Adakah imunoterapi ditambah dengan kemoterapi lebih baik daripada kemoterapi sahaja untuk warga tua dengan kanser paru-paru bukan sel kecil?

Mesej utama

• Bagi orang yang berusia 65 tahun ke atas dengan kanser lanjutan paru-paru sel bukan kecil (NSCLC) yang belum pernah menerima rawatan kanser sebelum ini, penambahan imunoterapi kepada kemoterapi memanjangkan jangka hayat dan melambatkan perkembangan kanser mereka. Penemuan ini berasal daripada kajian yang kebanyakannya melibatkan orang berusia antara 65 hingga 75 tahun.
• Kami tidak menemui kesan bermanfaat yang sama dengan penambahan imunoterapi kepada kemoterapi pada orang yang berusia lebih dari 75 tahun.

Apakah itu kanser lanjutan paru-paru sel bukan kecil (NSCLC)?

NSCLC ialah salah satu daripada dua jenis utama kanser paru-paru. Kira-kira 80% hingga 85% kes kanser paru-paru adalah NSCLC. Ia terutamanya memberi kesan kepada warga tua: diagnosis berlaku pada usia purata 71 tahun. NSCLC biasanya dikesan ketika ia berada di peringkat metastatik atau lanjutan yang bermakna kanser telah merebak di luar paru-paru asal yang terjejas. Pada peringkat ini, ia tidak dapat disembuhkan tetapi rawatan boleh membantu mengawalnya dan membaiki gejala dan kualiti hidup.

Bagaimanakah NSCLC dirawat?

Pilihan rawatan berbeza bergantung pada peringkat kanser, ciri-ciri tumor, dan faktor-faktor yang lain. Kemoterapi - bahan kimia kuat yang membunuh sel-sel kanser - telah menjadi asas utama rawatan kanser paru-paru. Imunoterapi ialah rawatan yang lebih baru yang dapat membantu sistem imun melawan kanser. Mereka mempunyai hasil yang positif apabila digabungkan dengan kemoterapi untuk orang yang dengan kanser lanjutan paru-paru. Walau bagaimanapun, apabila usia meningkat, sistem imun mereka berubah, menjadi kurang berkesan dalam melawan kanser. Keadaan ini dikenali sebagai imunosenesens.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada, dalam konteks imunosenesens ini, imunoterapi berkesan untuk orang berusia 65 tahun ke atas dengan NSCLC lanjutan dan apakah kesan peningkatan rawatan berasaskan kemoterapi dengan penambahan imunoterapi.

Apakah yang kami buat?

Kami mencari kajian yang menyelidik kesan pemberian kemoterapi bersama imunoterapi berbanding kemoterapi sahaja kepada orang yang berusia 65 tahun dan ke atas dengan NSCLC lanjutan yang belum pernah menerima rawatan kanser. Kami telah membandingkan dan merumuskan hasil-hasil kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 17 kajian dengan sejumlah 4276 orang yang layak untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Kajian-kajian tersebut membandingkan imunoterapi bersama kemoterapi dan kemoterapi sahaja bagi orang berusia 65 tahun dan ke atas dengan NSCLC lanjutan yang belum pernah dirawat. Dua belas daripada 17 kajian merangkumi orang yang lebih tua dari 75 tahun, tetapi kumpulan umur ini mewakili hanya 9% hingga 13% daripada keseluruhan peserta dalam kajian.

• Bagi orang yang berusia 65 tahun ke atas, penambahan imunoterapi kepada kemoterapi memanjangkan jangka hayat dan memanjangkan masa sebelum perkembangan kanser berbanding kemoterapi sahaja. Kedua-dua rawatan mempunyai kadar kesan toksik yang sama. Kebanyakan orang yang dimasukkan dalam kajian ini berusia antara 65 dan 75 tahun.
• Bagi orang yang berusia 75 tahun ke atas, penambahan imunoterapi kepada kemoterapi mungkin tidak memanjangkan jangka hayat atau memanjangkan masa sebelum perkembangan kanser berbanding kemoterapi sahaja.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti berbeza dari sederhana hingga sangat rendah dan dikurangkan kerana kebimbangan mengenai bagaimana beberapa kajian dijalankan. Hanya satu kajian menilai beberapa hasil yang kami minati. Tiada kajian yang menilai kualiti hidup yang berkaitan kesihatan orang.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 23 Ogos 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Leong Siew Lian (Monash Univeristy Malaysia).

Tools
Information