Mesej utama
• Senaman yang digabungkan dengan senaman khusus untuk menguatkan otot pernafasan mungkin tidak menambahbaik kesesakan nafas, kecergasan fizikal dan kualiti hidup. Kekuatan otot pernafasan dan daya tahan meningkat tetapi tidak mencukupi untuk memberi impak kepada pesakit.
• Senaman khusus untuk menguatkan otot pernafasan berbanding tanpa senaman boleh menambahbaik kesesakan nafas, kecergasan fizikal dan kualiti hidup. Kekuatan otot pernafasan dan daya tahan meningkat, tetapi kita tidak tahu sama ada ini memberi manfaat kepada pesakit.
• Kami tidak tahu sama ada senaman atau senaman khusus untuk menguatkan otot pernafasan adalah lebih baik untuk orang yang mengalami kelemahan otot pernafasan yang berlatih selama beberapa minggu.
• Penyelidikan masa depan harus memberi tumpuan kepada orang yang mempunyai otot pernafasan yang lemah dan kajian harus melibatkan lebih ramai orang.
Apakah itu penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)?
Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) adalah keadaan paru-paru yang dicirikan oleh penyumbatan pada saluran pernafasan, yang menyebabkan kesesakan nafas dan batuk. Ia muncul selepas penyedutan jangka panjang gas yang merengsa seperti asap rokok dan bahan kimia. Melatih dan menguatkan otot pernafasan dianggap dapat meningkatkan pernafasan dan mengurangkan halangan udara.
Apakah rawatan senaman yang digunakan oleh penghidap COPD?
Pakar kesihatan menggunakan pelbagai senaman untuk memulihkan pesakit COPD.
• Sesetengah orang menjalani program am senaman dan pendidikan untuk membantu mengurangkan gejala dan meningkatkan kapasiti senaman dan kualiti hidup mereka.
• Orang lain cuba meningkatkan kekuatan dan daya tahan otot pernafasan melalui beberapa siri senaman pernafasan menggunakan alat tertentu. Ini dipanggil 'latihan otot inspirasi' (IMT). Peranti menambah daya tahan terhadap pernafasan untuk menguatkan diafragma dan otot intercostal antara rusuk - otot yang digunakan untuk bernafas. Orang kemudian mungkin dapat menghirup lebih banyak udara dengan setiap nafas dan menjadi aktif lebih lama. Alat ini juga digunakan oleh orang yang mempunyai paru-paru yang sihat untuk meningkatkan prestasi sukan mereka.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada senaman digabungkan dengan IMT berbanding dengan senaman sahaja, dan IMT berbanding tanpa senaman atau IMT palsu mempunyai kesan yang lebih baik terhadap sesak nafas, kecergasan fizikal dan kualiti hidup. (Alat palsu tidak mempunyai kesan pada otot pernafasan. Ia membenarkan ujian yang saksama terhadap alat sebenar, kerana orang tidak tahu alat yang mereka gunakan.)
Kami juga ingin menyemak sama ada IMT dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan
• gabungan senaman dan IMT dengan senaman sahaja; dan
• IMT tanpa senaman atau IMT palsu.
Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Senaman ditambah IMT berbanding dengan senaman sahaja
Kami menemui 22 kajian dengan 1446 peserta, yang berlangsung antara 2 dan 24 minggu. Senaman terdiri daripada latihan hanya pada treadmill, dengan hanya berbasikal, dan gabungan senaman (latihan dengan berbasikal dan treadmill, menguatkan otot, memanjat tangga, dan pendidikan). Tempoh dan alat IMT juga berbeza-beza merentasi kajian.
Kami menemui bahawa gabungan ini:
• mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada sesak nafas (diukur dengan skala yang berbeza);
• mempunyai kesan yang tidak diketahui terhadap kecergasan fizikal;
• mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kualiti hidup (diukur dengan skala yang berbeza);
• mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kekuatan otot pernafasan.
IMT berbanding tiada latihan atau alat palsu
Kami menemui 37 kajian dengan 1021 peserta, yang berlangsung dari 2 minggu hingga setahun. IMT berbeza-beza merentasi kajian berkenaan alat, rintangan, kekerapan dan penyeliaan.
Kami menemui bahawa IMT sahaja:
• boleh mengurangkan sesak nafas diukur dengan satu skala, tetapi tidak jelas jika ia mempunyai kesan apabila diukur dengan dua skala lain;
• mungkin menambahbaik kecergasan fizikal;
• mungkin meningkatkan kualiti hidup apabila diukur dengan satu skala, tetapi tidak jelas sama ada ia mempunyai faedah apabila diukur dengan skala yang lain;
• mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kekuatan otot pernafasan.
Apakah batasan bukti?
Kajian menggunakan tempoh latihan, rintangan, alat, bilangan dan kekerapan sesi, dan program latihan fizikal yang berbeza. Ini menyebabkan sukar untuk membuat kesimpulan yang kukuh. Secara keseluruhannya keyakinan kami terhadap kesimpulan adalah kurang kerana kajian yang kecil, sesetengah peserta mungkin menyedari rawatan yang mereka terima, dan secara amnya, terdapat beberapa kepelbagaian dalam kajian.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 20 Oktober 2022.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my