Bolehkah program di media sosial membantu orang ramai untuk meningkatkan kesihatan mereka?

Mesej utama

Program di media sosial (seperti Facebook atau Twittter) yang bertujuan meningkatkan aktiviti fizikal mampu membantu orang ramai untuk menjadi lebih aktif secara fizikal dan meningkatkan kesejahteraan mereka.

Kajian pada masa akan datang adalah diperlukan bagi mengetahui sebarang kesan yang tidak diingini berkaitan dengan penyertaan dalam program media sosial interaktif.

Apa itu media sosial?

Media sosial merupakan teknologi berasaskan komputer yang membantu orang ramai untuk berkongsi idea, fikiran, dan maklumat dengan membina rangkaian maya dan komuniti di Internet; contoh termasuklah Facebook,Twitter atau WhatsApp. Rangkaian media sosial bersifat ‘interaktif’: pengguna berkomunikasi secara langsung dengan komputer, atau peranti lain, untuk berkongsi dan menerima maklumat.

Apa yang kami ingin ketahui?

Orang ramai yang menggunakan media sosial boleh bertukar idea dan berkongsi kemas kini tentang tingkah laku mereka, seperti menjadi lebih aktif atau makan secara lebih sihat. Kami ingin mengetahui sama ada program kesihatan yang menggunakan media sosial interaktif mampu mengubah tingkah laku orang ramai dan meningkatkan kesihatan mereka.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menguji kesan program media sosial interaktif terhadap kesihatan orang ramai. Kami berminat tentang cara program tersebut dapat mempengaruhi orang ramai:

- tingkah laku kesihatan (seperti merokok, minum minuman keras, penyusuan susu ibu, diet, aktiviti fizikal; mencari dan menggunakan perkhidmatan kesihatan);

- kesihatan (seperti kecergasan fizikal, fungsi paru-paru, episod asma);

- kesihatan mental (seperti kemurungan, stres, daya tindak);

- kesejahteraan; dan

- sama ada orang ramai melaporkan sebarang kesan yang tidak diingini berkaitan dengan program media sosial interaktif.

Sejauh manakah ulasan ini mutakhir?

Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 1 Jun 2020.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 88 kajian melibatkan sejumlah 871,378 orang dewasa (berumur 18 tahun dan ke atas). Kebanyakan kajian (49) dijalankan di Amerika Syarikat; semua kajian dilakukan sama ada di negara berpendapatan tinggi atau negara berpendapatan sederhana tinggi. Facebook merupakan platform media sosial yang paling sering digunakan; yang lain termasuk WeChat, Twitter, WhatsApp dan Google Hangouts.

Dalam kebanyakan kajian, kesan program media sosial interaktif dibandingkan dengan program tidak interaktif, termasuklah program berasaskan kertas atau orang perseorangan, atau tiada program. Sepuluh kajian membandingkan dua program media sosial; bagi kajian ini, kami memilih program yang lebih interaktif antara dua program tersebut sebagai ‘program media sosial interaktif’.

Apakah hasil utama tinjauan kami?

Berbanding program tidak interaktif, program media sosial:

- mungkin memperbaiki beberapa tingkah laku kesihatan, seperti meningkatkan jumlah langkah harian, atau penyertaan dalam ujian saringan, tetapi mungkin menunjukkan sedikit atau tiada kesan terhadap tingkah laku kesihatan yang lain, seperti diet yang lebih baik atau pengurangan pengambilan tembakau (bukti daripada 54 kajian merangkumi 20,139 orang).

- mungkin menyebabkan perubahan kecil dalam kesihatan, seperti peningkatan kecil bagi jumlah penurunan berat badan, dan pengurangan kadar denyut jantung semasa rehat (bukti daripada 30 kajian merangkumi 4521 orang).

- mungkin meningkatkan kesejahteraan orang ramai (bukti daripada 16 kajian merangkumi 3792 orang).

- mungkin menyebabkan sedikit atau tiada kesan terhadap kesihatan mental orang ramai, seperti kemurungan (bukti daripada 12 kajian merangkumi 2070 orang).

Tiada kajian yang melaporkan sebarang kesan yang tidak diingini berkaitan dengan penggunaan media sosial.

Apakah had bukti?

Secara keseluruhan, keyakinan kami terhadap bukti ini adalah terhad. Kebanyakan kajian tidak melaporkan secara jelas tentang cara ia dijalankan. Dalam kebanyakan kajian, orang ramai mengetahui bahawa mereka sedang mengambil bahagian dalam program interaktif, dan hal ini mungkin mempengaruhi hasil kajian berkenaan. Beberapa kajian tidak melaporkan semua hasilnya, dan terdapat variasi yang besar dalam hasil beberapa kajian. Penyelidikan yang lebih lanjut berkemungkinan akan meningkatkan keyakinan kami terhadap bukti ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fatin Atiqah Nurul Mubin (Universiti Tenaga Nasional). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information