Mesej utama
1) Berbeza dengan Ulasan Cochrane kami yang terdahulu mengenai topik ini, ulasan yang dikemas kini ini mendapati bahawa vitamin D tidak menawarkan perlindungan terhadap serangan asma yang teruk atau meningkatkan kawalan simptom.
2) Kajian lanjut diperlukan pada orang yang kerap mengalami serangan asma teruk dan mereka yang mempunyai status vitamin D yang sangat rendah, dan potensi untuk calcidiol (sejenis vitamin D tertentu) untuk menawarkan kesan perlindungan.
Mengapa kita berfikir bahawa vitamin D mungkin memberi manfaat kepada pesakit asma?
Tahap darah rendah vitamin D ('vitamin sinar matahari') telah dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan asma yang teruk, yang ditakrifkan sebagai mereka yang memerlukan ubat steroid oral (sistemik).
Ulasan Cochrane kami sebelum ini mengenai topik ini pada tahun 2016 mendapati bahawa vitamin D mengurangkan risiko serangan asma, namun perdebatan masih berterusan, dan beberapa ujian berikutnya mendapati vitamin D tidak memberi kesan. Oleh itu, kami menjalankan analisis meta yang dikemas kini untuk memasukkan data daripada kajian baharu yang disiapkan sejak ulasan terakhir kami.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada suplemen vitamin D:
• mengurangkan risiko serangan asma yang teruk;
• meningkatkan kawalan simptom asma;
• membawa kepada sebarang kesan sampingan negatif.
Apa yang kami buat?
Kami mencari kajian rawak terkawal yang menilai kesan suplemen vitamin D terhadap risiko serangan asma yang teruk dan kawalan gejala asma. Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz.
Kami juga menganalisis sama ada kesan suplemen vitamin D berbeza mengikut status asas vitamin D, dos atau bentuk suplemen yang diberikan, kekerapan orang mengambil suplemen atau umur peserta.
Apakah yang kami dapati?
Kami memasukkan data daripada 20 ujian klinikal dalam ulasan ini yang melibatkan seramai 2225 orang; sembilan daripada ini telah dimasukkan dalam Ulasan Cochrane sebelumnya mengenai topik tersebut dan 11 telah diterbitkan sejak itu. Daripada 20 kajian, 15 melaporkan data mengenai serangan asma yang teruk. Kajian berlangsung antara tiga dan 40 bulan, dan semua kecuali dua menyiasat bentuk vitamin D tertentu yang dipanggil cholecalciferol atau vitamin D3. Ini adalah bentuk tablet vitamin D yang paling lazim.
• Orang yang diberi suplemen vitamin D tidak mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat serangan asma yang teruk berbanding mereka yang diberi plasebo (ubat dummy).
• Suplemen vitamin D tidak mempengaruhi pengukuran kawalan asma atau kapasiti pernafasan; ia juga tidak menjejaskan risiko kesan sampingan berbahaya yang serius.
Apakah batasan bukti?
• Orang yang menghidap asma yang teruk dan mereka yang mempunyai tahap vitamin D yang sangat rendah sebelum pengambilan makanan tambahan kurang diwakili, jadi kami tidak dapat menilai sama ada suplemen vitamin D mungkin membantu individu ini.
• Satu kajian yang menyiasat kesan calcidiol, bentuk alternatif vitamin D, menunjukkan kesan perlindungan. Penyiasatan lanjut tentang bentuk vitamin D ini diperlukan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga September 2022.
Diterjemahkan oleh Gan Siew Hua (Monash University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my