Latar belakang
Bayi baru lahir yang sangat pramatang (lahir lapan minggu lebih awal) atau dengan berat yang sangat rendah semasa kelahiran (VLBW; kurang daripada 1500 gram) adalah berisiko mengalami gangguan usus yang serius yang dikenali sebagai necrotising enterocolitis (di mana usus menjadi radang dan mati). Bayi yang pertumbuhannya terjejas semasa dalam kandungan dianggap mempunyai risiko tinggi untuk mendapat necrotising enterocolitis. Bayi yang sangat pramatang atau VLBW pada mulanya diberikan susu dalam kuantiti yang rendah, dengan jumlahnya meningkat secara beransur-ansur selama beberapa hari. Penangguhan dalam memperkenalkan dan meningkatkan jumlah pemberian susu selama beberapa hari (atau lebih lama) selepas kelahiran mungkin merupakan satu cara yang boleh mengurangkan risiko keadaan ini.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian klinikal yang menilai kesan penangguhan (lebih daripada empat hari selepas kelahiran) berbanding memperkenalkan pemberian susu yang lebih awal (di mana susu manusia atau formula disuap terus melalui tiub ke dalam perut) dengan risiko necrotising enterocolitis, kematian dan kesihatan am pada bayi yang sangat pramatang atau VLBW. Carian adalah terkini sehingga Oktober 2021.
Keputusan utama
Kami menemui 14 kajian dengan 1551 bayi yang mengambil bahagian. Lebih kurang separuh daripada bayi ini mempunyai bukti pertumbuhan yang terjejas semasa dalam kandungan. Analisis gabungan kajian-kajian ini menunjukkan bahawa penangguhan dalam memperkenalkan pemberian makanan enteral secara progresif mungkin tidak mengurangkan risiko necrotising enterocolitis atau kematian. Penangguhan pemberian makanan mungkin mengurangkan sedikit risiko tidak menerima makanan, tetapi mungkin meningkatkan risiko jangkitan serius berlaku.
Kesimpulan dan kepastian bukti
Ulasan ini memberikan bukti berkepastian rendah yang menunjukkan bahawa penangguhan dalam memperkenalkan pemberian makanan enteral mungkin tidak mengurangkan risiko necrotising enterocolitis atau kematian untuk bayi yang sangat pramatang atau VLBW, termasuk bayi yang pertumbuhannya terjejas semasa dalam kandungan.
Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (kamisah@uitm.edu.my). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my