Apakah manfaat dan mudarat pengurusan bunyi atau hingar di unit penjagaan intensif neonatal untuk bayi pramasa atau berat lahir sangat rendah?

Mesej-mesej utama

• Bunyi bising di unit penjagaan intensif neonatal (NICU) adalah lebih kuat daripada di rumah kita atau kebanyakan persekitaran kerja. Bunyi sedemikian mungkin sangat mudarat kepada bayi yang belum matang, mengganggu perkembangan dan membawa kepada gangguan pendengaran. Mengurangkan bunyi bising dalam NICU kepada bawah 45 desibel (dB) adalah disyorkan tetapi sangat sukar untuk dicapai.

• Kami menemui hanya satu kajian yang menilai penggunaan penyumbat telinga di NICU, dan keputusannya sangat tidak pasti. Tiada kajian menilai intervensi untuk mengurangkan tahap bunyi di bawah 45 dB di seluruh unit neonatal atau di dalam bilik di dalamnya.

• Kami perlukan kajian-kajian yang menilai kesan pengurangan bunyi dalam NICU terhadap perkembangan, kesihatan jangka panjang dan pendengaran bayi yang dilahirkan terlalu awal.

Apakah pengurusan pengurangan bunyi dalam unit penjagan intensif neonatal ?

Bayi di NICU terdedah kepada stres, termasuk bunyi yang sangat kuat. Persekitaran di NICU adalah lebih kuat daripada kebanyakan persekitaran rumah atau pejabat dan mempunyai bunyi bising berdurasi singkat yang mengganggu pada masa yang tidak teratur. Banyak isyarat bunyi kerap mempengaruhi bayi pramasa, kakitangan dan ibu bapa. Empat puluh lima desibel (dB) ialah paras bunyi bising maksimum yang boleh terima di ICU disyorkan oleh Akademi Pediatrik Amerikas, namun paras bunyi dalam NICU sering melebihi paras yang disyorkan, iaitu antara 7 hingga 120 dB. Antara 2% dan 10% bayi yang dilahirkan sebelum tarikh lahir mereka didiagnosis sebagai kurang pendengaran, berbanding hanya 0.1% populasi kanak-kanak umum.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu manfaat dan mudarat pengurangan bunyi terhadap perkembangan otak jangka panjang bayi yang baru lahir.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat pengurusan bunyi di NICU, meringkaskan keputusan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.

Apakah yang kami temui?

Kami temui hanya satu kajian, melibatkan 34 bayi baru lahir, dan menilai penggunaan penyumbat telinga sebagai intervensi pengurangan bunyi di NICU. Setiap bayi baru lahir dengan berat lahir yang sangat rendah (kurang daripada 1500 g) diperuntukkan secara rawak kepada satu daripada dua kumpulan. Satu kumpulan tidak memakai penyumbat telinga dan kumpulan yang satu lagi memakai penyumbat telinga silikon sepanjang masa sehingga berumur 35 minggu selepas haid (iaitu 35 minggu sejak tempoh haid akhir ibu mereka) atau sehingga mereka keluar dari hospital.

Keputusan utama ulasan ini menunjukkan bukti sangat tidak pasti sama ada terdapat sebarang perbezaan antara bayi yang menggunakan penyumbat telinga dan bayi yang tidak menggunakan penyumbat telinga, dari segi palsi serebrum, perkembangan otak, fungsi pendengaran, berat badan, atau ketinggian pada umur 18 hingga 22 bulan, atau dari segi hari-hari sokongan pernafasan, hari tinggal di hospital , atau risiko kematian semasa tinggal hospital . Kesan sampingan dan mudarat tidak dilaporkan.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti tersebut kerana tiada cukup kajian-kajian untuk memastikan keputusan. Satu kajian yang disertakan melibatkan bilangan bayi yang sangat kecil (34), dan tidak memberikan maklumat tentang semua yang kami minati. Kajian itu menguji penggunaan penyumbat telinga secara individu; tiada kajian yang menguji intervensi pengurusan bunyi yang diguna untuk keseluruhan NICU atau sebahagian (bilik) NICU.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan ini adalah kemas kini asal diterbitkan pada 2015 dan dikemas kini pertama kali pada 2020. Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information