Akupunktur atau ‘acupressure’ untuk melegakan sakit semasa bersalin

Kami mengkaji bukti dari kajian rawak terkawal ke atas penggunaan akupunktur atau ‘acupressure’ dalam membantu wanita menguruskan sakit semasa bersalin. Ini adalah kemaskini ulasan terbitan 2011.

Apakah isunya?

Sakit yang dialami oleh wanita semasa bersalin boleh menjadi sengit, dengan ketegangan badan, kebimbangan dan ketakutan yang menjadikannya lebih teruk. Sakit adalah disebabkan oleh kontraksi rahim, pembukaan serviks dan di akhir peringkat pertama dan kedua, dengan regangan faraj dan lantai pelvik sambil bayi bergerak ke bawah kanal kelahiran. Pengurusan sakit yang berkesan dan memuaskan perlu disesuaikan untuk setiap wanita. Wanita juga boleh mengguna strategi untuk menghilangkan kitaran takut-tegang-sakit dan bertahan dengan sakit. Bertahan dengan sakit melibatkan tawaran sokongan dan dorongan kepada wanita, mencari kedudukan yang selesa, rendaman di dalam air dan teknik bantu diri.

Ramai wanita ingin bersalin tanpa menggunakan ubat. Wanita boleh memilih akupunktur atau ‘acupressure’ untuk mengurangkan sakit dan memperbaiki pengurusan sakit.

Mengapa hal ini penting?

Penggunaanakupunktur mempunyai sejarah yang panjang di Asia, termasuk Cina, Korea dan Jepun. Kemahiran penjaruman teknikal perlu untuk mengaplikasi jarum pada titik yang betul. ‘Acupressure’ juga mempunyai asal-usul awal di China. Untuk ‘acupressure’, ahli terapi menggunakan tangan dan jari bagi mengaktifkan titik yang sama seperti di dalam akupunktur. Kadangkala hanya beberapa titik diperlukan untuk mengurangkan sakit atau mendapatkan rasa relaksasi. Di masa lain pula, gabungan titik-titik mungkin diperlukan untuk kesan yang lebih besar. Sesetengah bentuk ‘acupressure’ diguna oleh profesional kesihatan terlatih, manakala yang lain boleh diaplikasi oleh individu sebagai satu bentuk urutan sendiri.

Apakah bukti yang kami temui?

Carian terkini kami pada Februari 2019 mengenal pasti 17 kajian baru.

Ulasan ini memasukkan 28 laporan kajian dalam kalangan 3960 wanita, dengan 27 kajian menyumbang keputusan. Kajian-kajian membandingkan akupunktur atau ‘acutpressure’ dengan rawatan palsu seperti plasebo, tiada rawatan atau penjagaan biasa untuk pengurusan sakit semasa bersalin. Tiga belas kajian melaporkanakupunktur dan 15 kajian melaporkan ‘acupressure’. Bagi 18 daripada 27 kajian wanita adalah dalam pesalinan spontan. Di dalam kajian-kajian lain, sakit bersalin mungkin telah diinduksi.

Lapan kajian mengguna perubatan tradisional Cina secara individu dan di dalam majoriti kajian lain titik-titik akupunktur tetap digunakan . Kami mendapati variasi yang luas dalam cara aplikasi rangsangan (manual atau rangsangan elektrik), tempoh penjaruman, bilangan titik yang diguna, dan kedalaman penjaruman. Adalah tidak jelas bagaimana rawatan kajian boleh mewakili akupunktur amalan.

Kebanyakan perbandingan mencadangkan kesan manfaat yang kecil dari akupunktur, walaupun bukti yang menyokong adalah terhad. Kami tidak pasti jika akupunktur mengurangkan intensiti sakit apabila dibanding dengan akupunktur palsu (2 kajian, 325 wanita), penjagaan biasa (4 kajian, 495 wanita) dan tiada rawatan (1 kajian, 163 wanita). Kepastian bukti adalah rendah atau sangat rendah. Akupunktur boleh meningkatkan kepuasan melegakan sakit berbanding akupunktur palsu (satu kajian, bukti kepastian sederhana). Ia mengurangkan sedikit penggunaan analgesia farmakologi berbanding akupunktur palsu (2 kajian, 261 wanita, bukti kepastian sederhana). Penggunaan ‘acupressure’ dikaitkan dengan pengurangan intensiti sakit dalam proses bersalin apabila dibanding dengan kawalan gabungan (2 kajian, 322 wanita, bukti kepastian sederhana). Akupunktur tidak menunjukkan kesan ke atas keperluan untuk kelahiran vagina dibantu atau kelahiran caesarean, tetapi ‘acupressure’ mengurangkan kadar kelahiran caesarean apabila dibanding dengan ‘acupressure’ palsu.

Apakah maksudnya?

Akupunktur boleh meningkatkan kepuasan dengan melegakan sakit dan mengurangkan penggunaan pelega sakit farmakologi. ‘Acupressure’ boleh membantu melegakan sakit semasa bersalin, walaupun pengurangan kesakitan mungkin tidak besar. Walau bagaimanapun, bagi perbandingan akupunktur dan ‘acupressure’ yang lain, kami tidak pasti tentang kesan ke atas intensiti sakit dan kepuasan dengan pelega sakit kerana bukti kepastian yang sangat rendah. Akupunktur atau ‘acupressure’ mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kelahiran faraj yang dibantu, tetapi wanita dengan ‘acupressure’ mungkin kurang memerlukan pembedahan caesarean. Kajian telah dijalankan di pelbagai negara, yang mungkin mencerminkan gaya mengaplikasi akupunktur yang berbeza. Kelemahan beberapa kajian adalah ukuran hasil yang sangat sedikit dan tiada hasil keselamatan dilaporkan. Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my

Tools
Information