Pembasmian cacing dalam kanak-kanak sekolah di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Para penyelidik Cochrane telah mengkajikan kesan-kesan pembasmian cacing dalam kanak-kanak di kawasan yang kerap terdapat jangkitan cacing usus. Selepas mencari kajian yang berkaitan sehingga 19 September 2018, kami telah memasukkan 50 kajian dengan jumlah 84,336 peserta, dan satu kajian tambahan yang merangkumi satu juta kanak-kanak.

Apakah itu pembasmian cacing dan mengapa ia penting

Cacing yang boleh menjangkiti orang melalui tanah(soil-transmitted worms), termasuk roundworms, hookworms dan whipworms, adalah biasa di kawasan tropika dan subtropika, dan terutamanya memberi kesan kepada kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan yang mana sanitasi mereka adalah tidak mencukupi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini mencadangkan bahawa kanak-kanak sekolah yang berada di banyak kawasan yang sering dirawat dengan ubat-ubatan yang membunuh cacing. Sesetengah penyokong mendakwa program tersebut meningkatkan pertumbuhan kanak-kanak, hemoglobin, kognisi, kehadiran ke sekolah, prestasi sekolah, kecergasan fizikal, dan kelangsungan hidup.

Apakah yang dinyatakan oleh penyelidikan

Dalam populasi kanak-kanak yang tinggal di kawasan endemik, kesan pada satu dos ubat pembasmian pertama pada berat badan adalah tidak jelas. Terdapat sedikit atau tiada kesan dalam kebanyakan kajian, kecuali kesan besar yang dikesan dari satu kawasan kajian di Kenya, dilaporkan dalam dua kajian yang dijalankan lebih dari 30 tahun yang lalu di sebuah sekolah di mana kanak-kanak dijangkiti cacing. Ini menyebabkan ketidakpastian, yang bermaksud kita tidak tahu sama ada dos pertama atau dos tunggal pembasmian cacing memberi kesan kepada berat badan. Untuk ketinggian, kebanyakan kajian menunjukkan sedikit atau tiada kesan, kecuali tapak di Kenya. Satu dos ubat pembasmian cacing mungkin tidak memberi kesan kepada hemoglobin dan kognisi. Data tidak mencukupi untuk mengetahui jika terdapat kesan kehadiran sekolah, prestasi sekolah, atau kecergasan fizikal atau kematian.

Dalam kajian di mana kanak-kanak telah dirawat dengan ubat-ubatan pembasmian cacing secara teratur terdapat sedikit atau tiada kesan pada berat badan dalam semua tetapi dua kajian, tanpa mengira sama ada kanak-kanak dijangkit dengan cacing atau tidak. Kedua-dua kajian dengan kenaikan berat badan yang besar termasuk kajian Kenya yang dilakukan lebih dari 30 tahun yang lalu, dan satu kajian dari India dijalankan lebih 20 tahun yang lalu di kawasan beban cacing yang rendah di mana kajian di kawasan yang sama tidak menunjukkan sebarang kesan. Dalam kajian dari tahun 2000 dan seterusnya, yang lebih berkaitan memandangkan pengurangan global dalam beban cacing, terdapat sedikit atau tiada kesan. Ini menyebabkan ketidakpastian dan bermakna kita tidak tahu jika kerap merawat kanak-kanak dengan ubat-ubatan pembasmian cacing meningkatkan berat badan mereka. Kanak-kanak yang dibasmi cacing secara kerap mungkin tidak mempunyai kesan pada ketinggian, hemoglobin, kognisi, dan kematian. Kami tidak tahu jika terdapat kesan kehadiran sekolah, kerana bukti tidak konsisten dan berisiko tinggi. Data tidak mencukupi untuk mengetahui jika terdapat kesan ke atas kecergasan fizikal.

Kesimpulan pengarang

Untuk program kesihatan awam untuk merawat semua kanak-kanak di kawasan endemik dengan ubat pembasmian cacing, terdapat bukti yang cukup besar bahawa tiada faedah dari segi hemoglobin, kognisi, prestasi sekolah, dan kematian. Untuk berat badan, kajian kontemporari tidak menunjukkan kesan, namun kesan besar yang luar biasa dilihat dalam kajian lebih dari 20 tahun yang lalu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information