan penghidap fibrosis sista (cystic fibrosis, CF)?
Mesej utama
Secara keseluruhannya, keputusan kajian-kajian ini menyarankan perkara-perkara berikut.
– Penggunakan aplikasi berasaskan laman web untuk merekod, memantau dan menetapkan sasaran aktiviti fizikal berserta penjagaan lazim boleh menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan terhadap aktiviti fizikal dan eksaserbasi paru-paru (kemarakan penyakit secara mendadak) berbanding penjagaan lazim sahaja.
– Bukti adalah sangat tidak pasti mengenai kesan program senaman berserta penggunaan peranti penjejak kecergasan bolehpakai yang disepadukan dengan pelantar media sosial berserta preskripsi senaman, berbanding dengan preskripsi senaman sahaja, dan mengenai kesan penggunaan peranti penjejak kecergasan bolehpakai berserta penerimaan mesej teks untuk maklum balas dan penetapan sasaran peribadi, berbanding dengan peranti penjejak kecergasan bolehpakai sahaja.
– Kami sangat tidak pasti tentang kesan penyampaian senaman menerusi laman web berbanding dengan secara bersemuka.
Apakah itu teknologi kesihatan digital?
Apabila kami bercakap tentang intervensi digital, kami merujuk kepada penggunaan teknologi yang membolehkan komunikasi dan penghantaran maklumat antara individu dan penyedia perkhidmatan kesihatan untuk membantu menguruskan keadaan seseorang secara jarak jauh. Ini boleh dilaksanakan menerusi telefon mudah alih, aplikasi komputer tablet atau lain-lain bentuk teknologi.
Apakah itu fibrosis sista (cystic fibrosis, CF)?
CF merupakan suatu penyakit keturunan yang menyebabkan masalah dengan paru-paru, sistem penghadaman, serta organ lain. Orang yang menghidap CF mengalami kahak pekat dan melekit yang menyumbat saluran udara, lalu mengakibatkan kerosakan paru-paru dan meninggikan kebarangkalian jangkitan. Kebanyakan penghidap CF mempunyai gejala pernafasan seperti batuk dengan lebih banyak kahak dan sesak nafas.
Bagaimanakah teknologi kesihatan digital dapat membantu orang yang menghidap CF?
Gaya hidup yang tidak aktif boleh menyumbang kepada kemerosotan fizikal dan tahap fungsian penghidap CF, oleh itu, senaman disarankan sebagai sebahagian daripada pelan rawatan CF. Walau bagaimanapun, tidak semua orang mematuhi rancangan senaman seperti yang seharusnya. Kami ingin melihat sama ada teknologi digital dapat membantu penghidap CF untuk bersenam dan sama ada ia dapat menjejaki senaman yang dilakukan oleh mereka.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Bagaimanakah teknologi kesihatan digital boleh membantu menyampaikan dan memantau program senaman di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak yang menghidap CF?
Apakah yang telah kami lakukan?
Untuk menjawab persoalan ini, kami mencari pangkalan data perubatan untuk semua kajian yang berkaitan dengan topik tersebut. Kami mengumpul dan menganalisa semua data kajian yang ada buat masa ini.
Apakah yang kami temui?
Kami mengenal pasti empat kajian yang melibatkan 231 peserta (berumur enam tahun ke atas). Kajian-kajian berlangsung selama tiga bulan hingga setahun. Kajian-kajian tersebut menggunakan pelbagai bentuk intervensi digital. Satu kajian menggunakan intervensi digital untuk menyampaikan program senaman, manakala tiga lagi kajian menggunakan intervensi digital untuk memantau aktiviti fizikal peserta.
Keputusan utama
Satu kajian menggunakan aplikasi berasaskan laman web untuk merekod, memantau dan menetapkan sasaran aktiviti fizikal berserta penjagaan lazim, dan penyelidik mendapati bahawa mungkin terdapat sedikit sehingga tiada perbezaan terhadap bilangan aktiviti fizikal yang dilakukan atau terhadap bilangan eksaserbasi paru-paru yang dialami peserta berbanding penjagaan lazim sahaja.
Kami tidak yakin dengan keputusan kajian yang meneliti sama ada peranti penjejak kecergasan bolehpakai berserta preskripsi senaman dapat memberikan manfaat penting kepada penghidap CF berbanding dengan hanya menggunakan preskripsi senaman. Kami juga tidak dapat memastikan sama ada penggunaan peranti penjejak kecergasan bolehpakai berserta mesej teks untuk maklum balas dan penetapan sasaran peribadi adalah berkesan berbanding dengan penggunaan peranti penjejak kecergasan bolehpakai sahaja.
– Tambahan lagi, kami sangat tidak pasti tentang kesan penyampaian senaman menerusi laman web berbanding dengan secara bersemuka.
Tiada kajian yang menilai secara rasmi sama ada intervensi digital boleh mendatangkan mudarat, dan kami mendapati terdapat sedikit atau tiada data berkenaan kesan penting yang lain seperti penyertaan dalam aktiviti fizikal, tingkah laku pengurusan diri (keupayaan menguruskan tindakan), dan kejadian eksaserbasi paru-paru.
Terdapat tiada maklumat mengenai keberkesanan teknologi kesihatan digital berbentuk lain untuk memantau aktiviti fizikal atau menyampaikan program senaman di kalangan penghidap CF, dan mengenai kesan jangka panjang (lebih daripada setahun).
Apakah batasan bukti?
Kami hanya menyertakan empat kajian, setiap satunya mempunyai bilangan peserta yang kecil. Pengarang kajian tersebut melaporkan sedikit sahaja maklumat tentang bagaimana kajian mereka dijalankan. Ini mengurangkan tahap keyakinan kami terhadap keputusan kajian mereka. Mungkin berlaku bias apabila mereka yang menilai keputusan ujian mengetahui rawatan manakah yang diterima oleh seseorang. Dalam kajian-kajian yang disertakan, tidak jelas sama ada penyelidik cuba mengelakkan penilai daripada mengetahui rawatan yang diterima setiap peserta kajian. Sesetengah kajian juga tidak melaporkan secara sepenuhnya keputusan sepertimana yang dirangka dalam protokol mereka, dan ini juga boleh menimbulkan bias. Oleh itu, kami tidak pasti tentang kesan intervensi digital untuk memantau dan menyampaikan senaman di kalangan penghidap CF, dan kajian lanjutan yang lebih berkualiti diperlukan untuk memperjelas kesan-kesan tersebut. Secara keseluruhan, kami hanya mempunyai tahap keyakinan yang rendah sehingga sangat rendah terhadap keputusan kajian-kajian ini.
Sejauh manakan bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat 21 November 2022.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).