Mesej utama
Rawatan yang membantu darah beku (dikenali sebagai 'terapi hemostatik') mungkin membantu orang yang mengalami strok akibat pendarahan dalam otak (dikenali sebagai 'pendarahan intracerebral').
– Transfusi platelet mungkin membahayakan orang yang mengalami pendarahan intracerebral semasa mengambil ubat seperti aspirin.
– Semua terapi lain tidak menunjukkan kemudaratan mahupun faedah.
– 13 kajian sedang menyiasat terapi hemostatik selepas pendarahan intracerebral dan keputusannya mungkin mengubah kesimpulan kami.
Apakah pendarahan intracerebral?
Lebih daripada satu persepuluh daripada semua strok disebabkan oleh pendarahan intracerebral. Semakin besar pendarahan, semakin besar kemungkinan ia membawa maut. Kira-kira satu perlima daripada pendarahan intracerebral membesar dengan ketara, kebanyakannya dalam tempoh tiga jam pertama selepas pendarahan bermula.
Bagaimanakah terapi hemostatik boleh menambahbaik hasil selepas pendarahan intracerebral?
Terapi hemostatik mungkin melambatkan pendarahan dan mengurangkan kerosakan otak, membawa kepada pemulihan yang lebih baik, terutamanya jika diberikan sejurus selepas pendarahan bermula.
Walau bagaimanapun, terapi hemostatik mungkin menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini akibat pembekuan, seperti serangan jantung, strok dan darah beku dalam paru-paru.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada terapi hemostatik seperti pemindahan platelet, ubat antifibrinolitik (kebanyakannya asid traneksamik), faktor pembekuan 7, atau pati kompleks protrombin meningkatkan pemulihan penghidap strok akibat pendarahan intracerebral.
Kami juga ingin mengetahui sama ada terapi hemostatik menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian klinikal yang melibatkan orang yang mengalami pendarahan intracerebral yang membandingkan terapi hemostatik dengan penjagaan standard, plasebo (rawatan palsu), atau rawatan alternatif pembekuan darah.
Kami mengasingkan rawatan kepada empat kumpulan: faktor pembekuan 7 berbanding plasebo, ubat antifibrinolitik berbanding plasebo, transfusi platelet berbanding penjagaan standard untuk orang yang sudah mengambil ubat antiplatelet (ubat yang menghalang pembekuan darah daripada terbentuk seperti aspirin), dan plasma beku segar (produk darah yang diperbuat daripada bahagian cecair darah yang digunakan untuk merawat orang yang mempunyai faktor pembekuan darah yang rendah) berbanding pati kompleks protrombin (yang menyebabkan pembekuan darah) untuk orang yang sedang mengambil warfarin (ubat yang biasa digunakan untuk merawat dan mencegah pembekuan darah).
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai kepastian kami tentang bukti, berdasarkan faktor seperti bilangan kajian, kaedah dan saiz.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 20 kajian klinikal yang menyertakan 4652 orang dengan pendarahan intracerebral.
Faktor pembekuan 7 mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam menambahbaik pemulihan, mengurangkan pendarahan lanjut, kematian, atau kesan yang tidak diingini.
Ubat antifibrinolitik menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam menambahbaik pemulihan; pengurangan sedikit pendarahan lanjut dalam masa 24 jam; dan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian, kesan yang tidak diingini, mood, ingatan, dan kualiti hidup.
Pemindahan platelet berkemungkinan memburukkan pemulihan bagi orang yang sedang mengambil ubat antiplatelet, tetapi mempunyai sedikit atau tiada kesan pada pendarahan lanjut, kematian, atau kesan yang tidak diingini.
Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan faktor pembekuan yang berbeza bagi orang yang sedang mengambil warfarin, dan terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara mereka tentang pemulihan, pendarahan lanjut, kematian, dan kesan yang tidak diingini.
Apakah batasan bukti?
Walaupun kami menemui 20 kajian yang menyertakan 4652 orang, mereka tersebar di empat perbandingan berbeza terapi hemostatik. Ini bermakna bahawa banyak kajian tidak cukup tepat dan mereka mungkin terlepas manfaat kecil tetapi penting. Dua daripada perbandingan itu menyertakan hanya satu kajian setiap satu. Lapan kajian menggunakan plasebo tetapi dalam kajian lain ada kemungkinan peserta tahu rawatan yang mereka perolehi, yang mungkin menyebabkan keputusan berat sebelah. Sesetengah kajian tidak memberikan data tentang semua hasil yang kami ingin nilai. Maklumat lanjut akan tersedia daripada 13 kajian yang sedang dijalankan pada masa ulasan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu pada 2018. Bukti adalah terkini sehingga September 2022.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).