Soalan ulasan
Apakah faedah dan risiko pemberian cecair untuk pesakit dewasa yang sudah sampai di peringkat akhir penyakit?
Mesej-mesej utama
- Kami tidak pasti sama ada pemberian cecair melalui infusi sama ada ke dalam pembuluh vena atau di bawah kulit, ataupun menerusi tiub terus ke dalam perut pada peringkat akhir penyakit akan memperbaik kualiti hidup (iaitu menjamin kesejahteraan pesakit) jika dibandingkan dengan penjagaan standard (iaitu penjagaan mulut yang baik untuk mengurangkan rasa dahaga) atau plasebo. Plasebo ialah 'dummy', iaitu rawatan ‘palsu’ yang nampak serupa tetapi hanya mengandungi jumlah cecair yang tidak terapeutik.
- Kami tidak pasti sama ada pemberian rawatan cecair meningkatkan tempoh masa hidup orang atau jika ia membawa kepada kesan yang tidak diingini atau berbahaya.
- Kami memerlukan lebih banyak kajian yang lebih baik untuk menyiasat pemberian rawatan cecair untuk orang di peringkat akhir penyakit. Kajian masa depan harus menumpukan pada ujian yang lebih baik untuk menentukan sama ada pemberian rawatan cecair membantu orang ramai, dan untuk mengetahui bila untuk memulakan cecair dan berapa banyak cecair akan membantu, jika ada.
Mengapa kita harus menambahkan pemberian rawatan cecair pada peringkat akhir penyakit?
Penjagaan paliatif ialah rawatan, penjagaan, dan sokongan yang disediakan untuk orang yang hidup dengan penyakit yang membatasi nyawa. Pesakit dewasa yang menerima rawatan paliatif boleh mengalami penurunan keinginan untuk minum air secara oral apabila mereka menghampiri penghujung hayat. Pada waktu ini mereka mungkin mengalami gejala yang disebabkan kurangnya peminuman cecair yang dapat menjejaskan kualiti hidup mereka. Kebimbangan selanjutnya ialah tanpa cecair tambahan jangka hayat mereka boleh dikurangkan sebagai potensi kematian akibat komplikasi sekunder akibat pengambilan oral yang berkurangan dan bukannya penyakit yang mereka hidapi.
Apa yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada pemberian rawatan cecair akan membantu pesakit dewasa di peringkat akhir hayat.
Kami ingin menyiasat kesan pemberian rawatan cecair pada:
- kualiti hidup (kesejahteraan) pesakit;
- jangka hayat pesakit, dan
- kesan sampingan yang tidak diingini atau berbahaya.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat sama ada:
- terapi bantuan rawatan cecair berbanding dengan plasebo yang mengandungi jumlah cecair bukan terapeutik; atau
- terapi bantuan rawatan cecair berbanding penjagaan piawai termasuk penjagaan rongga mulut yang baik untuk mengurangkan rasa dahaga
berkesan dan sama ada pendekatan tersebut menyebabkan sebarang kesan sampingan terhadap pesakit paliatif yang berusia 18 tahun dan ke atas yang sedang menerima rawatan pada peringkat akhir penyakit mereka.
Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap kumpulan bukti itu dengan mempertimbangkan faktor seperti perkaedahan kajian dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami mengenal pasti 4 kajian yang melibatkan seramai 422 orang. Dua kajian membandingkan bantuan rawatan cecair dengan pendekatan plasebo, dan dua lagi kajian membandingkan pendekatan memberikan bantuan rawatan cecair dengan penjagaan piawai. Kajian terbesar adalah dalam 200 orang, dan kajian terkecil adalah dalam 42 orang; kajian berlangsung antara 2 dan 14 hari. Umur pesakit yang terlibat dalam kajian-kajian ini adalah antara 28 hingga 98 tahun, dan peserta terdiri daripada 226 wanita dan 196 lelaki. Kajian-kajian tersebut telah dilaksanakan di negara-negara di seantero dunia, termasuk Britania Raya, Amerika Syarikat, dan Argentina. Dua kajian telah dibiayai dengan geran penyelidikan klinikal. Kami tidak dapat mengenal pasti kajian yang tidak melibatkan sebarang pesakit yang menghidap kanser tahap lanjut.
Keputusan utama
Dalam kalangan pesakit dewasa yang menerima rawatan cecair pada peringkat fasa terakhir penyakit, apabila dibandingkan dengan pendekatan plasebo:
- kami tidak pasti sama ada cecair yang diberikan akan memperbaik kualiti hidup;
- kami tidak pasti sama ada cecair yang diberikan memanjangkan jangka hayat pesakit, dan sama ada ianya menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini atau berbahaya.
Dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan cecair pada peringkat akhir penyakit, berbanding dengan pendekatan rawatan piawai:
- kami tidak pasti sama ada pemberian rawatan cecair meningkatkan kualiti hidup kerana ketandusan maklumat dalam kajian yang telah dijalankan setakat ini;
- kami tidak pasti sama ada cecair yang diberikan dapat memanjangkan jangka hayat pesakit, dan sama ada ianya menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini atau berbahaya.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin dengan bukti, dan hasil penyelidikan lanjut mungkin berbeza daripada hasil ulasan ini. Tiga faktor utama mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, bukti tidak meliputi semua orang yang kami minati, kerana kami hanya menemui kajian yang menyertakan orang yang menghidap kanser lanjutan. Kedua, kajian adalah sangat kecil dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan keputusan hasil kami. Akhir sekali, ada kemungkinan bahawa peserta dalam kajian-kajian itu telah menyedari jenis rawatan yang diberikan kepada mereka, dan hal ini yang boleh menyebabkan keberatsebelahan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini setakat November 2022.
Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my