Mesej utama
• Bagi wanita mengandung positif HIV, penambahan ubat antimalaria (seperti mefloquine atau dihydroartemisinin/piperaquine) kepada rawatan pencegahan jangkitan biasa bagi individu dengan HIV (cotrimoxazole harian):
- mungkin mengurangkan risiko ibu dijangkiti dengan malaria semasa dia melahirkan bayinya;
- mungkin mengurangkan jangkitan malaria di dalam uri;
- mungkin tidak menjejaskan risiko kehilangan bayi sebelum bersalin atau selepas kelahiran, atau bayi yang mempunyai berat lahir yang rendah.
• Walaupun mefloquine, apabila ditambah kepada cotrimoxazole harian, mungkin mengurangkan risiko jangkitan malaria dalam wanita positif HIV, ia mungkin meningkatkan risiko penularan HIV daripada ibu kepada anak dan mungkin mempunyai risiko reaksi negatif ubat yang lebih tinggi.
• Dihydroartemisinin/piperaquine, semasa ditambah kepada cotrimoxazole harian, mungkin mengurangkan risiko malaria dalam uri wanita mengandung positif HIV. Ia mungkin menyebabkan tiada perbezaan kepada risiko berat lahir rendah atau kehilangan bayi sebelum atau selepas kelahiran, atau risiko kesan-kesan sampingan minor, seperti muntah.
Mengapa pencegahan malaria pada wanita mengandung positif HIV ini penting?
Ibu-ibu mengandung positif HIV mudah diserang malaria. Mempunyai kedua-dua penyakit iaitu malaria dan HIV boleh menjadikan malaria bertambah teruk semasa hamil, meningkatkan risiko-risiko komplikasi kesihatan pada wanita dan bayi mereka. Pengambilan ubat harian yang dikenali sebagai cotrimoxazole adalah disarankan untuk mencegah jangkitan di kalangan individu dengan HIV, termasuklah para wanita yang sedang mengandung, di negara-negara di mana jangkitan malaria adalah sangat kerap berlaku. Ubat yang disarankan untuk mencegah malaria semasa mengandung, sulfadoxine-pyrimethamine, tidak boleh diambil oleh wanita yang mengambil cotrimozaxole disebabkan oleh potensi interaksi negatif antara kedua-dua ubat tersebut.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada ubat-ubatan antimalaria yang sedia ada pada masa kini, efektif dan selamat untuk digunakan bagi mencegah jangkitan malaria di kalangan wanita mengandung positif HIV. Ini adalah kemas kini kepada ulasan Cochrane yang telah diterbitkan pada 2011.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang telah mengkaji manfaat dan mudarat ubat-ubatan antimalaria yang telah digunakan sebagai pencegahan malaria di kalangan wanita mengandung positif HIV. Kami menggabungkan hasil-hasil kajian tersebut.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 14 kajian dengan 4976 wanita mengandung positif HIV. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan di antara tahun 2002 dan 2023 di negara-negara Afrika sub-Sahara: Benin, Republik Afrika Tengah, Gabon, Malawi, Mozambik, Nigeria, Kenya, Tanzania, Togo, Uganda, dan Zambia. Kajian-kajian telah menguji sembilan perbandingan antara regimen-regimen ubat yang berbeza.
Apakah keputusan utama?
Menambah satu ubat anti-malaria seperti mefloquine atau dihydroartemisinin/ piperaquine kepada cotrimoxazole harian mungkin mengurangkan risiko jangkitan malaria dalam darah ibu semasa bersalin dan dalam uri. Ia mungkin tidak meningkatkan atau mengurangkan risiko mempunyai bayi dengan berat lahir rendah, atau kehilangan bayi sebelum atau selepas lahir. Ia mungkin tidak meningkatkan atau mengurangkan risiko ibu terhadap anemia (i.e. tahap zat besi rendah di dalam darah). Kami tidak tahu sekiranya ia mempunyai sebarang kesan terhadap risiko terdapat parasit malaria di dalam tali pusat bayi.
Walaupun mefloquine mungkin mengurangkan risiko jangkitan malaria, ia mungkin meningkatkan risiko penularan HIV dari ibu ke anak dan mungkin lebih cenderung mengakibatkan kesan-kesan negatif berkaitan dengan ubat, apabila dibandingkan dengan cotrimoxazole harian sahaja.
Apabila kami melihat secara berasingan kajian yang menilai dihydroartemisinin/piperaquine, kami telah menemui bahawa dihydroartemisinin/piperaquine yang telah ditambah kepada cotrimoxazole harian mungkin tidak mengurangkan kehadiran parasit Plasmodium dalam darah ibu semasa bersalin atau risiko anemia, tetapi ia mengurangkan jangkitan malaria di dalam uri. Ia mungkin tidak meningkatkan atau mengurangkan risiko berat lahir rendah, atau kehilangan bayi sebelum atau selepas kelahiran. Dihydroartemisinin/piperaquine ditambah dengan cotrimoxazole harian mungkin tidak meningkatkan risiko penularan HIV dari ibu ke anak, dibandingkan kepada cotrimoxazole harian sahaja, dan mungkin tidak meningkatkan risiko kesan-kesan sampingan negatif daripada mengambil ubat tersebut.
Apakah batasan bukti?
Dari segi rawatan pencegahan rutin untuk wanita positif HIV (cotrimoxazole harian) ditambah dengan ubat lain (mefloquine atau dihydroartemisinin/piperaquine), kami yakin terhadap bukti berkaitan dengan anemia ibu semasa bersalin. Kami sederhana yakin terhadap bukti tentang kehadiran parasit di dalam darah ibu dan uri, bayi yang dilahirkan dengan berat badan rendah, dan kelahiran mati dan pengguguran spontan. Terdapat kemungkinan individu dalam salah satu kajian sedar tentang siapa yang telah menerima setiap regimen ubat, yang mungkin boleh mempengaruhi hasil kajian. Kami kurang yakin terhadap hasil kami terhadap kehadiran parasit di dalam darah tali pusat dan risiko kematian bayi selepas kelahiran, disebabkan keputusan daripada kajian-kajian adalah berbeza-beza.
Dari segi rawatan pencegahan rutin (cotrimoxazole harian) ditambah dengan dihydroartemisinin/piperaquine secara khusus, kami yakin terhadap bukti tentang jangkitan malaria yang dikesan dengan kehadiran parasit di dalam uri ibu. Kami sederhana yakin terhadap bukti tentang kehadiran parasit di dalam darah ibu, anemia ibu semasa bersalin, bayi yang lahir dengan berat badan rendah, kelahiran mati dan pengguguran spontan, dan kematian bayi. Kami kurang yakin terhadap hasil kami untuk kesan-kesan sampingan ubat, dan penularan HIV daripada ibu kepada bayi.
Sejauh manakah bukti ini dikemas kini?
Para penulis mencari kajian-kajian sehingga 31 Januari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).