Ubat untuk emosinalisme selepas strok

Soalan ulasan

Untuk menilai faedah dan kemudaratan ubat pada orang yang mengalami emosinalisme selepas strok.

Latar belakang

Emosionalisme sering berlaku selepas strok. Emosionalisme bermaksud seseorang itu mempunyai kesukaran mengawal tingkah-laku emosi mereka. Selepas strok, pesakit mungkin tiba-tiba mula menangis atau, lebih jarang, ketawa tanpa sebab yang jelas. Ini menyusahkan pesakit itu dan penjaga mereka. Antidepresan, diketahui dapat membantu orang yang mengalami kemurungan, mungkin boleh menjadi rawatan yang berkesan untuk emosionalisme selepas strok, tetapi hanya terdapat sedikit kajian rawak terkawal (RCTs) dalam bidang ini. (RCT ialah kajian di mana peserta ditugaskan secara rawak kepada 2 atau lebih kumpulan rawatan. Ini adalah cara terbaik untuk memastikan yang kumpulan peserta adalah serupa, dan penyelidik dan peserta tidak tahu siapa yang berada dalam kumpulan mana.)

Tarikh carian

Kami mengenal pasti kajian melalui carian yang dijalankan pada 26 Mei 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 7 kajian rawak terkawal, yang melibatkan 239 orang dengan emosionalisme, dalam ulasan ini, yang melaporkan penggunaan antidepresan untuk rawatan emosionalisme. Bilangan orang yang dimasukkan dalam kajian adalah antara 10 hingga 92 orang. Purata/median umur adalah antara 57.8 tahun hingga 73 tahun. Kajian adalah dari Eropah (UK: 1; Denmark: 1; Scotland: 1; dan Sweden: 1); Asia (Korea Selatan: 1 dan Jepun: 1); dan AS (1).

Keputusan utama

Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian baru dalam kemas kini carian kami. Kami memasukkan 7 kajian yang melibatkan 239 orang. Walau bagaimanapun, 2 kajian tidak tersedia dalam format yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam analisis. Oleh itu, kami memasukkan hanya 5 kajian, dengan 213 orang, dalam analisis kami. Tidak pasti sama ada antidepresan menjejaskan bilangan orang dengan sekurang-kurangnya 50% pengurangan dalam paparan emosi, sebak, dan skor pada soal selidik yang mengukur ketawa atau tangisan yang tidak terkawal, tetapi mereka tidak mempunyai kesan terhadap skor labiliti (kekerapan perubahan mood) dan sama ada seorang doktor berpendapat terdapat peningkatan apabila dibandingkan dengan plasebo. Tiada kajian tentang jenis perubatan lain ditemui. Enam kajian melaporkan kematian dan mendapati tiada perbezaan antara mereka yang menggunakan antidepresan dan mereka yang tidak.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah sederhana hingga sangat rendah, dan keputusan penyelidikan lanjut mungkin berbeza daripada keputusan ulasan ini. Keyakinan kami terhad kerana kajian yang disertakan adalah kecil, dan tidak ada konsistensi dalam cara emosinalisme diukur merentas kajian.

Kesimpulan

Tidak pasti sama ada ubat antidepresan mengurangkan ledakan tangisan atau ketawa. Lebih banyak kajian dengan penilaian dan pelaporan sistematik tentang kesan tidak diingini atau memudaratkan sesuatu rawatan adalah diperlukan untuk memastikan bahawa sebarang manfaat melebihi risiko.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information