Apakah itu embolisme pulmonari?
Embolisme pulmonari berlaku apabila secebis darah beku terpisah daripada darah beku yang berada di bahagian badan yang lain dan bergerak dalam darah ke paru-paru. Ini boleh mengancam nyawa dan berlaku dalam kira-kira 4 hingga 12 bagi setiap 10,000 orang. Kebarangkalian untuk mendapat embolisme pulmonari boleh meningkat dengan faktor risiko, termasuk sejarah darah beku sebelumnya, tempoh tanpa pergerakan yang berpanjangan (seperti menaiki kapal terbang atau berehat sambil berbaring), kanser, pendedahan kepada estrogen (kehamilan, pil perancang atau terapi penggantian hormon), gangguan darah (trombofilia), dan trauma.
Bagaimanakah embolisme pulmonari dirawat?
Sehingga baru-baru ini, rawatan standard untuk embolisme pulmonari ialah antikoagulan: ubat yang sama ada merawat atau menghalang pembekuan darah, sering dipanggil 'pencair darah'. Antikoagulan konvensional termasuklah heparin, fondaparinux, dan antagonis vitamin K. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini boleh menyebabkan kesan sampingan dan mempunyai batasan.
Dua jenis antikoagulan telah dibangunkan: perencat trombin langsung (DTI) dan perencat faktor Xa. Antikoagulan ini diberikan secara oral (iaitu, melalui mulut, dalam bentuk pil), mempunyai kesan yang boleh diramal, tidak memerlukan pemantauan yang kerap atau dos semula (mengambil berbilang dos), dan mempunyai sedikit interaksi yang diketahui dengan ubat lain. Atas sebab-sebab ini, antikoagulan oral secara langsung ini telah menjadi ubat pilihan bagi merawat DVT.
Apakah yang ingin kami tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada antikoagulan oral langsung berguna dan selamat untuk merawat orang yang mengalami embolisme pulmonari, berbanding dengan antikoagulan konvensional. Kami meneliti sama ada rawatan selama 3 bulan atau lebih mampu mencegah pembekuan darah lanjut (trombosis saluran vena dalam (DVT) yang berulang), apabila darah beku terbentuk di dalam saluran urat dalam, biasanya di saluran darah kaki), embolisme pulmonari berulang, dan embolisme pulmonari. Hasil keselamatan utama termasuklah kematian dan kejadian buruk yang tidak diingini dan berbahaya, seperti pendarahan besar.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang melibatkan pesakit yang menghidap embolisme pulmonari yang telah disahkan melalui teknik pengimejan standard dan kemudiannya diagihkan secara rawak kepada salah satu daripada dua kumpulan rawatan. Jenis kajian ini memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan. Pesakit dalam kumpulan eksperimen menerima DTI oral atau perencat faktor Xa oral, dan keputusan mereka dibandingkan dengan keputusan pesakit yang dirawat dengan antikoagulasi konvensional. Semua peserta diberi rawatan jangka panjang untuk embolisme pulmonari (tempoh minimum selama 3 bulan).
Apa yang kami temui?
Selepas mencari kajian yang berkaitan, kami memasukkan 10 kajian dengan jumlah keseluruhan peserta seramai 13,073 orang. Kajian-kajian membandingkan DTI oral dan perencat faktor Xa dengan antikoagulasi konvensional. Kami menggabungkan data daripada kajian-kajian dan mendapati bahawa tiada perbezaan yang jelas dalam kejadian:
- embolisme pulmonari berulang;
- trombosis urat dalam berulang (DVT: apabila darah beku terbentuk, biasanya dalam urat dalam kaki atau pelvis);
- tromboembolisme vena berulang (apabila DVT dan embolisme pulmonari terjadi serentak);
- kematian;
- pendarahan besar
Ulasan ini menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang jelas antara antikoagulan oral langsung dan rawatan konvensional dalam mencegah PE berulang, VTE berulang, DVT, kematian, dan pendarahan besar. Tiada kajian yang mengukur kualiti hidup berkaitan kesihatan.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai tahap keyakinan yang sederhana terhadap bukti ini. Ini adalah kerana bilangan peristiwa yang terlibat dalam kajian adalah kecil dan terdapat perbezaan dalam cara setiap kajian dijalankan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini Ulasan Cochrane yang terdahulu. Bukti ini adalah terkini sehingga Mac 2022.
Mesej utama
Bukti semasa menunjukkan mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara antikoagulan oral langsung dan antikoagulasi konvensional untuk mencegah embolisme pulmonari berulang, tromboembolisme vena berulang (VTE), trombosis vena dalam (DVT), kematian semua sebab, dan pendarahan besar dalam kalangan pesakit yang sedang dirawat untuk embolisme pulmonari.
Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my