Soalan ulasan
Ulasan yang dibuat oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane menjelaskan kesan tampalan sewarna gigi (resin komposit) berbanding tampalan amalgam apabila diletak terus ke dalam kaviti gigi kekal di bahagian belakang mulut.
Latar belakang
Secara tradisional, tampalan logam yang dibuat daripada bahan berwarna perak yang dikenali sebagai amalgam telah diguna untuk merawat kerosakan gigi dengan berkesan dan murah; walau bagaimanapun, akibat rasa tidak senang dengan penampilan logam dan kebimbangan tentang kandungan merkuri di dalamnya, ia jarang diguna, terutama di negara berpendapatan tinggi. Konvensyen Minamata tentang mercuri adalah perjanjian global yang telah mempromosi pengurangan penggunaan merkuri di seluruh dunia (termasuk tampalan amalgam) untuk mengurangkan impak merkuri pada alam sekitar. Tampalan sewarna gigi yang dibuat dari bahan resin komposit telah diguna sebagai alternatif kepada tampalan amalgam. Pada mulanya, ia hanya diguna untuk gigi depan, tetapi karena kualitinya meningkat, ia digunakan untuk gigi kekal di bahagian belakang mulut.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari pangkalan data saintifik sehingga 16 Februari 2021 dan menemui lapan kajian yang relevan. Kajian-kajian menilai 3285 tampalan komposit dan 1955 tampalan amalgam; walau bagaimanapun, adalah tidak jelas berapa ramai peserta yang menerima tampalan ini. Umur sebenar para peserta tidak jelas dalam beberapa kajian, tetapi kajian-kajian melibatkan kanak-kanak dan dewasa. Kajian dilakukan di UK, USA, Portugal, Sweden, Belanda, Belgium, Jerman, dan Turki.
Para peserta dalam enam kajian menerima tampalan komposit dan amalgam pada gigi yang berlainan (dikenali sebagai 'reka bentuk ‘split-mouth'), sementara para peserta dalam dua kajian lain menerima tampalan komposit atau amalgam (reka bentuk 'parallel-group’').
Keputusan utama
Analisis utama kami memfokus kepada dua kajian ‘parallel-group’ yang merawat 921 kanak-kanak (berumur 6 hingga 12 tahun) yang gigi mereka ditampal dengan tampalan amalgam (1365) atau resin komposit (1645). Kami mendapati tampalan resin komposit lebih cenderung gagal berbanding tampalan amalgam ketika diguna untuk menampal kaviti pada gigi kekal di bahagian belakang mulut. Kerosakan gigi selepas ditampal (dikenali sebagai 'karies sekunder') lebih kerap berlaku dengan resin komposit berbanding tampalan amalgam. Tiada cadangan perbezaan antara bahan-bahan dalam kecenderungan untuk tampalan terpecah.
Enam daripada kajian mengguna reka bentuk 'split-mouth', yang bermaksud setiap peserta mempunyai kedua-dua jenis tampalan pada gigi yang berlainan. Kajian-kajian ini kurang boleh dipercayai kerana ia tidak menjelaskan sepenuhnya bagaimana kajian dijalankan, dan tidak jelas berapa ramai orang yang menerima tampalan. Kami menganalisis kajian ‘split-mouth’ secara berasingan dari kajian ‘parallel-group’, dan melakukan pendekatan statistik yang dikenali sebagai 'analisis subkumpulan'. Ia menunjukkan penemuan-penemuan kajian-kajian tersebut sesuai dengan keputusan daripada dua kajian ‘parallel-group’.
Tiga kajian melaporkan kesan sampingan negatif. Walaupun kami dapati terdapat kemungkinan kesan sampingan dengan setiap bahan yang diguna, maklumat ini tidak boleh dipercayai kerana penulis kajian telah melakukan begitu banyak analisis sehingga keputusan 'positif palsu' mungkin diperolehi. Secara keseluruhan, bahan mungkin berbeza dari segi keselamatannya, tetapi tahap perbezaan yang dikenal pasti dalam kajian-kajian tersebut mungkin tidak penting.
Ringkasnya, kami dapati tampalan resin komposit adalah hampir dua kali ganda berkemungkinan untuk gagal berbanding tampalan amalgam apabila diguna sebagai tampalan gigi kekal di bahagian belakang mulut. Tampalan komposit nampaknya tidak cenderung untuk pecah, tetapi lebih cenderung untuk kerosakan gigi lanjutan berbanding tampalan amalgam. Bukti semasa menunjukkan tiada perbezaan penting dalam keselamatan antara amalgam dan tampalan resin komposit.
Kepastian bukti
Kami menilai bukti sedia ada sebagai 'berkepastian rendah', yang bermaksud keputusan mungkin berubah dengan penyelidikan masa depan. Oleh kerana warna tampalan amalgam dan resin komposit berbeza, tidak mungkin untuk 'membutakan' mereka yang terlibat dalam kajian ini daripada mengetahui rawatan yang diberikan, oleh itu terdapat risiko bias tinggi dalam semua kajian-kajian yang disertakan. Selain itu, penemuan-penemuan adalah tidak tepat dan kadang-kadang tidak konsisten, oleh itu kami tidak dapat memastikan bukti adalah boleh percaya.
Implikasi bukti
Secara keseluruhan, bukti mencadangkan restorasi amalgam adalah berkesan, tahan lama, dan selamat, sementara restorasi resin komposit lebih cenderung gagal dan menyebabkan karies sekunder. Walau bagaimanapun, kajian-kajian dalam ulasan ini agak lama, dan bahan resin komposit mungkin bertambah baik sejak kajian yang tersebut dijalankan. Pesakit dan penyedia pergigian boleh berbincang mengenai bahan yang ingin mereka guna apabila gigi kekal di bahagian belakang mulut memerlukan tampalan di klinik pergigian. Pihak kerajaan di seluruh dunia berusaha untuk mengurangi penggunaan amalgam gigi (menurut Konvensyen Minamata tentang Merkuri), oleh itu setiap kawasan setempat mempunyai peraturan dan panduan tersendiri.
Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.cochrane@rcsiucd.edu.my