Mesej utama
Program intervensi awal yang menyasarkan bayi yang dilahirkan terlalu awal boleh memperbaik perkembangan mental dan fizikal pada fasa bayi (usia sifar sehingga tiga tahun) dan meningkatkan perkembangan mental pada usia prasekolah (usia tiga sehingga lima tahun).
Terdapat kekurangan bukti berkualiti baik berkenaan impak intervensi tersebut terhadap perkembangan mental dan fizikal pada fasa persekolahan (rentang usia lima sehingga 18 tahun).
Kajian masa depan dalam bidang ini harus memberi penekanan pada persoalan sama ada intervensi pada tahun pertama kehidupan bermanfaat apabila kanak-kanak tersebut semakin dewasa nanti.
Mengapakah bayi yang dilahirkan awal memerlukan intervensi?
Bayi yang dilahirkan terlalu awal (iaitu sebelum 37 minggu kehamilan) berkemungkinan besar mengalami masalah perkembangan, seperti ketertundaan dari segi penalaran dan pembelajaran (perkembangan mental), atau keterlambatan belajar duduk, berjalan dan/atau menggunakan tangan mereka (perkembangan fizikal ).
Apakah itu program intervensi awal?
Intervensi perkembangan awal bertujuan untuk mengurangkan masalah perkembangan mental dan fizikal dalam kalangan bayi yang dilahirkan terlalu awal menerusi pelaksanaan aktiviti yang mendukung dan meningkatkan perkembangan bayi. Intervensi boleh tertumpu pada bayi, hubungan antara ibu bapa dengan bayi, atau gabungan kedua-dua aspek ini, dan pendekatan ini boleh merangkumi pelbagai ragam terapi fizikal dan psikologi, serta pendidikan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengenalpasti sama ada pelaksanaan intervensi perkembangan awal dalam kalangan bayi yang dilahirkan terlalu awal boleh memperbaik kebolehan mental dan fizikal bayi pramatang sepanjang zaman kanak-kanak mereka.
Kami juga ingin mengetahui sama ada terdapat intervensi tertentu yang lebih berkesan berbanding dengan yang lain. Sebagai contoh:
- Bilakah suatu intervensi itu dimulakan, dan sama ada ianya dimulakan di lingkungan hospital atau di rumah;
- perkara yang difokuskan oleh intervensi: ibu bapa, bayi, hubungan ibu bapa-bayi atau gabungan;
- Sama ada kecederaan otak mempengaruhi keberkesanan intervensi awal;
- Sama ada umur dan berat bayi semasa lahir mempengaruhi keberkesanan intervensi awal.
Apa yang telah kami lakukan?
Ulasan ini ialah kemas kini daripada ulasan sebelumnya yang disiapkan pada 2015.
Kami mencari kajian di mana bayi yang dilahirkan terlalu awal (kurang daripada 37 minggu) diagihkan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan yang menyediakan intervensi perkembangan awal, atau kumpulan kawalan yang menerima penjagaan susulan standard, yang merupakan susulan perubatan biasa untuk bayi pramatang, dan kadangkala terdapat beberapa maklumat lanjut tentang penjagaan bayi yang lahir awal. Intervensi yang dikaji boleh dimulakan semasa bayi masih berada di hospital, tetapi juga perlu ada intervensi yang tetap diteruskan di rumah. Kajian itu perlu menilai aspek perkembangan mental atau fizikal bayi, atau kedua-duanya, pasca intervensi, dan kami mengumpulkan peserta kepada tiga kumpulan berdasarkan julat umur: bayi (sifar hingga tiga tahun), umur prasekolah (tiga hingga lima tahun) dan umur sekolah (usia lima hingga kurang daripada 18 tahun).
Kami membandingkan dan merumuskan hasil-hasil kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap kesahihan bukti berlandaskan faktor seperti perkaedahan kajian, bilangan bayi yang disiasat dalam setiap kajian, dan bilangan bayi yang dinilai semula sesudah intervensi dijalankan.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui bahawa aspek kajian sangat berbeza-beza mengenai tempoh intervensi, umur bayi dalam kajian yang disertakan dalam kajian, tempoh susulan dan perkara yang difokuskan oleh intervensi .
Terdapat 44 kajian dalam ulasan ini yang melibatkan 5051 orang bayi yang dilahirkan pramatang. Terdapat 19 kajian baharu disertakan dalam kemas kini ini dan tiga kajian yang kami disertakan sebelum ini yang mempunyai data baharu.
Kami menemui bahawa kebanyakan intervensi tertumpu pada bayi serta hubungan antara ibu bapa dengan bayi.
Kami juga menemui bahawa intervensi pada fasa perkembangan awal meningkatkan perkembangan mental pada usia prasekolah, namun intervensi tersebut mungkin tidak meningkatkan perkembangan motor pada usia prasekolah. Pada usia bayi, kajian kami menunjukkan bahawa intervensi tersebut dapat merangsang perkembangan mental dan fizikal . Namun begitu, intervensi tersebut tidak mendatangkan manfaat dari segi perkembangan mental dan fizikal pada usia persekolahan.
Apakah batasan bukti?
Terdapat banyak kepelbagaian dari segi perincian kajian, khususnya, tempoh intervensi berlangsung dan seberapa banyak intervensi itu diterapkan pada bayi. Terdapat juga pelbagai alat ukuran berbeza yang digunakan untuk mengukur perkembangan dalam setiap rentang usia, terutamanya dari segi pembangunan fizikal . Kami mempunyai keyakinan yang terhad terhadap keputusan susulan usia sekolah kerana kebimbangan tentang bilangan kecil kajian dengan data.
Sejauh manakah bukti ini adalah terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu dari 2015. Bukti ini adalah terkini sehingga Julai 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Dr. Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).