Bolehkah intervensi psikologi atau pendidikan (atau gabungan kedua-duanya) mengurangkan jatuh dalam kalangan warga tua yang tinggal di rumah?

Mesej utama

– Intervensi psikologi (melibatkan temu bual motivasi) satu kaedah untuk mengubah tingkah laku menerusi pengendalian ketidakpastian dan menggalakkan komitmen peribadi) dan bimbingan) yang digabung dengan pendidikan yang diolahsuaikan (contohnya, nasihat tentang senaman atau ubat-ubatan) menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang jatuh, tetapi mungkin mengurangkan bilangan seseorang itu jatuh (walaupun tidak jelas berapa banyak).

- Tiada bukti berkualiti yang mencukupi untuk yakin dengan kesan intervensi psikologi atau pendidikan individu.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Apabila kita meningkat usia, kita lebih cenderung untuk jatuh, dan berpotensi mencederakan diri sendiri. Dianggarkan bahawa satu daripada tiga warga tua jatuh setiap tahun, yang boleh memberi kesan kepada kemandirian dan tahun hidup dalam keadaan sihat. Jatuh berlaku akibat pelbagai sebab, dan senaman dan intervensi yang diolahsuaikan untuk menangani faktor risiko yang berbeza (seperti otot yang lemah, penglihatan, persekitaran, atau ubat-ubatan) boleh mengurangkan jatuh. Jika kita bimbang tentang jatuh, kita boleh mengehadkan aktiviti, yang meningkatkan risiko jatuh. Intervensi psikologi bertujuan mengurangkan kebimbangan terhadap jatuh, meningkatkan kesedaran, atau motivasi untuk mengambil tindakan mencegah jatuh. Pendidikan bertujuan untuk memaklumkan orang tentang cara menurunkan risiko jatuh. Kami ingin melihat sama ada intervensi psikologi ataupun pendidikan (ataupun gabungan kedua-duanya) dapat membantu menurunkan jatuh dalam warga tua yang tinggal di rumah sendiri.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mengenal pasti kajian yang membandingkan intervensi berikut dengan penjagaan lazim untuk orang tua yang tinggal di rumah.

– Terapi tingkah laku kognitif (terapi lisan yang membantu orang menguruskan masalah mereka dengan mengubah cara pemikiran dan kelakuan mereka).

– Temubual motivasi (satu kaedah yang bertujuan menggalakkan motivasi seseorang untuk memperbaik tingkah laku sendiri menerusi penelitian keraguan mereka dan menggalakkan komitmen peribadi).

– Intervensi psikologi yang lain, contohnya, pengimejan bersasar (teknik di mana seseorang diajar menggunakan imaginasi mereka untuk mengurangkan perasaan negatif) atau bimbingan.

– Pendidikan (diolahsuaikan megikut faktor risiko seseorang serta meliputi pelbagai topik, seperti senaman, jenis kasut, dan ubat-ubatan; atau satu topik, seperti persekitaran rumah ).

– intervensi psikologi yang digabungkan dengan pendidikan.

Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan, dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti. Kami meneroka bilangan jatuh, bilangan orang yang jatuh, bilangan orang yang jatuh dan mengalami patah tulang, bilangan orang yang jatuh dan memerlukan rawatan perubatan, kadar kemasukan ke hospital, kebimbangan terhadap jatuh, dan kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 37 kajian yang melibatkan 17,478 orang yang tinggal di rumah serta berumur dalam lewat 60-an hingga 80-an (71% merupakan peserta wanita). Kajian terbesar melibatkan 4667 orang dan kajian terkecil melibatkan 40 orang. Kajian-kajian itu dijalankan di seluruh dunia, tetapi kebanyakannya di AS (enam kajian), Iran (enam kajian), dan Australia (lima kajian). Lima belas kajian memantau peserta untuk kurang daripada enam bulan dan 17 kajian untuk 12 bulan atau lebih. Kajian menguji pendidikan (24 kajian), tingkah laku kognitif (enam kajian), temubual motivasi (tiga kajian), intervensi psikologi yang lain (tiga kajian), atau intervensi psikologi yang digabungkan dengan pendidikan (satu kajian). Dua puluh lapan kajian menggunakan dana awam (seperti, universiti, geran, dan badan amal).

Keputusan utama

Kami menemui bahawa intervensi psikologi (temubual motivasi/bimbingan) yang digabungkan dengan pendidikan yang diolahsesuaikan membuat sedikit atau tidak ada perbezaan kepada bilangan jatuh (1 kajian, 430 orang), mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap kebimbangan terhadap jatuh (1 kajian, 353 orang), tetapi mungkin mengurangkan bilangan jatuh (walaupun ini mungkin boleh jadi dalam jumlah yang kecil atau besar; 1 kajian, 430 orang). Satu kajian melaporkan tiada kesan tidak diingini (430 orang).

Kami menemui bahawa pendidikan yang diolahsesuaikan berdasarkan faktor risiko seseorang membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap bilangan jatuh (2 kajian, 777 orang), dan bukti mengenai patah tulang berkaitan jatuh (2 kajian, 510 orang). Pendidikan yang merangkumi pelbagai topik boleh menambahbaik kebimbangan berkaitan jatuh (1 kajian, 459 orang). Bukti untuk pendidikan terhadap hasil yang lain adalah sangat tidak pasti atau tidak dinilai.

Intervensi tingkah laku kognitif boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan pada bilangan orang yang jatuh (4 kajian, 1286 orang), dan sedikit pengurangan dalam kebimbangan berkaitan jatuh (3 kajian, 1132 orang).

Bukti tentang intervensi psikologi adalah sangat tidak pasti atau tidak dinilai untuk hasil yang lain.

Apakah batasan bukti?

Kami berkeyakinan sederhana hingga tinggi dalam keputusan kami tentang intervensi gabungan psikologi dan pendidikan. Ini adalah disebabkan kajian adalah besar dan dijalankan dengan baik.

Untuk semua intervensi yang lain, kami sangat kurang yakin terhadap keputusan kami dan keputusan penyelidikan pada masa hadapan mungkin berbeza dengan ulasan ini. Terdapat masalah dengan reka bentuk kajian dan penemuan adalah tidak jelas. Kajian semasa tidak mengukur semua hasil yang kami minati.

Kebanyakan kajian dijalankan di negara yang berpendapatan tinggi.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 6 Jun 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information