Soalan ulasan
Modaliti intervensi yang manakah boleh mengurangkan terjatuh selepas strok?
Latar belakang
Terjatuh seringkali dilaporkan dan sehingga 73% individu mengalaminya dalam masa setahun selepas strok. Tidak semua insiden jatuh cukup serius sehingga memerlukan rawatan perubatan tetapi jatuh yang tidak serius masih boleh menyekat aktiviti dan menyebabkan pesakit mengalami ketakutan terjatuh. Terdapat faktor untuk meramalkan kejadian jatuh pada masa hadapan, jatuh mungkin menyekat aktiviti kehidupan harian seseorang oleh itu perlu diberi perhatian. Ulasan ini menyelidik kaedah manakah yang berkesan dalam mencegah jatuh di kalangan pesakit selepas strok, sama ada disebabkan oleh pendarahan atau iskemia.
Tarikh carian
3 September 2018
Ciri-ciri kajian
Selepas mencari literatur, kami memasukkan 14 kajian dengan sejumlah 1358 peserta. Kami menemui kajian yang mengkaji pelbagai intervensi untuk mencegah kejadian jatuh: senaman fizikal; lawatan ke rumah sebelum discaj untuk pesakit yang dimasukkan ke hospital; penyediaan cermin mata jarak jauh berkanta tunggal dan bukannya cermin mata multifokal;alat bantuan berjalan motor beroda; dan rangsangan otak yang tidak invasif. Kajian yang disertakan menjalankan kajian mereka di kalangan individu yang tidak mempunyai penyakit kronik dan juga mempunyai penyakit kronik, pesakit di hospital, klinik dan di dalam kediaman komuniti.
Sumber pembiayaan kajian
Tiada
Keputusan utama
Senaman nampak seperti dapat mengurangkan kadar jatuh, tetapi tidak kepada bilangan pesakit yang jatuh selepas strok. Antara kajian yang menggunakan senaman sebagai intervensi, kebanyakan kajian meminta peserta untuk melakukan hanya senaman semata-mata. Satu kajian menawarkan senaman bersama-sama dengan komponen tambahan, seperti sesi pendidikan tentang jatuh. Satu lagi kajian menawarkan senaman bersama-sama dengan penilaian risiko yang komprehensif dan rujukan lanjutan, seperti pemeriksaan oleh pakar optometri atau kasut yang baru, dan membawa kepada program peribadi khusus untuk mencegah jatuh.
Selain latihan, beberapa intervensi lain yang bertujuan untuk mencegah jatuh selepas strok telah dikaji dalam literatur. Satu kajian memberikan rangsangan otak yang tidak invasif kepada pesakit selepas strok dan keputusannya menunjukkan potensi untuk mengurangkan bilangan pesakit yang jatuh, tetapi kajian ini perlu direplikasi sebelum dipertimbangkan dalam praktis klinikal. Tiada bukti buat masa ini bahawa lawatan ke rumah sebelum discaj, cermin mata jarak jauh berkanta tunggal dan bukannya cermin mata multifokal atau alat bantuan berjalan motor beroda mengurangkan kadar jatuh atau bilangan pesakit yang jatuh.
Tiada kajian yang disertakan melaporkan kemudaratan serius yang berkaitan dengan intervensi.
Secara ringkasnya: terdapat sedikit bukti bahawa intervensi selain daripada senaman bermanfaat untuk mencegah jatuh di kalangan pesakit selepas strok. Sebab utama ialah terdapat hanya sebilangan kecil kajian yang memfokuskan kepada pesakit selepas strok atau yang melibatkan subkumpulan strok dalam kajian. Di samping itu, kajian yang berkaitan dengan jatuh tidak secara konsisten mengikut garis panduan metodologi yang diketahui, terutamanya dalam definisi jatuh dan tempoh selepas strok. Lebih banyak kajian sepakat yang dilaporkan dengan lebih baik dengan bilangan peserta yang mencukupi mungkin akan membuktikan kesan senaman dalam mengurangkan jatuh selepas strok.
Kualiti bukti
Kualiti bukti mengenai kadar jatuh dan bilangan jatuh berkisar dari sangat rendah hingga rendah dalam kelima-lima perbandingan, yang bermakna kami mempunyai kepastian yang sangat rendah hingga rendah dalam keputusan ini. Sebab utama untuk menurunkan taraf bukti adalah tiadanya pembutaan untuk kesan jatuh dan kebanyakan perbandingan melibatkan hanya satu kajian.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).