Teknik pembersihan saluran pernafasan berbanding dengan tiada teknik pembersihan saluran pernafasan untuk fibrosis sista

Soalan ulasan

Apakah kesan menggunakan sebarang teknik pembersihan saluran pernafasan berbanding dengan tidak menggunakan teknik pembersihan saluran pernafasan untuk membersihkan lebihan lendir dari paru-paru orang yang mengalami fibrosis sista?

Latar belakang

Paru-paru orang dengan fibrosis sista menghasilkan lendir yang berlebihan. Kejadian ini membawa kepada jangkitan berulang dan kerosakan tisu dalam paru-paru. Maka, ia adalah penting untuk membersihkan lendir menggunakan ubat-ubatan dan teknik pembersihan saluran pernafasan (fisioterapi). Terdapat teknik pembersihan saluran pernafasan yang berbeza untuk membersihkan lendir, beberapa daripadanya mungkin termasuk penggunaan peranti mekanikal. Fisioterapi harian memerlukan banyak masa dan masalah, jadi penting untuk mengetahui sama ada ia berkesan. Kami mencari kajian-kajian di mana orang yang mengambil bahagian mempunyai peluang yang sama untuk berada dalam kumpulan menggunakan teknik pembersihan saluran pernafasan atau kumpulan yang tidak mempunyai teknik pembersihan saluran pernafasan. Ulasan ini adalah kemas kini ulasan terbitan terdahulu.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 17 Oktober 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 12 kajian yang mendaftarkan 194 orang dengan fibrosis sista. Kajian-kajian adalah sangat berbeza dan sesetengahnya melihat pada pelbagai rawatan berbanding tanpa rawatan. Satu kajian menggunakan saliran autogenik (teknik pernafasan terkawal yang menggunakan kelajuan dan kedalaman nafas yang berbeza untuk menggerakkan lendir ke atas saluran pernafasan supaya ia boleh dikeluarkan dengan batuk); lima kajian menggunakan fisioterapi dada konvensional (teknik manual perkusi dan getaran yang digunakan pada dinding dada, biasanya dengan bantuan ahli fisioterapi atau saudara mara); sembilan kajian menggunakan tekanan ekspirasi positif (menghembuskan nafas melalui topeng atau corong terhadap rintangan yang menyebabkan tekanan terkumpul di dalam paru-paru untuk menggerakkan lendir), dan salah satu daripada tekanan yang berbeza ini menggunakan kedua-dua tekanan ekspirasi positif standard dan tekanan tinggi; tiga kajian menggunakan tekanan ekspirasi positif berayun (tekanan ekspirasi positif digabungkan dengan getaran dalam saluran udara untuk melonggarkan lendir); dua kajian menggunakan senaman (di atas treadmill); dan dua kajian menggunakan ayunan dinding dada frekuensi tinggi (getaran frekuensi tinggi digunakan di luar dinding dada melalui pakaian kembung). Kami tidak dapat menggabungkan sebarang keputusan untuk membolehkan analisis secara statistik dilakukan.

Keputusan utama

Kami mendapati bukti terhad dalam kesan jangka pendek terhadap fungsi paru-paru berdasarkan rumusan daripada penemuan 12 kajian. Hanya satu kajian melaporkan peningkatan dalam fungsi paru-paru dalam beberapa kumpulan rawatan, manakala enam kajian lain didapati tiada peningkatan seumpamanya.

Ulasan ini mendapati bahawa kaedah membersihkan saluran pernafasan mungkin mempunyai faedah jangka pendek untuk menggerakkan lendir. Empat kajian mendapati bahawa orang yang menggunakan teknik pembersihan saluran pernafasan mengeluarkan lebih banyak kahak, tetapi satu kajian melaporkan tiada perbezaan dengan atau tanpa menggunakan teknik pembersihan saluran pernafasan. Lima kajian melaporkan peningkatan pelepasan pengesan radioaktif (ujian di mana orang ramai diimej secara berterusan selepas menyedut radioaerosol untuk menilai masa untuk ia dibersihkan daripada paru-paru) apabila menggunakan teknik pembersihan saluran pernafasan, tetapi satu kajian mengunakan tekanan ekspirasi positif didapati tiada perbezaan dalam hasilnya. Pada masa ini, tiada bukti yang jelas untuk menunjukkan kesan jangka panjang daripada melakukan teknik pembersihan saluran pernafasan terhadap kualiti hidup atau kelangsungan hidup.

Batasan bukti

Kami mempunyai sedikit atau sangat sedikit keyakinan terhadap bukti, atas beberapa sebab. Kebanyakan kajian yang dimasukkan mempunyai masalah reka bentuk kajian, dan juga didapati tidak jelas sama ada semua keputusan telah dilaporkan dalam separuh daripada kajian-kajian yang dimasukkan. Selain itu, dalam kajian fisioterapi, orang yang menerima rawatan dan ahli fisioterapi mereka mengetahui rawatan yang mereka terima, dan hal ini mungkin mempengaruhi beberapa penemuan. Sebagai contoh, jumlah lendir yang dikeluarkan dan ujian fungsi paru-paru (diukur dengan separuh daripada kajian yang dimasukkan) dan pandangan seseorang terhadap teknik tertentu (dirakam dalam suku kajian yang dimasukka) mungkin terjejas jika seseorang menyedari rawatan yang mereka terima. Akhirnya, tiada kejelasan dalam kebanyakan kajian sama ada individu itu berpengalaman dengan teknik yang mereka gunakan.

Kami tidak dapat menjumpai sebarang kajian yang melihat pada kesan teknik pembersihan saluran pernafasan pada orang yang dirawat dengan rawatan modulator pengatur konduktans transmembrane fibrosis kistik (CFTR) baharu. Fibrosis sista disebabkan oleh protein yang rosak pada permukaan sel yang dibuat oleh gen CFTR yang bermutasi; ubat-ubatan baru ini direka untuk membetulkan fungsi protein yang rosak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information