Intervensi pendidikan disampaikan melalui mHealth dalam kegagalan jantung, menggunakan telefon pintar, tablet dan program dan aplikasi berasaskan internet

Soalan ulasan

Apakah bukti kajian rawak terkawal untuk intervensi pendidikan disampaikan melalui mHealth dalam pengetahuan kegagalan jantung (HF), penjagaan diri dan kecekapan diri untuk pesakit HF apabila dibandingkan dengan kaedah tradisional pendidikan pesakit?

Latar belakang

Pendidikan adalah penting untuk penjagaan diri (aktiviti yang dilakukan individu dengan tujuan meningkatkan kesihatan, mencegah penyakit, mengehadkan penyakit dan memulihkan kesihatan) dalam HF. Biasanya, pendidikan diberikan kepada pesakit kegagalan jantung secara bersemuka, menggunakan bahan berasaskan kertas atau persembahan video/DVD. Dalam era teknologi yang berkembang pesat dan penggunaan telefon pintar dan peranti tablet, teknologi berasaskan mHealth adalah cara baru untuk memberikan pendidikan kesihatan, dengan manfaat yang dapat menjangkau orang yang tidak dapat atau tidak mahu mengakses program dan perkhidmatan pendidikan HF tradisional.

Tarikh carian

Kami menemui kajian melalui carian yang dijalankan dalam Oktober 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan dalam ulasan ini lima kajian rawak terkawal (971 peserta) bagi intervensi pendidikan disampaikan melalui mHealth untuk pesakit HF. Purata usia peserta adalah antara 60 ke 75 tahun dan 63% daripada peserta adalah lelaki. Kajian datang dari Australia, China, Iran, Sweden dan Belanda.

Keputusan utama

Lima kajian menilai pengetahuan HF; kami mendapati penggunaan program pendidikan disampaikan melalui mHealth menunjukkan tiada bukti perbezaan dalam pengetahuan HF berbanding penjagaan biasa. Satu kajian yang menilai kecekapan diri melaporkan ketidakpastian dalam bukti untuk pendidikan disampaikan melalui mHealth berbanding dengan penjagaan biasa. Tiga kajian menilai penjagaan diri HF menggunakan skala yang berbeza. Kami tidak menggabungkan kajian-kajian tersebut, kerana perbezaan di antara ukuran hasil, dan bukti adalah tidak pasti. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan sebarang kesan-kesan sampingan dari intervensi. Empat kajian meneliti kualiti hidup berkaitan kesihatan dan menunjukkan ketidakpastian dalam bukti di antara pendidikan disampaikan melalui mHealth dan penjagaan biasa. Tiga kajian melaporkan kadar kemasukan ke hospital berkaitan HF. Penggunaan pendidikan disampaikan melalui mHealth mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kemasukan ke hospital berkaitan HF.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah ke rendah, disebabkan batasan dalam reka bentuk dan pelaksanaan kajian dan kurang dari 500 orang peserta dalam analisis.

Kesimpulan

Terdapat tiada bukti tentang perbezaan dalam penggunaan intervensi pendidikan disampaikan melalui mHealth untuk pesakit HF terhadap pengetahuan tentang HF. Terdapat ketidakpastian dalam bukti untuk kecekapan diri, penjagaan diri dan kualiti hidup berkaitan kesihatan. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kemasukan ke hospital berkaitan HF, berbanding dengan penjagaan biasa. ‘Penjagaan biasa’ dalam kes ini bermakna kemasukan dalam program pengurusan kegagalan jantung (di klinik atau rumah). Ini adalah bidang penyelidikan HF yang mana bukti lebih lanjut akan muncul dalam jangka masa pendek dan panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information