Latar belakang
Salah satu kesan angin ahmar yang paling biasa tetapi paling kurang dibincangkan adalah disfungsi seksual, di mana 50% atau lebih pemandiri angin ahmar mengalami tahap penurunan seksual selepas serangan angin ahmar. Perkara ini tidak begitu diakui, dan selalunya tidak dirawat dengan baik. Pilihan rawatan sangat luas dan boleh merangkumi ubat-ubatan, kaunseling, dan terapi fizikal.
Soalan ulasan
Kami ingin mengetahui sama ada rawatan lebih baik atau lebih buruk berbanding rawatan alternatif.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga 27 November 2019.
Ciri-ciri kajian
Populasi: kami melibatkan kajian di mana peserta adalah orang dewasa yang mengalami serangan angin ahmar.
Intervensi: Intervensi termasuk ubat-ubatan atau rawatan lain, seperti pemulihan, yang digunakan untuk merawat masalah seksual selepas serangan angin ahmar.
Perbandingan: kami membandingkan intervensi seperti ubat-ubatan dengan ubat 'palsu', yang tidak mengandungi bahan aktif yang mempengaruhi fungsi seksual. Kami membandingkan intervensi seperti pemulihan, pendidikan, atau terapi dengan rawatan biasa atau rawatan alternatif.
Dapatan: kami membahagi dapatan kepada dapatan primer dan sekunder. Dapatan utama memfokus kepada fungsi seksual atau kepuasan seksual pada pemandiri angin ahmar dan pasangan. Dapatan sekunder memfokus kepada kualiti hidup, kesejahteraan psikologi (kegelisahan, kemurungan, tekanan), kepuasan dengan intervensi, pengetahuan seksual, dan kepuasan perkahwinan/hubungan (termasuk kepuasan pasangan) dalam kalangan pemandiri angin ahmar dan pasangan. Kami juga melaporkan kesan-kesan sampingan.
Masa/tempoh: kami melibatkan kajian untuk tempoh: pendek (≤ 6 bulan), sederhana (antara 6 dan 18 bulan), dan panjang (≥ 18 bulan).
Dapatan utama
Kami menjumpai tiga kajian direka untuk mengurangkan disfungsi seksual selepas serangan angin ahmar. Satu kajian membandingkan ubat sertraline dengan metilcobalamin (vitamin B12) untuk membantu ejakulasi pramatang. Kajian kedua membandingkan program pemulihan berstruktur (yang mengandungi kaunseling bersemuka dan pendidikan bertulis) dengan pendidikan bertulis sahaja. Tiada perbezaan yang jelas ditemui dari segi fungsi seksual, mood, tekanan, atau kualiti hidup. Kajian ketiga membandingkan senaman lantai pelvis (latihan untuk menguatkan otot-otot dasar pelvis) dengan pemulihan standard. Tiada perbezaan yang jelas ditemui dari segi ereksi dan kualiti hidup. Kami tidak pasti mengenai dapatan ini kerana ketiga-tiga kajian adalah kecil dan mempunyai kualiti pada tahap rendah atau sangat rendah. Tambahan pula, setiap kajian membandingkan rawatan yang berbeza. Ini bermaksud dapatannya tidak dapat digabungkan.
Kesan sampingan (kebanyakannya loya atau cirit-birit) dilaporkan untuk sertraline (20 daripada 58 peserta). Tidak ada kesan berbahaya yang dilaporkan dengan senaman lantai pelvis, dan tidak ada maklumat yang diberikan mengenai kesan berbahaya yang berkaitan dengan pemulihan seksual.
Sumber dana kajian
Kajian yang membandingkan ubat (sertraline) dengan vitamin B12 tidak menyatakan sumber dana. Kajian yang membandingkan senaman lantai pelvis dengan pemulihan standard dibiayai geran daripada Persatuan Yayasan Penyelidikan Fisioterapis Denmark, Persatuan Yayasan Amalan Fisioterapis Denmark, Yayasan 12.12.1981, Geran Lykkefeldts, Yayasan Lundbeck (UCSF), dan Jabatan Fisioterapi dan Terapi Pekerjaan Hospital Glostrup, Universiti Copenhagen. Hanya kajian yang membandingkan program pemulihan berstruktur dengan pendidikan bertulis dibiayai oleh Grant-in-Aid Victor Hurley Medical Research dan AFRM Ipsen Open Research Fellowship.
Kualiti bukti
Kami tidak pasti mengenai dapatan ini kerana ketiga-tiga kajian adalah kecil dan mempunyai kualiti pada tahap rendah atau sangat rendah. Tambahan pula, setiap satu daripada tiga kajian tersebut membandingkan rawatan yang berbeza. Ini bermaksud kita tidak dapat menggabungkan dapatan kajian.
Kesimpulan
Ketiga-tiga rawatan (sertraline, pemulihan seksual berstruktur, dan senaman lantai pelvis) perlu diuji dalam kajian lanjutan. Kajian lanjut diperlukan untuk menilai keberkesanan rawatan untuk masalah seksual selepas serangan angin ahmar.
Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi kamisah@uitm.edu.my