Mesej utama
Kami tidak pasti sama ada penyingkiran tisu mati atau dijangkiti pada luka pembedahan atau penjagaan yang biasanya disediakan membuat apa-apa perbezaan kepada berapa lama masa yang diperlukan untuk mengeluarkan semua tisu mati dari luka dan untuk luka itu sembuh.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Selepas pembedahan, kebanyakan luka pembedahan sembuh secara semula jadi tanpa komplikasi. Walau bagaimanapun, komplikasi seperti jangkitan boleh berlaku, yang boleh mengakibatkan kelewatan penyembuhan. Terdapat banyak kaedah berbeza untuk menyingkir tisu mati atau dijangkiti (dipanggil debridemen), seperti pembedahan membuang tisu, enzim (protein semulajadi yang melarutkan tisu), dan kaedah mekanikal (contohnya, kain kasa kering khas yang dikeluarkan apabila tisu telah melekat padanya). Kami ingin melihat cara berbeza untuk menyingkir tisu mati atau dijangkiti daripada luka selepas pembedahan dan mengetahui cara ia menjejaskan masa yang diperlukan untuk mengeluarkan semua tisu mati daripada luka dan untuk luka sembuh.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang direka dengan baik termasuk orang dari sebarang umur yang membanding satu kaedah debridemen dengan rawatan dummy (plasebo), tiada rawatan atau kaedah debridemen yang lain selepas pembedahan.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui enam kajian bertarikh dari 1979 hingga 2014 yang membandingkan pelbagai jenis debridemen luka dengan cara jaga yang biasanya disediakan untuk luka yang mempunyai tisu mati di dalamnya selepas pembedahan. Kesemua enam kajian membandingkan pelbagai jenis kaedah debridement atau jenis jaga biasa yang berbeza , bermakna kami tidak dapat menggabungkan hasilnya. Jumlah purata peserta dalam kajian-kajian ialah 265, dan usia peserta adalah antara tiga tahun hingga 91 tahun. Kajian-kajian itu dijalankan di hospital di China, Denmark, Belgium, dan UK.
Empat kajian membandingkan kaedah rawatan yang menggalakkan proses penyembuhan luka semula jadi badan (dipanggil autolitik) dengan pelbagai jenis jaga biasa yang berbeza. Secara keseluruhannya, kami menemui bahawa kaedah ini boleh memberi sedikit perbezaan atau tiada perbezaan pada tempoh masa yang diperlukan untuk menyingkir semua tisu mati . Satu kajian membandingkan satu enzim dengan penjagaan biasa, dan kami mendapati bahawa kaedah ini boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam berapa lama ia mengambil masa untuk menyingkir semua tisu mati. Satu kajian membandingkan kaedah berbeza untuk menyingkir tisu mati menggunakan pembedahan (satu melalui pembedahan 'lubang kunci', yang lain pembedahan 'normal'). Kami menemui bahawa menggunakan pembedahan lubang kunci untuk menyingkir tisu mati boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan pada masa untuk luka sembuh, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Hanya tiga daripada kajian (dua autolitik dan satu menggunakan enzim) melaporkan peristiwa bahaya yang serius yang membawa kepada penghentian rawatan atau kemasukan hospital . Terdapat kemungkinan tiada perbezaan dalam kematian dan peristiwa bahaya yang serius antara kaedah rawatan.
Secara keseluruhan, semua kajian menunjukkan bahawa tidak jelas sama ada sebarang jenis debridemen luka adalah lebih baik daripada penjagaan biasa dalam mengurangkan masa untuk menyingkir semua tisu mati, masa untuk penyembuhan penuh, peristiwa bahaya yang serius yang membawa kepada penghentian rawatan atau kemasukan hospital.
Apakah batasan bukti?
Secara keseluruhan, kami sangat tidak pasti tentang bukti, terutamanya kerana kajian mempunyai bilangan orang yang kecil, dan tidak melaporkan keputusan dengan baik. Selain itu, lima kajian menggunakan produk debridemen yang tidak lagi digunakan secara klinikal.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Kami telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga Oktober 2021.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).