Apakah manfaat dan risiko terapi psikologi bagi orang dewasa dengan sakit berterusan dan distres yang tidak berkait dengan kanser ataupun sakit kepala?

Mengapa soalan ini penting

Ramai orang mengalami sakit melebihi tiga bulan yang tidak berkait dengan kanser ataupun sakit kepala. Pencarian diagnosis dan kelegaan sakit selalunya lama dan tidak menggalakkan. Bagi sesetengah orang, sakit yang berterusan membawa kepada ketakdayaan, depresi, keresahan dan pemencilan sosial.

Rawatan psikologi (terapi pertuturan dan tingkah laku) bertujuan membantu orang mengubah cara mereka menguruskan sakit, mengurangkan ketakdayaan dan distres. Untuk mengetahui keberkesanan rawatan-rawatan ini apabilia disampaikan oleh ahli psikologi terlatih, dan sama ada ia menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini (buruk), kami mengulas bukti penyelidikan.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti

Pertamanya, kami mencari semua kajian yang relevan dalam kesusasteraan perubatan. Kemudian kami membandingkan hasil-hasilnya, dan meringkaskan bukti daripada semua kajian. Akhir sekali, kami menilai kualiti bukti-bukti itu. Kami mempertimbang faktor-faktor seperti cara kajian-kajian dilaksanakan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami kategorikan bukti sebagai berkualiti sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apa yang kami temui

Kami menemui 75 kajian dengan 9401 orang yang menghidapi pelbagai jenis sakit kronik, termasuk fibromialgia, sakit belakang rendah kronik, artritis reumatoid, dan campuran jenis-jenis sakit yang berterusan. Purata umur peserta adalah 50 tahun dan purata tempoh sakit mereka adalah sembilan tahun. Dalam kajian-kajian tersebut, orang disusul sehingga tiga tahun selepas tamat rawatan mereka.

Kajian menilai rawatan psikologi berikut: terapi tingkah laku kognitif (CBT, 59 kajian), terapi tingkah laku (BT, lapan kajian), terapi penerimaan dan komitmen (ACT, lima kajian) atau terapi psikologi yang lain (enam kajian). Kami melaporkan penemuan-penemuan untuk rawatan utama yang dinilai, CBT. CBT memfokus kepada mengubah cara berfikir dan tingkah laku seseorang, untuk membantu menguruskan gejala mereka dengan lebih baik. Keputusan-keputusan adalah purata bagi keseluruhan populasi yang dikaji: individu dalam populasi boleh berubah lebih atau kurang daripada purata.

Bukti mencadangkan:

- Rata-rata, berbanding dengan orang yang tidak mendapat rawatan untuk kesakitan mereka, orang yang dirawat dengan CBT mungkin mengalami sakit dan distres pada akhir rawatan dan pada enam hingga 12 bulan kemudian (bukti berkualiti sederhana). Mereka juga mungkin mengalami ketakdayaan yang lebih rendah secara purata (bukti berkualiti rendah).

- Secara purata berbanding dengan orang yang mendapat rawatan bukan psikologi untuk sakit mereka (seperti program senaman, atau pendidikan pengurusan sakit), orang yang dirawat dengan CBT mungkin mengalami rasa sakit, ketakdayaan dan kesusahan yang lebih rendah di akhir rawatan (bukti kualiti sederhana). Secara purata, enam hingga 12 bulan kemudian, mereka mungkin mengalami sakit dan distres yang sedikit lebih rendah (bukti kualiti sederhana), tetapi tahap ketakdayaan mungkin serupa dengan orang yang mendapat rawatan bukan psikologi (bukti berkualiti rendah).

Kami tidak tahu jika CBT menyebabkan lebih banyak, kurang atau sama bilangan kesan buruk berbanding tiada rawatan atau rawatan lain, kerana kualiti buktinya sangat rendah.

Apakah maksudnya

CBT mempunyai asas bukti terbesar berbanding semua terapi psikologi untuk sakit berterusan yang kami kaji. Bukti menunjukkan:

- Secara purata, jika dibanding dengan tiada rawatan atau rawatan bukan psikologi, CBT mungkin mengurangkan sakit dan distres dengan amaun yang sedikit atau sangat sedikit;

- Secara purata, berbanding tanpa rawatan, CBT dapat mengurangkan tahap ketakdayaan di akhir rawatan dengan amaun yang sedikit. Berbanding rawatan bukan psikologi, CBT mungkin mengurangkan ketakdayaan di akhir rawatan dengan amaun yang sangat sedkit secara purata.

- Secara purata, berbanding tanpa rawatan, CBT membuat perbezaan kecil terhadap ketakdayaan enam hingga 12 bulan selepas rawatan. Walau bagaimanapun, secara purata berbanding rawatan bukan psikologi ia mungkin membuat perbezaan yang sangat sedikit atau tiada perbezaan.

Tiada bukti yang cukup untuk membuat kesimpulan tentang risiko CBT, dan terapi psikologi secara umum, untuk merawat sakit yang berterusan.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti dalam Cochrane Review ini adalah terkini sehingga April 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Rosalina Wan Rosli, University of Cyberjaya. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkenaan terjemahan ini sila hubungi rosalina@cyberjaya.edu.my

Tools
Information