Rehabilitasi kardiak di rumah berbanding pusat rehabilitasi kardiak yang diselia

Soalan ulasan

Kami membandingkan program pemulihan jantung di rumah (termasuk yang melibatkan penggunaan teknologi digital, seperti laman web dan aplikasi) dengan pemulihan jantung di pusat yang diselia untuk orang dewasa dengan infarksi miokardium (aliran darah ke jantung telah berhenti), angina (sakit dada), kegagalan jantung (jantung tidak dapat mengepam darah ke seluruh badan dengan betul) atau yang telah menjalani revaskularisasi (pembedahan untuk memulihkan aliran darah).

Latar belakang

Pemulihan jantung bertujuan untuk menjadikan pesakit jantung kembali sihat, melalui gabungan senaman, pendidikan, dan sokongan psikologi. Secara tradisinya, program pemulihan jantung di pusat rehabilitasi (cth berpusat di hospital, gimnasium atau di pusat komuniti/sukan) ditawarkan kepada pesakit selepas masalah jantung. Program pemulihan jantung di rumah, yang boleh merangkumi platform digital, telah diperkenalkan untuk meningkatkan akses dan penglibatan.

Tarikh carian

Kami mencari sehingga September 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian yang memperuntukkan peserta secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) melihat keberkesanan pemulihan di rumah (yang mungkin merangkumi teknologi digital/telekesihatan) berbanding program pemulihan jantung di pusat yang diselia, bagi orang dewasa dengan penyakit jantung.

Kami telah menyertakan 24 kajian (3046 peserta). Kami juga menemui sembilan lagi kajian dan 14 kajian yang telah didaftarkan tetapi ianya sedang berjalan atau belum dimasukkan dalam analisis. Kebanyakan kajian adalah agak kecil (median 104 peserta, julat: 20 hingga 525). Umur purata peserta kajian adalah antara 51.6 hingga 69 tahun. Wanita menyumbang hanya 19% daripada peserta yang direkrut; empat kajian tidak memasukkan wanita. Semua kajian memasukkan model penyampaian berasaskan pusat dan rumah yang memerlukan seliaan (sama ada bersemuka atau jarak jauh) oleh pakar penjagaan kesihatan. Empat kajian menggunakan teknologi digital/telekesihatan untuk menyokong penyampaian di rumah mereka.

Diagnosis yang diambil untuk kajian adalah pelbagai: sembilan kajian memasukkan populasi yang bercampur dengan penyakit jantung koronari, enam kajian melibatkan mereka yang mengalami serangan jantung/infarksi miokardium, empat kajian selepas revaskularisasi, dan lima melibatkan mereka dengan kegagalan jantung.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa program pemulihan jantung di rumah dan di pusat memberikan manfaat yang serupa, diukur dari segi bilangan kematian, kapasiti senaman dan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan. Data lanjut adalah diperlukan untuk mengesahkan sama ada kesan jangka pendek pemulihan jantung di rumah/digital & telekesihatan dan di pusat boleh terus dikekalkan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti berkisar dari rendah (jumlah kematian), hingga sederhana (kapasiti senaman selama 12 bulan dan kualiti hidup berkaitan kesihatan). Sebab utama penilaian kualiti yang rendah adalah pelaporan kajian yang lemah.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Azra Baharin (RCSI & UCD Campus Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information