Kami menjalankan ulasan penulisan perubatan pada Februari 2022 untuk mengkaji faedah dan kemudaratan pemindahan sel stem hematopoietik (HSCT) pada orang yang mengalami sklerosis sistemik (SSc).
Apakah sklerosis sistemik dan pemindahan sel stem hematopoietik?
SSc adalah penyakit autoimun (di mana sistem pertahanan semula jadi badan menyerang sel normal) yang menjejaskan kulit dan organ dalaman (paru-paru, sistem pencernaan, dll.). Gejala yang dikaitkan dengan SSc termasuk penebalan kulit, sesak nafas, gejala penghadaman, dan kesukaran dengan fungsi atau mobiliti yang boleh menjejaskan kualiti hidup. Terdapat juga peningkatan risiko kematian (mortaliti) dengan SSc.
Autologous HSCT ialah prosedur di mana orang menerima sel stem sihat mereka sendiri (sel khas yang dihasilkan oleh sumsum tulang yang boleh bertukar menjadi pelbagai jenis sel darah) untuk menggantikan sel imun yang rosak yang mungkin menyebabkan penyakit.
Terdapat dua regimen HSCT yang dikaji untuk SSc: regimen myeloablative menggunakan sama ada terapi radiasi atau dos kemoterapi yang tinggi yang tidak membenarkan sumsum tulang pulih sendiri dan regimen bukan myeloablative menggunakan jumlah kemoterapi yang lebih rendah tanpa terapi radiasi, tetapi terdapat sel sisa dalam sumsum tulang selepas itu.
Terdapat juga dua cara yang berbeza untuk mengumpul sel stem. HSCT terpilih melibatkan proses di mana sel stem tertentu (dipanggil sel CD34+) dipilih untuk infusi semula. Proses tidak terpilih tidak memasukkan langkah ini.
Adakah pemindahan sel stem hematopoietik autologous merupakan rawatan yang selamat dan berkesan untuk penghidap sklerosis sistemik?
Ulasan kami menyertakan tiga kajian penyelidikan. Setiap kajian membandingkan jenis (modaliti) pemindahan sel stem yang berbeza berbanding cyclophosphamide (sejenis kemoterapi): HSCT tidak terpilih tanpa myeloablative, HSCT terpilih tanpa myeloablative, dan HSCT terpilih myeloablative.
Risiko berat sebelah adalah tinggi untuk semua hasil dengan HSCT tidak terpilih tanpa myeloablative, tetapi kebanyakannya rendah untuk HSCT terpilih myeloablative dan tanpa myeloablative. Kecenderungan prestasi (peserta mengetahui rawatan mana yang mereka terima) adalah tidak jelas dan kecenderungan pengesanan (penilai mengetahui rawatan mana yang diterima oleh peserta) adalah tinggi untuk keupayaan berfungsi kerana penilai dan peserta tidak dibutakan. Semua peserta mempunyai SSc awal dan teruk dengan penglibatan kulit atau paru-paru. Purata usia peserta adalah 43 hingga 47 tahun, dan kebanyakannya adalah peserta perempuan kulit putih. Purata tempoh penyakit ini berkisar antara 1.5 tahun hingga 2 tahun.
Kajian HSCT terpilih tanpa myeloablative menerima lajur pemilihan CD34+ daripada pengilang.
Keputusan utama
Kami melengkapkan carian kami pada Februari 2022. Hasilnya adalah pada dua tahun untuk HSCT terpilih tanpa myeloablative, 4.5 tahun untuk HSCT terpilih myeloablative, dan satu tahun untuk HSCT tidak terpilih tanpa myeloablative melainkan dinyatakan sebaliknya. Semua perbandingan adalah pemindahan sel stem kepada cyclophosphamide.
Mortaliti keseluruhan
- Tiada perbezaan dalam kematian antara mana-mana modaliti HSCT dan cyclophosphamide.
Kemandirian bebas peristiwa
– Kumpulan HSCT terpilih tanpa myeloablative telah mengurangkan kemandirian bebas peristiwa (34% risiko lebih rendah) pada empat tahun dan 930 setiap 1000 orang akan bebas peristiwa dengan HSCT pada empat tahun.
– Tiada perubahan dalam kemandirian tanpa peristiwa dengan HSCT terpilih myeloablative.
Keupayaan berfungsi
– Orang yang menerima HSCT tanpa myeloablative mempunyai penambahbaikan sebanyak 13%.
– 53 orang daripada 100 yang menerima HSCT terpilih myeloablative mungkin mengalami penambahbaikan yang bermakna berbanding 15 daripada 100 yang menerima cyclophosphamide (37% penambahbaikan mutlak).
Penebalan kulit
– Orang yang menerima HSCTterpilih tanpa myeloablative mempunyai penambahbaikan yang lebih besar dalam skor kulit (-22% penambahbaikan mutlak).
– 80 orang daripada 100 yang menerima HSCT terpilih myeloablative mungkin mengalami penambahbaikan pada skor kulit (25% atau lebih atau 5 mata atau lebih perbaikan) berbanding 53 daripada 100 yang menerima cyclophosphamide (27% penambahbaikan mutlak).
– Orang yang menerima HSCT tak terpilih tanpa myeloablative mempunyai penambahbaikan yang lebih besar dalam skor kulit mereka (-31% penambahbaikan mutlak).
Kesan sampingan yang serius
– 65 orang daripada 100 yang menerima HSCT terpilih tanpa myeloablative mempunyai kesan sampingan yang serius berbanding 39 daripada 100 yang menerima cyclophosphamide (26% peningkatan risiko mutlak).
– 73 orang daripada 100 yang menerima HSCT terpilih myeloablative mempunyai kesan sampingan yang serius berbanding 51 daripada 100 yang menerima cyclophosphamide (22% peningkatan risiko mutlak).
– Tiada kesan sampingan yang serius dilaporkan dengan HSCT tak terpilih tanpa myeloablative atau cyclophosphamide.
Kepastian bukti
Kami menilai kepastian bukti daripada kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Bukti berkepastian sangat rendah bermakna kami tidak pasti tentang keputusan tersebut. Bukti berkepastian tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusan tersebut.
Untuk HSCT terpilih tanpa myeloablative dan HSCT terpilih myeloablative, kami mempunyai kepastian sederhana dalam bukti yang menilai mortaliti keseluruhan, kemandirian tanpa peristiwa, keupayaan berfungsi, penebalan kulit, fungsi paru-paru, dan kesan sampingan yang serius. Kepastian bukti telah diturunkan kepada sederhana kerana bilangan peserta yang kecil yang mendaftar dalam kajian dan sifat kajian yang tidak membutakan untuk hasil yang dilaporkan oleh peserta. Untuk HSCT tak terpilih tanpa myeloablative, kepastian bukti adalah rendah untuk semua hasil. Ini adalah kerana perbezaan antara kumpulan cyclophosphamide dan HSCT sebelum rawatan serta bilangan peserta yang kecil yang mendaftar dalam kajian ini.
Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (University Monash Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my