Adakah membersihkan tangan dengan abu menghentikan atau mengurangkan penyebaran jangkitan virus dan bakteria berbanding dengan sabun atau bahan-bahan lain?

Latar belakang

Sesetengah penyakit berjangkit disebarkan oleh titisan udara dari batuk dan bersin, yang dapat menjangkiti orang yang menyentuh kulit atau permukaan yang tercemar. Mencuci tangan dengan sabun dan air boleh mengelakkan penyakit ini daripada merebak. Orang yang tidak mempunyai sabun mungkin boleh menggunakan bahan-bahan lain seperti abu, lumpur, tanah dengan atau tanpa air, atau air sahaja, untuk membersihkan tangan mereka. Pembersihan tangan dengan abu (sisa pepejal dari dapur memasak dan api) mungkin berfungsi dengan cara menggosok atau menyahaktifkan virus atau bakteria. Namun, bahan-bahan kimia di dalam abu juga boleh merosakkan kulit.

Sekiranya abu adalah pembersih tangan yang berkesan, ia dapat mengurangkan penyebaran coronavirus (COVID-19) dan penyakit berjangkit lain di kawasan berpendapatan rendah di mana sabun tidak mudah diperolehi.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada orang yang menggunakan abu untuk membersihkan tangan lebih atau kurang cenderung untuk mendapat penyakit berjangkit daripada orang yang menggunakan sabun, air, lumpur atau tanah, atau yang tidak membersihkan tangan mereka. Kami juga ingin mengetahui sama ada penggunaan abu menyebabkan kesan yang tidak diingini, seperti sakit tangan atau ruam.

Kaedah-kaedah kami

Kami mencari kajian yang memeriksa pembersihan tangan dengan abu berbanding dengan sabun, lumpur, tanah, air sahaja atau tanpa pembersihan tangan. Untuk menjawab soalan kami, kajian boleh merangkumi orang dewasa dan kanak-kanak dan berlaku di mana-mana sahaja.

COVID-19 merebak dengan pantas, jadi kami perlu menjawab soalan dengan cepat. Ini bermakna kami telah memendekkan beberapa langkah Ulasan Cochrane yang biasa. Kami tidak dapat menemui teks lengkap daripada lima kajian berkaitan yang berpotensi, atau menghubungi penulis kajian untuk mendapatkan data tambahan. Walaupun kami mencari beberapa pangkalan data, kami mungkin telah terlepas beberapa kajian. Kami merancang untuk memasukkan semua maklumat yang berkaitan dalam versi ulasan yang akan datang.

Keputusan

Kami mengenalpasti 14 kajian yang menilai abu untuk pembersihan tangan. Hanya satu kajian kecil yang secara langsung membandingkan orang yang dipilih secara rawak untuk menggunakan abu atau sabun atau bahan-bahan lain (kajian rawak menghasilkan bukti terbaik). Kajian ini merangkumi orang daripada semua peringkat umur dan terutamanya berlaku dalam kalangan komuniti luar bandar yang berpendapatan rendah. Enam kajian memberikan maklumat untuk membantu menjawab soalan kami.

Satu kajian menyiasat kanak-kanak yang pernah ke hospital kerana cirit-birit dibandingkan dengan kanak-kanak yang belum pernah. Penulis kajian melihat kawasan mencuci tangan di rumah kanak-kanak untuk melihat bagaimana mereka membersihkan tangan mereka. Mereka mendapati bahawa keluarga yang menggunakan abu untuk membersihkan tangan membuat bilangan lawatan ke hospital yang sama untuk kanak-kanak yang mengalami cirit-birit dengan keluarga yang menggunakan sabun.

Kajian lain menyiasat sama ada wanita dengan kegatalan faraj atau keputihan yang luar biasa adalah lebih cenderung membersihkan tangan mereka dengan abu daripada wanita yang tidak mengalami gejala seperti itu. Mereka mendapati bahawa wanita yang menggunakan abu dan air untuk membersihkan tangan berkemungkinan mengalami gatal faraj atau keputihan seperti wanita yang menggunakan sabun.

Empat kajian mengukur bakteria pada tangan selepas menggunakan abu, sabun, air, lumpur atau tidak membersihkan tangan. Kami tidak pasti tentang kesan abu berbanding dengan bahan-bahan lain untuk membersihkan tangan dari bakteria pada tangan manusia kerana kajian menggunakan kaedah yang tidak boleh dipercayai dan hasilnya tidak jelas.

Tidak ada kajian yang memberikan maklumat mengenai keterukan penyakit berjangkit, sama ada orang menggunakan abu atau bahan lain secara konsisten, jumlah kematian, atau kesan yang tidak diingini akibat pembersihan tangan dengan abu.

Kepastian bukti

Kepastian (keyakinan) kami terhadap bukti adalah terhad kerana kami mendapati sedikit kajian; kajian yang kami dapati mempunyai kaedah yang tidak boleh dipercayai dan pelbagai jenis peserta, dan tidak ada kajian yang kami dapati menjalankan pemeriksaan yang boleh dipercayai, sama ada peserta mendapat jangkitan atau tidak.

Kesimpulan

Kami tidak pasti sama ada pembersihan tangan dengan abu berbanding dengan pembersihan tangan dengan sabun, air, lumpur, tanah atau tidak ada pembersihan tangan menghentikan atau mengurangkan penyebaran jangkitan virus atau bakteria. Kami tidak tahu jika pembersihan tangan dengan abu menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Tarikh carian

Ulasan ini memasukkan semua bukti yang diterbitkan sehingga 26 Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wendy Yeo Wai Yeng (Perdana University, Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd/edu/my

Tools
Information