Mesej utama
Berbanding garam beriodin, garam yang diperkaya dua kali ganda (garam yang diperkaya dengan zat besi dan iodin) boleh meningkatkan beberapa hasil pemakanan zat besi dan iodin, seperti kepekatan hemoglobin (iaitu bahan yang memberikan warna kepada sel darah merah) dan simpanan zat besi badan. Walau bagaimanapun, ia boleh mengurangkan kepekatan iodin dalam air kencing dan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kepekatan feritin (iaitu protein simpanan zat besi) dan kepekatan reseptor transferrin (iaitu protein yang menjejaskan pengambilan zat besi). Ia mungkin juga mengurangkan prevalens anemia (kekurangan haemoglobin), dan mungkin mengurangkan prevalens anemia kekurangan zat besi (kekurangan zat besi), berbanding dengan garam beriodin.
Kajian yang direka dengan baik yang menilai kesan garam yang diperkaya dua kali ganda dalam populasi bukan penyelidikan (iaitu tetapan kehidupan sebenar), dan yang mengukur pengambilan garam, termasuk perubahan dalam penggunaan garam, adalah diperlukan.
Apakah itu kekurangan zat besi?
Hampir dua bilion orang mengalami kekurangan vitamin atau mineral (atau kedua-duanya), dengan wanita dan kanak-kanak dalam tetapan dengan sumber terhad yang paling kerap terjejas. Kekurangan berkaitan zat besi adalah antara kekurangan yang paling biasa di dunia dan mempunyai kesan terhadap kesihatan jangka pendek dan panjang yang penting. Intervensi untuk menyediakan zat besi dengan kerap termasuk suplemen zat besi, termasuk tablet zat besi, serbuk, atau sirap. Walau bagaimanapun, ini mempunyai halangan yang diketahui, dan strategi pengayaan makanan mungkin merupakan alternatif yang menarik. Garam adalah salah satu daripada beberapa mod penyampaian makanan yang universal. Garam beriodin diperkaya untuk menyediakan 100% keperluan iodin seseorang dan adalah sangat berkesan. Garam diperkaya dua kali ganda telah dihasilkan untuk menyediakan 30% daripada keperluan zat besi harian seseorang dan 100% daripada keperluan iodin mereka. Dalam beberapa tetapan dengan sumber terhad, di mana kekurangan berkaitan zat besi adalah masalah biasa, terdapat minat untuk menjadikan garam diperkaya dua kali ganda lebih tersedia kepada orang ramai. Ini memerlukan pemahaman lebih lanjut tentang kesan garam diperkaya dua kali ganda pada hasil yang berkaitan.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Jika garam yang diperkaya dua kali ganda adalah lebih baik daripada garam yang diperkaya dengan iodin sahaja untuk meningkatkan hasil yang berkaitan dengan zat besi dan iodin, khususnya:
- kepekatan hemoglobin;
- kepekatan iodin dalam air kencing;
- tekanan darah;
- kepekatan feritin;
- kepekatan reseptor transferrin;
- prevalens anemia;
- prevalens anemia kekurangan zat besi.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang memberikan garam diperkaya dua kali ganda kepada satu kumpulan peserta dan garam beriodin kepada kumpulan yang lain. Kami membandingkan keputusan mereka, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami mengenalpasti 18 kajian, yang melibatkan lebih daripada 8800 individu dari lima negara; 13 kajian telah dijalankan di India. Dalam 13 kajian intervensi berlangsung antara 6 dan 12 bulan; dalam dua kajian ia berlangsung selama 3 bulan, dan dalam satu kajian ia berlangsung selama 18 bulan, 24 bulan, ataupun tempohnya tidak jelas. Sembilan kajian telah dijalankan pada kanak-kanak dan remaja (5 hingga 17 tahun), empat pada orang dewasa (18 tahun ke atas), dan lima menyertakan pelbagai kumpulan umur. Semua kajian membandingkan garam diperkaya dua kali ganda dengan garam beriodin. Kebanyakan kajian dibiayai oleh pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, geran universiti atau institusi akademik. Dalam empat kajian, garam diperkaya dua kali ganda disediakan oleh organisasi komersial, dan dalam tiga kajian sumber pembiayaannya tidak jelas.
Berbanding dengan garam beriodin, garam diperkaya dua kali ganda boleh meningkatkan sedikit kepekatan hemoglobin dan simpanan zat besi badan, dan mungkin mengurangkan prevalens anemia sebanyak 21%. Walau bagaimanapun, garam diperkaya dua kali ganda juga boleh mengurangkan kepekatan iodin dalam air kencing berbanding garam beriodin dan mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam kepekatan reseptor ferritin dan transferrin. Garam yang diperkaya dua kali ganda boleh mengurangkan prevalens anemia kekurangan zat besi sebanyak 65%, berbanding garam beriodin, walaupun kesimpulan ini adalah tidak pasti kerana terdapat beberapa masalah dengan cara kajian dijalankan. Sangat sedikit kajian mengukur kepekatan zink protoporphyrin, kesan buruk, prevalens goiter dan pengambilan garam. Satu kajian mengukur kepekatan zat besi dalam serum.
Tiada kajian yang mengukur tekanan darah atau kepekatan hepcidin.
Apakah batasan bukti tersebut ?
Kami mempunyai keyakinan yang agak rendah terhadap bukti untuk hasil: hemoglobin, iodin dalm air kencing, ferritin, dan kepekatan reseptor transferrin, dan prevalens anemia kekurangan zat besi. Tidak semua kajian memberikan data tentang semua hasil yang diminati; kajian-kajian menyampaikan intervensi dengan cara yang berbeza; dan kajian adalah kecil, baik dari segi bilangan mahupun saiz.
Untuk prevalens anemia, kami agak yakin dengan buktinya kerana kajian menggunakan cara yang berbeza untuk menyampaikan intervensi.
Perhatian harus diambil dalam mentafsir penemuan kami yang berkaitan dengan dasar dan program kesihatan awam. Kebanyakan kajian telah dijalankan dalam tetapan penyelidikan yang dipantau dan garam diperkaya dua kali ganda disediakan tanpa kos tambahan. Kami tidak pasti sama ada kesan yang kami perhatikan adalah sama dalam kehidupan sebenar (iaitu populasi bukan penyelidikan), di mana pembelian garam diperkaya dua kali ganda boleh meningkatkan kos. Lebih banyak kajian yang melihat kesan garam yang diperkaya dua kali ganda dalam tetapan kehidupan sebenar diperlukan untuk memahami kesan sebenar garam diperkaya dua kali ganda dengan lebih pasti. Memandangkan garis panduan yang berubah-ubah untuk pengambilan garam, kajian masa depan harus mengukur pengambilan garam untuk memahami sama ada garam diperkaya dua kali ganda perlu dipertimbangkan untuk mencegah anemia pada peringkat populasi dan cara mengintegrasikan garam diperkaya dua kali ganda ke dalam rantaian bekalan.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga April 2021.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my