Apakah itu batu karang dalam buah pinggang?
Ketulan batu-batu boleh terbentuk di dalam buah pinggang, pundi kencing, ureter (tiub yang membawa air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing), atau uretra (tiub di mana air kencing melalui keluar dari badan) apabila cecair yang berada di dalam air kencing tidak mencukupi untuk mencairkan mineral atau bahan lain yang terkandung di dalamnya. Jika ketulan batu-batu itu terbentuk di dalam buah pinggang, ia dipanggil batu karang. Orang yang minum sangat sedikit air, mempunyai diet yang kurang baik, berat badan berlebihan, mempunyai keadaan kesihatan tertentu, atau menggunakan ubat-ubatan tertentu adalah lebih berkemungkinan mendapat batu karang. Batu karang boleh menyebabkan kesakitan, jangkitan kuman di buah pinggang dan kegagalan buah pinggang (apabila buah pinggang tidak boleh berfungsi dengan sendirinya).
Bagaimanakah batu karang dirawat?
Rawatan untuk batu karang termasuklah extracorporeal shock wave lithotripsy (ESWL), percutaneous nephrolithotomy (PCNL), dan pembedahan intrarenal retrogred (RIRS). ESWL menggunakan gelombang bertenaga tinggi dari luar badan untuk memecahkan batu di dalam buah pinggang menjadi serpihan kecil tanpa memotong kulit. Serpihan batu yang pecah adalah cukup kecil untuk dikeluarkan melalui air kencing. PCNL ialah kaedah pembedahan untuk membuang batu karang yang melibatkan proses memasukkan tiub kecil melalui kulit ke dalam buah pinggang, kemudian memecahkan batu menggunakan pelbagai alatan (seperti laser dan ultrabunyi), dan mengeluarkan serpihan batu yang pecah tersebut melalui tiub tadi. RIRS adalah satu lagi kaedah pembedahan, yang memasukkan tiub kamera kecil melalui uretra dan ureter ke dalam buah pinggang, kemudian menghancurkan atau menyejat batu tersebut sehingga kering atau mencengkam dan mengeluarkannya dengan penyepit kecil.
Apa yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui bagaimana ESWL berbanding dengan PCNL dan RIRS dari segi kejayaan rawatan, kualiti hidup, komplikasi, tempoh tinggal di hospital, dan kesan lain yang penting kepada mereka yang ada batu karang.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami hanya menyertakan kajian rawak terkawal (kajian yang memasukkan peserta yang mengambil bahagian secara rawak kepada kumpulan eksperimen atau kumpulan perbandingan) yang membandingkan ESWL dengan PCNL atau RIRS. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 31 kajian yang menyertakan 3361 orang (1360 orang telah dirawat dengan ESWL, 786 dengan PCNL, dan 925 dengan RIRS). Kajian terbesar melibatkan 649 orang dan kajian terkecil melibatkan 30 orang. Kajian telah dijalankan di negara-negara seluruh dunia; kebanyakannya bertempat di Eropah (12 kajian). Syarikat peralatan perubatan membiayai dua daripada kajian-kajian tersebut. Saiz purata batu adalah 13.4 mm.
Keputusan utama
Berbanding dengan PCNL, ESWL mungkin mempunyai kejayaan rawatan yang lebih rendah; untuk setiap 1000 orang yang dirawat, hanya 619 orang yang dirawat dengan ESWL mungkin tidak lagi mempunyai batu selepas tiga bulan, berbanding 923 orang yang dirawat dengan PCNL. ESWL dan PCNL mungkin mempunyai kesan yang sama terhadap kualiti hidup: pada skala 0 hingga 100, di mana perbezaan yang bermakna ialah 10 mata, orang yang dirawat dengan ESWL mungkin mendapat 1.5 mata lebih rendah daripada mereka yang dirawat dengan PCNL. ESWL mungkin membawa kepada komplikasi yang lebih sedikit berbanding dengan PCNL: untuk setiap 1000 orang yang dirawat, 134 yang dirawat dengan ESWL mungkin mengalami komplikasi, berbanding 216 orang yang dirawat dengan PCNL.
Berbanding dengan RIRS, ESWL mungkin mempunyai kejayaan rawatan yang lebih rendah: untuk setiap 1000 orang yang dirawat, 721 yang dirawat dengan ESWL mungkin tidak lagi mempunyai batu selepas tiga bulan, berbanding 848 orang yang dirawat dengan RIRS. Kami sangat tidak pasti tentang kesan ESWL berbanding dengan RIRS terhadap kualiti hidup dan kesan yang tidak diingini.
Apakah batasan bukti?
Bergantung kepada keputusan, keyakinan kami terhadap bukti adalah sederhana hingga sangat rendah. Ini terutamanya adalah kerana sesetengah kajian mempunyai kaedah yang tidak sempurna, kerana terdapat perbezaan penting dalam keputusan merentas kajian yang tidak dapat kami jelaskan, dan kerana sesetengah kajian melibatkan peserta yang sedikit. Oleh yang demikian, keputusan kami mungkin berubah sekiranya ada bukti lain pada masa depan.
Setakat manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini semakan terdahulu kami yang telah diterbitkan pada 2014. Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 6 Disember 2022.
Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my