Intervensi psikologi untuk memupuk ketahanan dalam pelajar penjagaan kesihatan

Latar belakang
Pelajar penjagaan kesihatan (contohnya pelajar perubatan, kejururawatan, perbidanan, paramedik, psikologi, terapi fizikal, atau pekerjaan sosial) mempunyai beban kerja akademik yang tinggi, dikehendaki lulus peperiksaan dan terdedah kepada penderitaan manusia. Ini boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental mereka. Intervensi untuk melindungi mereka daripada tekanan sedemikian dikenali sebagai intervensi ketahanan. Ulasan sistematik sebelumnya menunjukkan bahawa intervensi ketahanan boleh membantu pelajar mengatasi tekanan dan melindungi mereka daripada akibat buruk terhadap kesihatan fizikal dan mental mereka.

Soalan ulasan
Adakah intervensi psikologi yang direka untuk memupuk ketahanan meningkatkan ketahanan, kesihatan mental, dan faktor-faktor lain berkaitan dengan ketahanan dalam pelajar penjagaan kesihatan?

Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga Jun 2019. Hasil carian terkini dari empat pengkalan data utama pada Jun 2020 masih belum dimasukkan ke dalam ulasan ini.

Ciri-ciri kajian
Kami menemui 30 kajian rawak terkawal (kajian yang mana peserta dibahagikan kepada kumpulan intervensi atau kawalan melalui prosedur yang serupa dengan melambung syiling). Kajian-kajian ini menilai pelbagai intervensi ketahanan dalam peserta berusia purata antara 19 dan 38 tahun.

Pelajar penjagaan kesihatan adalah tumpuan 22 kajian, dengan jumlah 1315 peserta (tidak ditentukan bagi dua kajian). Lapan kajian menyertakan sampel campuran (1365 peserta) pelajar penjagaan kesihatan dan pelajar bukan penjagaan kesihatan.

Lapan daripada kajian yang disertakan membandingkan intervensi ketahanan berasaskan kesedaran (iaitu intervensi yang memupuk perhatian kepada masa sekarang, tanpa menghakimi) berbanding pembanding yang tidak spesifik (contohnya kawalan senarai menunggu yang menerima latihan tersebut selepas tempoh menunggu). Kebanyakan intervensi dilakukan berkumpulan (17/30), dengan latihan berintensiti tinggi lebih dari 12 jam atau sesi (11/30), dan disampaikan bersemuka (iaitu dengan pertemuan langsung dan perjumpaan bersemuka antara pemberi intervensi dan peserta; 17/30).

Kajian yang disertakan dibiayai oleh pelbagai sumber (contohnya universiti, yayasan), atau gabungan pelbagai sumber (empat kajian). Tujuh kajian tidak menyatakan pembiaya, dan tiga kajian tidak menerima sokongan dana.

Kepastian bukti
Sejumlah perkara mengurangkan kepastian tentang sama ada intervensi ketahanan adalah berkesan. Ini termasuk batasan dalam kaedah kajian, keputusan yang berbeza antara kajian, jumlah peserta yang kecil dalam kebanyakan kajian, dan fakta bahawa penemuan adalah terhad kepada peserta, intervensi dan pembanding tertentu.

Keputusan utama
Latihan ketahanan untuk pelajar penjagaan kesihatan mungkin meningkatkan ketahanan, dan mengurangkan gejala-gejala kegelisahan dan tekanan sejurus selepas rawatan berakhir. Intervensi ketahanan didapati tidak mengurangkan gejala-gejala kemurungan atau meningkatkan kesejahteraan. Namun, bukti dari ulasan ini adalah terhad dan sangat tidak pasti. Ini bermakna pada masa ini kami mempunyai keyakinan yang sangat kecil bahawa intervensi ketahanan membuat perbezaan kepada hasil-hasil ini dan penyelidikan lebih lanjut sangat berkemungkinan untuk mengubah penemuan tersebut.

Sangat sedikit kajian melaporkan kesan jangka pendek dan sederhana intervensi ketahanan. Penilaian susulan jangka panjang adalah tidak tersedia untuk sebarang hasil. Kajian-kajian menggunakan pelbagai ukuran hasil dan reka bentuk intervensi yang berbeza, menjadikannya sukar untuk membuat kesimpulan umum dari penemuan tersebut. Potensi peristiwa buruk hanya dikaji dalam empat kajian, dengan tiga daripadanya menunjukkan tiada kesan yang tidak diingini dan satu kajian melaporkan tiada hasil. Lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan, dengan kualiti metodologi yang tinggi dan reka bentuk yang lebih baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd,edu,my

Tools
Information