Bagaimanakah kita boleh berkomunikasi dengan lebih baik dengan orang ramai dan komuniti tentang langkah-langkah yang membantu mencegah dan mengawal COVID-19?

Mesej utama

- Semasa pandemik, kerajaan dan pihak berkuasa lain perlu berkomunikasi secara jelas dengan orang awam tentang bagaimana mereka boleh menjaga keselamatan diri masing-masing. Komunikasi ini perlu berdasarkan kepercayaan dan dirancang dengan baik. Orang ramai dan komuniti yang terjejas akibat pandemik perlu terlibat dalam perancangan dan penyampaian komunikasi. Komunikasi harus menjangkau semua orang dalam seluruh komuniti, termasuklah mereka yang menghadapi masalah membaca dan menulis, orang yang bercakap bahasa selain daripada bahasa dominan komuniti, dan orang yang menghadapi kekurangan dalam bentuk lain. Komunikasi yang jelas boleh meningkatkan tahap keupayaan orang ramai dalam mengikuti langkah-langkah bagi memastikan diri mereka selamat.

- Ulasan ini mengenal pasti enam tema yang boleh memandu pendekatan terbaik terhadap komunikasi kesihatan awam semasa pandemik. Tema-tema ini ialah:

1) Memperkukuh kepercayaan orang awam dan membasmi maklumat yang salah;

2) Komunikasi dua hala yang melibatkan komuniti supaya orang ramai mempunyai input mengenai cara terbaik komunikasi boleh berlaku;

3) Pembangunan dan persediaan untuk komunikasi awam dengan mempertimbangkan siapakah para pendengar dan bagaimana pelbagai keperluan orang ramai dalam komuniti dapat dipenuhi;

4) Ciri-ciri komunikasi awam, termasuk bagaimana dan bila mesej dihantar kepada komuniti;

5) Menyokong perubahan tingkah laku pada peringkat individu dan populasi;

6) Memupuk dan mengekalkan penerimaan dan sikap responsif terhadap komunikasi kesihatan awam dari semasa ke semasa.

- Penemuan ulasan boleh membantu kerajaan dan pihak berkuasa lain dalam membuat keputusan mengenai komunikasi kesihatan awam semasa pandemik. Penemuan adalah berkaitan dengan COVID-19 dan krisis kesihatan awam pada masa hadapan. Penemuan boleh diaplikasikan merentasi pelbagai negara dan pelbagai situasi kecemasan.

- Beberapa jurang dalam penyelidikan telah ditemui melalui ulasan ini. Ini termasuk: komunikasi dengan orang yang berisiko lebih tinggi untuk mendapat sakit teruk atau mati akibat COVID-19; komunikasi di negara berpendapatan rendah dan sederhana; dan komunikasi dalam persekitaran yang dikenali dengan ketidaksamaan sosial. Penyelidikan lanjut dalam bidang ini boleh membantu meningkatkan pengetahuan dan memperbaik amalan yang berkaitan dengan komunikasi pandemik.

Apakah itu langkah-langkah penjarakkan fizikal?

Istilah 'langkah-langkah penjarakkan fizikal' menerangkan cara-cara untuk mengurangkan penularan penyakit-penyakit seperti COVID-19 dengan mengurangkan sentuhan fizikal antara orang ramai. Langkah-langkah penjarakkan fizikal termasuk pengesanan kontak, mengelakkan perkumpulan orang ramai, mengasingkan diri, kuarantin, dan langkah-langkah untuk mengurangkan jangkitan di sekolah dan tempat kerja.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui cara terbaik berkomunikasi dengan orang awam untuk meningkatkan pemahaman orang ramai dan penggunaan langkah-langkah penjarakkan fizikal bagi melindungi diri mereka dan mengehadkan penularan COVID-19 dan penyakit-penyakit lain yang serupa. Kami juga ingin mengetahui sama ada terdapat cara-cara berkomunikasi yang lebih berkesan untuk golongan-golongan tertentu dalam komuniti, termasuk orang yang mengalami kekurangan.

Apa yang telah kami lakukan?

Ulasan ini mengemas kini ulasan yang telah dijalankan pada 2020. Ulasan pada tahun 2020 memasukkan kajian primer (kualitatif dan kuantitatif) dan sumber sekunder (ulasan dan garis panduan).

Semasa carian untuk kemas kini ini, kami mencari garis panduan atau ulasan yang mengkaji komunikasi mengenai langkah-langkah penjarakkan fizikal bagi mencegah dan/atau mengawal COVID-19 atau sesetengah penyakit berjangkit lain. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan garis panduan yang dimasukkan, bersama-sama dengan penemuan daripada ulasan pada tahun 2020.

Apakah yang kami temui?

Ulasan ini melibatkan 68 kajian (garis panduan, ulasan dan kajian primer [kajian yang dijalankan oleh penyelidik yang mengumpul data asal]). Kemas kini ini menambah 17 garis panduan dan 20 ulasan (yang dianggap sebagai kajian sekunder) kepada ulasan pada tahun 2020 yang asal.

Kami mengenal pasti enam tema utama yang berkaitan dengan perancangan dan pelaksanaan komunikasi mengenai penjarakkan fizikal semasa pandemik.

Tema-tema ini boleh memaklumkan polisi dan pembuatan keputusan mengenai pandemik dan komunikasi krisis kesihatan awam. Tema-tema ini ialah: 1) Memperkukuh kepercayaan orang awam dan membasmi maklumat yang salah; 2) Komunikasi dua hala; 3) Pembangunan dan persediaan untuk komunikasi awam; 4) Ciri-ciri komunikasi awam; 5) Menyokong perubahan tingkah laku pada peringkat individu dan populasi; 6) Memupuk dan mengekalkan penerimaan dan sikap responsif terhadap komunikasi kesihatan awam.

Apakah batasan bukti?

Kemas kini ini menumpukan kepada ulasan dan garis panduan. Biasanya, ini mewakili bukti terbaik yang sedia ada, tetapi dalam kemas kini ini, ia dinilai terutamanya sebagai mempunyai kualiti rendah atau sederhana. Disebabkan reka bentuk kajian yang berbeza, penilaian kualiti tidak dimaksudkan untuk digunakan sebagai hierarki (kedudukan) bukti.

Kekuatan ulasan ini ialah tema utama dan penemuan datang daripada pelbagai sumber, termasuk kajian primer, ulasan dan garis panduan. Selalunya, penemuan yang serupa dilaporkan oleh pelbagai jenis kajian, populasi dan tetapan. Penemuan daripada ulasan yang dikemas kini ini juga membina daripada penemuan ulasan pada tahun 2020, menambah kepada penemuan utama dan mengisi jurang besar. Mempunyai penemuan serupa dalam pelbagai jenis kajian, dan menambah maklumat baru melalui kemas kini ini, meningkatkan keyakinan kami terhadap penemuan walaupun kebanyakan kajian yang dimasukkan adalah berkualiti rendah atau sederhana. Walau bagaimanapun, memandangkan carian untuk bukti baru berlaku buat kali terakhir pada 2021, berkemungkinan bukti lanjut yang berkaitan kini wujud.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga Ogos 2021.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my, untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information