Memberi antibiotik secara berkala kepada orang dengan fibrosis sistik untuk mencegah jangkitan paru-paru dengan kuman yang disebut

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti manfaat dan kesan buruk pemberian antibiotik regular kepada orang dengan fibrosis sistik untuk mencegah jangkitan paru-paru dengan kuman yang disebut Staphylococcus aureus.

Latar belakang

Fibrosis sistik menyekat saluran udara dengan lendir dan menyebabkan jangkitan saluran udara yang kerap. Lama kelamaan, ini boleh menyebabkan kerosakan paru-paru dan kegagalan pernafasan. Kebanyakan kematian dalam CF adalah disebabkan oleh kegagalan pernafasan. Orang dengan fibrosis sistik kadang-kadang diberi antibiotik regular untuk mencegah jangkitan kuman yang disebut Staphylococcus aureus. Walau bagaimanapun, antibiotik juga boleh memberi kesan sampingan seperti jangkitan kandida oral atau cirit-birit dan penggunaan jangka panjang boleh menyebabkan jenis jangkitan lain yang lebih serius. Ini adalah kemas kini ulasan terbitan terdahulu.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 27 Februari 2020.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan empat kajian dengan 401 kanak-kanak; tiada kajian orang dewasa. Kanak-kanak dirawak ke dalam kumpulan yang menerima antibiotik oral berterusan sebagai pencegahan sekurang-kurangnya satu tahun atau tiada rawatan antibiotik untuk mencegah jangkitanStaphylococcus aureus. Semua kanak-kanak boleh diberi antibiotik tambahan jika doktor memikirkan ia perlu, berdasarkan gejala dan kuman pada rembesan pernafasan mereka. Kajian-kajian berlangsung selama maksimum enam tahun.

Keputusan utama

Ulasan ini mendapati beberapa bukti berkualiti rendah pemberian antibiotik secara regular kepada kanak-kanak kecil (berterusan hingga usia enam tahun) mengurangkan jangkitanStaphylococcus aureus. Untuk hasil lain dalam ulasan (berat badan, keperluan antibiotik tambahan, kesan sampingan atau bilangan jangkitan Pseudomonas aeruginosa) tiada perbezaan antara pemberian antibiotik regular atau tidak. Oleh kerana tiada kajian yang berlangsung lebih dari enam tahun, kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang penggunaan jangka panjang. Oleh kerana semua kajian adalah dalam kalangan kanak-kanak, kami tidak dapat memberi komen tentang penggunaan ubat ini dalam kalangan dewasa. Penyelidikan masa depan harus menumpu sama ada rawatan ini mengurangkan, meningkatkan atau tiada pengaruh terhadap kadar jangkitan seterusnya dengan Pseudomonas aeruginosa dan melihat pola ketahanan antibiotik dan survival. Satu kajian yang sedang berlangsung iaitu CF-START bertujuan menangani ketidakpastian ini.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah membimbangkan. Semua kajian berbeza kualiti dan kami menilai kualiti bukti sebagai rendah untuk hasil yang dinilai. Kami menilai kedua-dua kajian yang lebih lama berisiko bias tinggi secara keseluruhan berbanding dengan dua kajian yang lebih baharu. Ini adalah kerana mereka yang menyertai kajian (atau ibu bapa atau penjaga mereka) dapat meneka rawatan yang mereka terima, dan juga satu kajian tidak menyatakan keciciran dan alasannya. Hanya kajian terbaharu yang dilihat tidak bias, walaupun di sini kami tidak pasti sama ada hasil kajian terubah akibat cara data dianalisis. Dengan kebimbangan ini, jika keputusan kajian masa depan mengesahkan penemuan ini, ia akan meningkatkan kepastian kesimpulan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information