Latar belakang
Kami mengulas bukti tentang sama ada senaman membantu orang yang ingin berhenti merokok, atau baharu berhenti merokok, untuk berhenti merokok sekurang-kurangnya enam bulan. Amalan senaman secara regular mungkin membantu mereka berhenti merokok dengan membantu masalah sarak dan ketagihan rokok dan juga membantu mereka mengurus kenaikan berat badan, yang boleh menjadi kebimbangan dalam kalangan orang yang cuba berhenti.
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati 24 kajian dengan sejumlah 7279 orang. Dua kajian memfokus untuk membantu mereka yang baharu berhenti merokok dan kajian-kajian lain memasukkan perokok semasa yang ingin berhenti. Kesemua kajian dijalankan dalam kalangan dewasa. Sebelas kajian adalah dalam kalangan wanita sahaja dan satu dalam kalangan lelaki sahaja. Kebanyakan kajian merekrut orang yang tidak aktif. Kebanyakan kajian menawarkan senaman jenis aerobik yang diawasi dan berasaskan kumpulan. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2019.
Keputusan-keputusan utama
Apabila digabung hasil 21 kajian (6607 peserta) yang membandingkan senaman dan program berhenti merokok dengan program berhenti merokok sahaja, tiada bukti senaman meningkakan kadar berhenti pada enam bulan atau lebih lama. Tiada bukti kesan tersebut berbeza untuk pelbagai jenis senaman. Apabila kami gabung hasil daripada dua kajian (453 peserta), tiada bukti senaman membantu orang yang baharu berhenti untuk terus berhenti.
Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti untuk sama ada program senaman membantu orang berhenti merokok sebagai kepastian rendah, mencadangkan penyelidikan masa depan boleh mengubah keputusan ini. Kepastian yang rendah adalah kerana kami tidak boleh mengetepikan peluang sebagai penjelasan untuk sedikit faedah yang dicadangkan. Mungkin senaman tidak boleh membantu sama sekali, atau mungkin menyokong orang untuk membuat senaman sederhana meningkatkan kadar berhenti. Kami tidak tahu mana yang benar. Kami juga mempertimbang sebilangan kajian mungkin bias. Kami bimbang kajian kecil yang mendapati kesan lebih kecil kurang cenderung untuk diterbitkan berbanding kajian kecil yang mendapati kesan yang lebih besar, membuat hasil purata mengelirukan. Kami menillai bukti dari dua kajian yang mengkaji sama ada senaman membantu orang ramai untuk mengelakkan relaps merokok berkepastian yang sangat rendah, sekali lagi mencadangkan lebih banyak penyelidikan diperlukan. Ini adalah kerana ketidaktepatan anggaran kesan dan risiko bias yang tinggi dalam kaedah-kaedah yang diguna oleh salah satu kajian.
Diterjemah oleh Nur Farahim Daud. Dikemaskini oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my