Vitamin D untuk rawatan penyakit radang usus

Mesej utama

Data yang kami ada pada masa ini untuk penggunaan vitamin D untuk rawatan penyakit radang usus adalah berkualiti sangat rendah, dan kami tidak tahu sama ada ia berkesan atau selamat.

Apakah itu penyakit radang usus?

Penyakit radang usus adalah penyakit seumur hidup yang menjejaskan saluran penghadaman. Dua jenis utama adalah kolitis ulseratif dan penyakit Crohn. Kolitis ulseratif hanya menjejaskan usus besar. Penyakit Crohn boleh menjejaskan mana-mana bahagian saluran penghadaman, daripada mulut sehingga anus. Gejala biasa termasuk najis berdarah, cirit-birit, sakit perut, demam, penurunan berat badan, dan keletihan. Kami tidak tahu dengan tepat apa yang menyebabkannya, tetapi ia mungkin campuran gen, masalah dengan sistem imun, bakteria dalam saluran penghadaman, dan sesuatu dalam persekitaran. Tiada penawar yang diketahui, tetapi gejala biasanya diuruskan dengan ubat-ubatan, seperti steroid dan ubat sistem imun, dan kadang-kala pembedahan. Kebanyakan orang dengan penyakit radang usus mempunyai masa apabila mereka mengalami gejala (dipanggil penyakit aktif) dan masa lain apabila gejala mereka terkawal (dipanggil remisi). Apabila gejala muncul semula selepas dalam remisi, ia dipanggil relaps.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada vitamin D berfungsi untuk merawat penyakit radang usus, dan sama ada ia selamat digunakan. Secara khusus, kami melihat penambahbaikan gejala untuk orang dengan penyakit aktif; relaps untuk orang orang yang dalam remisi; kualiti hidup; dan penarikan diri daripada kajian kerana kesan sampingan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana orang ditugaskan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) membandingkan vitamin D dengan sebarang rawatan lain, rawatan standard, atau dos vitamin D yang berbeza.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 22 kajian dengan 1874 peserta yang mengalami penyakit radang usus. Kajian-kajian berlangsung dari empat hingga 52 minggu. Sepuluh kajian adalah mengenai penyakit Crohn, lima mengenai kolitis ulseratif, dan tujuh pada peserta yang mempunyai salah satu daripada ini. Tujuh belas kajian adalah pada orang dewasa, tiga pada kanak-kanak, dan dua pada kedua-duanya. Empat memasukkan orang dengan penyakit aktif, enam dalam remisi, dan 12 pada campuran kedua-duanya. Kajian memasukan dos vitamin D yang digunakan untuk merawat kekurangan dan dos yang diberikan sebagai makanan tambahan.

Tiga belas kajian membandingkan vitamin D (semua dos) dengan plasebo (rawatan palsu) atau tiada rawatan lain. Terdapat bukti berkualiti rendah bahawa mungkin terdapat kurang relaps klinikal apabila menggunakan vitamin D berbanding plasebo atau tiada rawatan. Kami tidak boleh mengatakan apa-apa tentang ukuran lain yang kami lihat kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Lima kajian membandingkan vitamin D dos rawatan tinggi dengan dos rawatan rendah. Tiada data mengenai penambahbaikan gejala. Terdapat bukti berkualiti rendah bahawa mungkin tiada perbezaan pada relaps penyakit Crohn, tetapi tiada data mengenai kolitis ulseratif. Kami tidak boleh mengatakan apa-apa tentang ukuran lain yang kami lihat kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Empat kajian membandingkan dos rawatan dengan dos tambahan vitamin D. Tiada data tentang penambahbaikan gejala, relaps, atau perubahan kualiti hidup. Kami tidak boleh mengatakan apa-apa tentang ukuran lain yang kami lihat kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Apakah batasan bukti?

Bukti kebanyakannya adalah berkualiti sangat rendah dan rendah. Ini adalah kerana masalah dengan cara kajian dijalankan, dan masalah dengan cara keputusan dilaporkan. Selain itu, kajian individu tidak membuat ukuran yang sama, bermakna kami tidak mempunyai bilangan orang yang mencukupi untuk mengukuhkan keputusan ukuran yang kami cari.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini terkini sehingga Jun 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information