Mengapakah ulasan in penting?
Pertolongan cemas kesihatan mental ditakrifkan sebagai 'bantuan yang diberikan kepada seseorang yang baru mengalami masalah kesihatan mental , mengalami masalah kesihatan mental yang semakin teruk, atau berada dalam krisis kesihatan mental 'Pertolongan cemas diberikan sehingga mereka mendapat bantuan profesional yang sesuai ataupun krisis tersebut selesai.' Pertolongan Cemas Kesihatan Mental (MHFA) ialah program latihan yang bertujuan untuk mengajar strategi pertolongan cemas kesihatan mental kepada orang ramai. Latihan MHFA berfungsi dalam model jujukan; pengajar bertauliah akan memberikan latihan untuk melengkapkan para pelatih dengan kemahiran pertolongan cemas kesihatan mental. Setelah dilatih, pelatih boleh menawarkan pertolongan cemas kesihatan mental kepada orang di tempat kerja, organisasi atau komuniti mereka. Latihan MHFA direka untuk meningkatkan pengetahuan tentang masalah kesihatan mental, dan dengan itu mengurangkan stigma yang sering dikaitkan dengan isu ini. Pelatih belajar bagaimana cara memberikan bantuan segera kepada penerima dan memberikan maklumat kepada mereka terhadap perkhidmatan-perkhidmatan lain.
Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?
Individu yang sedang mempertimbangkan latihan MHFA
Pekerja dan majikan
Pembuat dasar dan pembuat keputusan
Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?
Apakah impak latihan Pertolongan Cemas Kesihatan Mental (MHFA) terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan, penggunaan perkhidmatan kesihatan mental dan kesan buruk kepada individu di dalam komuniti di mana latihan MHFA disampaikan?
Kajian manakah yang disertakan dalam ulasan ini?
Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang disertakan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang meneliti latihan MHFA yang diterbitkan sehingga Jun 2023.
Kami menyertakan 21 kajian dengan 22,604 peserta.
Apakah yang diberitahu oleh bukti daripada ulasan?
Hasil utama yang ingin diketahui ialah kesan latihan MHFA terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan individu pada satu masa antara enam bulan hingga setahun. Kami menyertakan tiga perbandingan: MHFA berbanding tiada intervensi; MHFA berbanding intervensi alternatif yang direka untuk meningkatkan kesedaran/celik kesihatan mental; dan MHFA berbanding program kawalan aktif, contohnya latihan dalam pertolongan cemas fizikal. Kami hanya menemui bukti yang berkepastian sangat rendah mengenai hasil ini, dan tidak dapat membuat sebarang kesimpulan yang kukuh. Bukti yang kami temui hanya berkaitan dengan perbandingan kami antara MHFA tanpa intervensi. Kami tidak menemui sebarang bukti yang berkaitan dengan penggunaan perkhidmatan kesihatan mental atau kesan buruk pada masa yang sama.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin dengan bukti yang didapati, pertama kerana terdapat masalah di dalam cara penyelidikan dijalankan yang menyebabkan keputusan mereka berat sebelah. Kedua, terdapat variasi dalam keputusan daripada kajian-kajian yang berbeza yang tidak dapat kami jelaskan. Ketiga, kerana banyak kajian tidak melibatkan jumlah peserta yang banyak, kami tidak dapat memperoleh keputusan yang tepat yang akan memberitahu kami adakah latihan MHFA adalah lebih baik daripada intervensi yang dibandingkan. Kekurangan bukti mengenai kesan buruk adalah satu batasan, kerana kita tidak boleh menganggap bahawa sebarang jenis intervensi tidak mempunyai potensi untuk menyebabkan kemudaratan.
Apakah yang patut berlaku seterusnya
Penyelidikan lanjut diperlukan untuk memahami dengan lebih baik kemungkinan kesan MHFA.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.