Prebiotik untuk rawatan kolitis ulseratif

Mesej utama

Kami telah menemui bahawa kesan prebiotik adalah tidak berbeza daripada plasebo dalam mencegah kolitis ulseratif yang berulang. Bagi pesakit dewasa dalam fasa remisi, prebiotik boleh memberi lebih banyak kesan sampingan daripada plasebo.

Bukti adalah berkualiti rendah untuk fasa remisi, pengurangan dalam aktiviti penyakit, keradangan, dan kualiti hidup, oleh itu kami tidak dapat mencapai sebarang kesimpulan untuk berdasarkan hasil dapat kajian ini.

Adalah perlu untuk ada lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi mengenai topik ini sebelum sebarang kesimpulan yang kukuh dapat dicapai.

Apakah itu kolitis ulseratif ?

Kolitis ulseratif adalah salah satu daripada dua bentuk utama penyakit radang usus. Ia adalah keadaan sepanjang hayat yang menyebabkan keradangan dan ulser dalam usus besar. Gejala termasuk najis berdarah, cirit-birit, sakit perut, demam, penurunan berat badan, dan rasa letih. Kami tidak tahu dengan tepat apa yang menyebabkan kolitis ulseratif. Ia mungkin disebabkan oleh gabungan gen, masalah sistem imun, bakteria dalam usus, dan sesuatu dalam persekitaran. Penyakit ini tidak mempunyai penawar atau rawatan, tetapi gejala penyakit ini biasanya dirawat dengan ubat dan kadangkala pembedahan.

Kebanyakan pesakit dengan kolitis ulseratif adakalanya mereka mengalami gejala (penyakit aktif) dan adakalanya gejala mereka berada dalam keadaan terkawal (remisi). Apabila gejala muncul semula selepas remisi, ia dipanggil penyakit berulang. Apabila ubat-ubatan yang digunakan untuk mengawal kolitis ulseratif, peringkat ini dipanggil induksi kepada fasa remisi. Apabila ubat-ubatan digunakan untuk mengekalkan kolitis ulseratif di bawah kawalan, peringkat ini dipanggil remisi yang berterusan

Apakah yang ingin kami tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada prebiotik berkesan dan selamat untuk rawatan kolitis ulseratif. Prebiotik ialah makanan yang memberi kesan kepada keseimbangan bakteria baik dan jahat dalam usus anda.

Kami ingin mengetahui sama ada prebiotik boleh menyebabkan kolitis ulseratif fasa aktif menjadi fasa remisi, mencegah penyakit berulang semula dan mengurangkan aktiviti penyakit, keradangan dan kualiti hidup. Kami juga ingin mengetahui bilangan pesakit yang mempunyai kesan sampingan daripada prebiotik, dan bilangan pesakit yang berhenti mengambil prebiotik kerana kesan sampingan.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian rawak terkawal yang dijalankan (kajian di mana individu diletakkan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang membandingkan prebiotik dengan sebarang rawatan yang lain, rawatan piawai , rawatan palsu(plasebo) atau prebiotik pada dos yang berbeza.

Apa yang telah kami temui?

Kami menemui 9 kajian melibatkan seramai 445 pesakit dengan kolitis ulseratif. Kajian-kajian ini berlangsung dari jangkamasa 14 hari hingga 6 bulan. Lima kajian telah melibatkan pesakit dengan fasa aktif; tiga melibatkan pesakit dalam fasa remisi; dan satu kajian tidak melaporkan maklumat ini. Dalam kebanyakan kajian, pesakit terus mengambil ubat kolitis ulseratif seperti biasa.

Dua kajian membandingkan prebiotik dengan rawatan palsu (plasebo) bagi induksi kepada fasa remisi. Tiada maklumat mengenai kadar kesan sampingan. Kami tidak tahu sama ada prebiotik memberi kesan kepada mana-mana hasil kajian yang kami cari kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Dua kajian membandingkan beberapa dos prebiotik yang berbeza untuk induksi kepada fasa remisi. Kami tidak tahu sama ada prebiotik memberi mana-mana hasil kajian yang kami cari kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Satu kajian membandingkan prebiotik diambil bersama terapi anti-radang dengan penggunaan terapi anti-radang sahaja bagi induksi kepada fasa remisi. Tiada maklumat tentang remisi, kualiti hidup, kesan sampingan atau kadar penarikan diri disebabkan oleh kesan-kesan sampingan. Kami tidak tahu sama ada prebiotik memberi kesan kepada mana-mana hasil kajian yang kami cari kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Tiga kajian membandingkan prebiotik dengan rawatan palsu (plasebo) untuk remisi yang berterusan. Ada kemungkinan tiada perbezaan dalam kadar penyakit berulang antara rawatan menggunakan prebiotik dan rawatan palsu(plasebo). Prebiotik mungkin menyebabkan lebih banyak kesan sampingan daripada rawatan plasebo. Kami tidak tahu sama ada prebiotik memberi kesan kepada mana-mana hasil kajian yang kami cari kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Satu kajian membandingkan rawatan prebiotik dengan rawatan prebiotik diambil bersama probiotik untuk remisi yang berterusan. Tiada maklumat tentang peyakit yang berulang, aktiviti penyakit, keradangan atau kadar kesan sampingan. Kami tidak tahu sama ada prebiotik memberi kesan kepada mana-mana hasil kajian yang kami cari kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Satu kajian membandingkan prebiotik dengan probiotik untuk remisi yang berterusan. Tiada maklumat tentang peyakit yang berulang, aktiviti penyakit, keradangan atau kadar kesan sampingan. Kami tidak tahu sama ada prebiotik memberi kesan kepada mana-mana hasil kajian yang kami cari kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Apakah batasan bukti?

Kebanyakkan bukti adalah berkualiti sangat rendah dan rendah. Ini adalah disebabkan oleh cara kajian dijalankan dan bagaimana keputusan dilaporkan. Selain itu, hanya sejumlah kecil pesakit terlibat dengan kajian ini termasuklah untuk kebanyakan hasil yang kami teliti.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga Jun 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (International Medical University). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information