Mesej utama
Kami tidak pasti sama ada pengairan hidung berserta dengan intervensi pembedahan sinus endoskopik dapat memperbaik gejala dan fungsi paru-paru atau mengurangkan keperluan untuk antibiotik berbanding dengan pengairan hidung semata-mata.
Terdapat satu episod pendarahan semasa pembedahan yang berjaya ditangani semasa prosedur tanpa akibat selanjutnya.
Apakah itu fibrosis sista?
CF merupakan penyakit genetik yang menjejaskan paru-paru, hidung, rongga sinus dan beberapa organ lain di dalam badan. Badan menghasilkan lendir tebal dan melekit yang sukar dikeluarkan dan menyebabkan keradangan. Ramai orang dewasa dan kanak-kanak yang menghidap CF mempunyai polip dalam saluran hidung dan rongga sinus akibat lendir melekit dan keradangan. Polip boleh menyebabkan lebih banyak jangkitan paru-paru dan kualiti hidup yang lebih teruk.
Bagaimanakah polip hidung dalam CF dirawat?
Pembedahan sinus endoskopik bertujuan membuka rongga sinus yang tersumbat untuk memperbaik pernafasan dan memudahkan penyahbersihan lendir. Ia merupakan suatu prosedur yang mempunyai beberapa kesan sampingan (pendarahan dan kecederaan pada rongga sinus) dikaitkan dengannya.
Rawatan perubatan merangkumi beberapa ubat-ubatan (baik secara disedut mahupun ditelan), seperti antibiotik, steroid dan ubat yang disedut dengan oksigen lembap. Larutan garam juga digunakan untuk hidung tersumbat. Satu golongan ubat baru sudah wujud, dipanggil pemodulat pengatur konduktans rentasmembran fibrosis sista (CFTR); ubat-ubatan ini dapat membetulkan kerosakan asas dalam protein CFTR, tetapi masih belum jelas bagaimana ia mempengaruhi polip hidung.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Adakah pembedahan sinus endoskopik sahaja atau gabungan bersama-sama dengan rawatan perubatan lebih baik daripada rawatan perubatan sahaja untuk meningkatkan kualiti hidup dan fungsi paru-paru tanpa komplikasi di kalangan penghidap CF? Kami juga ingin mengetahui kesan rawatan terhadap jangkitan bakteria, eksaserbasi penyakit pulmonari (pemberangan penyakit paru-paru), keperluan untuk antibiotik tambahan dan kelangsungan hidup.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan pelbagai rawatan di kalangan pesakit yang telah didiagnosa dengan CF, polip dan masalah sinus yang kronik. Peserta telah diagihkan ke dalam kumpulan rawatan secara rawak.
Apakah yang kami temui?
Keputusan utama
Kami menemui satu kajian yang membandingkan pengairan hidung (dengan menggunakan larutan garam dan mometasone (iaitu sejenis steroid)) di kalangan 14 orang belia dengan gabungan pengairan hidung berserta pembedahan sinus endoskopik dalam 14 orang belia yang lain. 28 orang peserta yang mengambil bahagian dalam kajian berumur dari 19 hingga 28 tahun. Peserta yang menjalani pembedahan bersama-sama pengairan larutan garam melaporkan perbaikan yang lebih besar dalam gejala hidung. Mereka juga mengalami pengurangan yang lebih banyak dari segi bilangan bakteria dalam saluran hidung, kurang menggunakan antibiotik dan kurang mengalami eksaserbasi penyakit pulmonari, namun terdapat tiada perbezaan dalam fungsi paru-paru mereka. Seorang peserta mengalami pendarahan lebih banyak daripada biasa semasa pembedahan, tetapi ia berjaya ditangani semasa prosedur tanpa sebarang akibat lanjut. Kajian tersebut tidak melaporkan tentang kelangsungan hidup.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan keseluruhan kami terhadap bukti adalah sangat rendah kerana kami tidak dapat menentukan bagaimana peserta diagihkan kepada kumpulan rawatan yang berbeza, dan sama ada penyelidik mengetahui kepada kumpulan manakah seseorang peserta akan dimasukkan. Peserta dan penyelidik tidak dibutakan dan ini boleh menyebabkan bias dalam beberapa hasil, termasuk perubahan dalam kualiti hidup. Satu lagi sebab yang mewajarkan keyakinan rendah kami terhadap bukti adalah kami menemui hanya satu kajian yang melibatkan bilangan peserta yang sangat kecil.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat 4 Julai 2022.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).