Terapi kelas litar untuk meningkatkan mobiliti selepas strok

Soalan ulasan

Adakah terapi kelas litar lebih baik daripada fisioterapi konvensional untuk meningkatkan keupayaan berjalan seseorang selepas strok?

Latar belakang

Selepas strok, seseorang boleh mengalami kesukaran berjalan. Mereka mungkin menjadi lebih perlahan, hanya boleh berjalan dalam jarak yang pendek dan mungkin memerlukan bantuan. Mereka mungkin kehilangan keseimbangan dengan lebih mudah dan menjadi lebih penat. Ini boleh bermakna mereka kurang berjalan, dan oleh itu keupayaan berjalan boleh menjadi lebih teruk. Pemulihan boleh membantu meningkatkan keupayaan berjalan, tetapi sukar untuk dicapai, terutamanya selepas strok. Terapi kelas litar melibatkan kerja berkumpulan (bukannya secara individu dengan ahli terapi), dan melakukan latihan khusus untuk tugas yang bermakna, dan mungkin menawarkan penyelesaian yang lebih mudah dicapai.

Ciri-ciri kajian

Ini adalah kemas kini daripada ulasan asal yang diterbitkan pada 2010. Kami mempertimbangkan kajian yang membandingkan terapi kelas litar dengan terapi konvensional untuk penghidap strok, dan hanya menyertakan kajian berkualiti tinggi dengan risiko rendah untuk ke arah berat sebelah. Kami berminat dengan kajian yang membandingkan kedua-dua pendekatan ini dan kesannya terhadap cara orang berjalan, sejauh mana, selaju mana dan setakat mana boleh berdikari. Kami juga mencari kajian yang menyiasat sama ada kelas litar berkemungkinan lebih atau kurang berbahaya daripada pendekatan konvensional. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2017.

Keputusan utama

Kami menjumpai tujuh belas kajian, melibatkan 1297 peserta, yang membandingkan pemulihan kelas litar dengan penjagaan biasa atau pemulihan dibuat-buat. Kebanyakan kajian melaporkan faedah kelas litar untuk memperbaiki keupayaan berjalan. Lebih khususnya, kami menggabungkan hasil daripada kajian dan menemui bukti sederhana bahawa kelas litar lebih berkesan dalam memperbaiki keupayaan seseorang untuk berjalan lebih jauh, lebih berdikari dan lebih pantas dan, dalam beberapa kes, untuk mengimbangi dengan lebih mudah dan yakin jika dibandingkan dengan jenis terapi yang lain. Terdapat cadangan bahawa orang mungkin terjatuh lebih kerap dalam kelas litar, dan bahawa mereka mungkin boleh pulang dari hospital pemulihan dengan lebih cepat, tetapi kedua-dua aspek ini tidak disahkan secara statistik. Kami juga mendapati bahawa kesan positif kelas litar dialami bersama oleh mereka yang mengalami strok lebih daripada setahun berbanding dengan mereka yang mengalami strok dalam tahun tersebut. Ini bermakna orang ramai boleh terus bertambah baik lebih lama selepas strok berbanding dengan yang dilaporkan sebelum ini. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk melihat sama ada ia berfungsi untuk semua orang yang mempunyai sebarang tahap keterukan strok dan jika beberapa tugasan lebih baik untuk diamalkan daripada yang lain.

Kualiti bukti

Kualiti kajian secara keseluruhan boleh diterima, memandangkan sukar untuk memastikan beberapa aspek dikawal ketat dalam kajian pemulihan. Walau bagaimanapun, kami telah menurunkan penarafan kualiti kepada 'sederhana' untuk mengakui bahawa sesetengah kajian mempunyai potensi berat sebelah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information