Keputusan utama daripada meta-analisis rangkaian juga tersedia sebagai ringkasan interaktif jadual penemuan , yang dihasilkan dengan kerjasama MAGIC.
Latar belakang
Penyakit Parkinson (PD) adalah gangguan progresif sistem saraf terjadi yang kebanyakannya kepada individu yang berusia 60 tahun ke atas. Gejala bermula secara beransur-ansur dan melibatkan masalah pergerakan, seperti menggeletar, kekakuan, pergerakan yang perlahan dan masalah keseimbangan , juga masalah koordinasi. Mereka yang mempunyai PD juga boleh mengalami masalah emosi dan mood, kelesuan, masalah tidur dan kesukaran berfikir. Keadaan ini tidak dapat disembuhkan, tetapi gejala-gejalanya boleh dikurangkan, contohnya, dengan ubat ataupun pembedahan. Selain itu, penghidap PD mungkin boleh mendapat manfaat daripada fisioterapi atau bentuk senaman fizikal yang lain, seperti menari. Namun demikian, masih tidak jelas sama ada sesetengah jenis senaman ini memberi kesan yang lebih baik berbanding dengan jenis yang lain.
Apakah matlamat kami?
Kami ingin mengetahui jenis senaman fizikal yang paling berkesan untuk meningkatkan pergerakan dan kualiti hidup bagi penghidap PD. Kami juga ingin mengetahui jenis senaman yang menyebabkan kesan yang paling tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan senaman fizikal dengan tanpa senaman fizikal atau dengan jenis senaman fizikal yang lain. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan jangka pendek kajian-kajian tersebut, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti metodologi kajian dan bilangan peserta yang terlibat. Kami hanya mengkaji keputusan jangka pendek.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 154 kajian tentang jenis senaman fizikal yang berbeza bagi mereka yang mempunyai PD. Kajian-kajian tersebut menyertakan seramai 7837 peserta. Kajian terkecil melibatkan 10 peserta dan yang terbesar melibatkan seramai 474 peserta. Purata umur peserta adalah diantara 60 hingga 74 tahun. Kajian-kajian telah dijalankan di negara-negara seluruh dunia, dengan bilangan tertinggi (34) di Amerika Syarikat. Daripada kajian yang disertakan, 60 (2721 orang) memberikan maklumat mengenai pergerakan; 48 (3029 orang) memberikan maklumat tentang kualiti hidup, dan 85 (5192 orang) memberikan maklumat tentang kesan yang tidak diingini.
Apakah keputusan utama?
Banyak jenis senaman fizikal memberi kesan yang baik untuk penghidap PD berbanding tanpa senaman fizikal.
Tarian dan latihan berjalan/keseimbangan/fungsian mungkin mempunyai kesan sederhana baik terhadap pergerakan. Latihan yang terdiri daripada beberapa jenis senaman (iaitu latihan berbilang domain) mungkin memberikan sedikit kesan yang baik terhadap pergerakan. Ketahanan, latihan berasaskan akua/air, kekuatan/ketahanan, dan minda-badan (contohnya tai chi atau yoga) mungkin mempunyai sedikit kesan yang baik terhadap pergerakan. Kami sangat tidak pasti mengenai kesan terapi fizikal khusus PD “Lee Silverman Voice training BIG” (LSVT BIG) dan latihan fleksibiliti pada pergerakan.
Latihan berasaskan air mungkin mempunyai kesan bermanfaat yang besar terhadap kualiti hidup. Latihan minda-badan, latihan berjalan/keseimbangan/fungsian, dan latihan berbilang domain dan tarian mungkin mempunyai sedikit kesan yang baik terhadap kualiti hidup. Kami sangat tidak pasti mengenai kesan permainan, kekuatan/ketahanan, ketahanan, dan latihan fleksibiliti terhadap kualiti hidup.
Keyakinan kami terhadap bukti adalah dari sederhana hingga sangat rendah. Apabila keyakinan kami berkurangan, selalunya disebabkan oleh dua perkara. Pertama, tidak semua kajian memberikan maklumat mengenai pergerakan atau kualiti hidup semua peserta yang mengambil bahagian dalam kajian. Kedua, saiz kajian yang sangat kecil.
Hanya 85 kajian memberikan sedikit maklumat tentang kesan yang tidak diingini, dan kebanyakannya hanya untuk kumpulan senaman fizikal, bukan untuk kumpulan yang tidak melakukan senaman. Tiada kesan yang tidak diingini dilaporkan dalam 40 kajian. Tiada kesan tidak diingini yang serius dilaporkan dalam empat kajian. Kesan yang tidak diingini telah dilaporkan dalam 28 kajian. Kesan tidak diingini yang paling kerap dilaporkan adalah terjatuh (18 kajian) dan kesakitan (10 kajian). Kami tidak dapat menyatakan jenis senaman mana yang menyebabkan kesan tidak diingini yang paling sedikit kerana kajian-kajian tidak memberikan maklumat tentang semua hasil yang kami perlukan. Ini merupakan sebab kami sangat tidak pasti tentang keputusan kesan yang tidak diingini.
Apakah maksudnya?
Kami mendapati bahawa banyak jenis senaman fizikal boleh membantu meningkatkan pergerakan dan kualiti hidup bagi penghidap PD. Kami menemui sedikit bukti bahawa jenis senaman tertentu berfungsi lebih baik daripada yang lain. Oleh itu, untuk pergerakan dan kualiti hidup, kami berpendapat senaman fizikal adalah penting, tetapi jenis senaman mana yang paling baik mungkin kurang penting. Namun, ada kemungkinan bahawa beberapa simptom boleh dikurangkan sebaik-baiknya dengan jenis latihan khusus yang dibuat untuk penghidap PD. Jenis latihan yang kami sertakan kelihatan agak selamat.
Kajian lebih besar yang direka dengan baik diperlukan untuk meningkatkan keyakinan kami terhadap bukti. Selain itu, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami perkara-perkara yang mempengaruhi kesan senaman. Lebih banyak kajian yang melibatkan individu yang mengalami simptom yang lebih teruk boleh membantu memberi maklumat yang lebih kepada lebih ramai individu yang mempunyai PD.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mei 2021.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).