Mesej utama
– Sten yang disadur polytetrafluoroethylene (ePTFE) terkembang mungkin dapat mengurangkan angka mortaliti (kematian), perdarahan saluran cerna atas, asites berulang (keadaan di mana bendalir bertakung dalam rongga perut anda), dan risiko gangguan fungsi pirau berbanding dengan sten tidak bersalut yang mempunyai diameter yang sama.
– Faedah stent yang disadur ePTFE masih tidak jelas apabila dibandingkan dengan sten tidak bersalut yang mempunyai diameter berbeza.
Istilah teknikal: ePTFE
ePTFE ialah variasi sebatian polytetrafluoroethylene (PTFE) yang telah diubah suai untuk mempunyai struktur berliang. Sebatian ini dicipta melalui peregangan PTFE, yang membentuk jaringan nod dan fibril (gentian) yang saling berhubungan. Struktur berliang ini membenarkan aliran cecair dan gas melalui sebatian itu sementara mengekalkan sifat-sifat PTFE yang ingin dimanfaatkan seperti kerintangan kimianya.
Apakah itu sirosis hati?
Sirosis hati adalah keadaan di mana tisu hati yang sihat secara beransur-ansur digantikan oleh tisu parut. Parut ini boleh menjejaskan keupayaan hati untuk berfungsi dengan baik dan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti penyalahgunaan alkohol kronik, jangkitan virus, atau penyakit lain.
Apakah itu hipertensi portal?
Pesakit yang menghidap sirosis hati sering mengalami komplikasi yang dipanggil hipertensi portal, iaitu tekanan darah yang tinggi dalam saluran darah yang membekali hati. Keadaan ini boleh mendatangkan komplikasi serius seperti pendarahan dalaman, penakungan bendalir, dan pengembungan urat dalam esofagus (saluran pemakanan) dan perut.
Bagaimanakah hipertensi portal dirawat?
Untuk merawat hipertensi portal, prosedur yang dipanggil pemasangan pirau portosistemik intrakepatik transjugular (TIPS) sering dilakukan. Semasa TIPS, sten (suatu tiub pendek) dimasukkan untuk mencipta suatu laluan penghubung antara vena portal dan vena hepatik, untuk mengalihkan aliran darah lantas mengurangkan tekanan. Malangnya, sten tidak bersalut biasa yang digunakan dalam prosedur TIPS kadangkala tersumbat dalam tempoh setahun. Penyelidik telah mendapati bahawa sten baharu, yang disadur ePTFE, dapat mencegah sumbatan sebegini.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada sten yang disadur ePTFE lebih baik daripada sten tidak bersalut dalam pemasangan TIPS dalam kalangan pesakit sirosis hati untuk mengurangkan angka kematian, komplikasi terkait prosedur dan kualiti hidup.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang mengkaji sten yang disadur ePTFE berbanding dengan sten tidak bersalut untuk pemasangan TIPS dalam kalangan pesakit sirosis hati. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui empat kajian yang melibatkan 565 orang pesakit yang menghidap sirosis hati. Kami mendapati bahawa penggunaan sten yang disadur ePTFE menghasilkan keputusan yang lebih baik dari segi kematian yang disebabkan semua penyebab (kematian semua punca), perdarahan saluran cerna atas, asites berulang dan gangguan fungsi pirau apabila dibandingkan dengan sten tidak bersalut yang berdiameter sama. Tidak ada perbezaan dari segi kadar kejadian ensefalopati hepatik (iaitu keadaan yang menjejaskan fungsi mental dan neurologi) dalam kedua-dua kelompok rawatan. Walau bagaimanapun, tiada perbezaan antara sten yang disadur ePTFE dan sten tidak bersalut yang berlainan diameter dari segi angka kematian, kadar komplikasi yang berkaitan dengan prosedur, perdarahan saluran cerna atas, ensefalopati hepatik, kegagalan buah pinggang atau gangguan fungsi pirau. Terdapat pengurangan bilangan pesakit yang mengalami asites berulang dalam golongan pesakit yang mendapat sten bersadur ePTFE berbanding dengan sten tidak bersalut dengan diameter berbeza.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai sedikit atau tiada keyakinan terhadap bukti ini terutamanya disebabkan saiz kajian yang sangat kecil dan peserta kajian mungkin sudah tahu jenis rawatan yang diterima.
Pendanaan
Satu kajian tidak melaporkan dengan jelas sumber pendanaan kajian. Tiga lagi kajian mengisytiharkan bahawa mereka tidak mempunyai pendanaan berkepentingan.
Sejauh manakan bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini setakat Februari 2023.
Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my