Mesej utama
‐ Apabila digunakan dalam tetapan pesakit luar, antikoagulan (pencair darah) mungkin mengurangkan tromboembolisme vena (VTE) dan embolisme pulmonari (PE) jika dibandingkan dengan plasebo atau tiada rawatan pada penghidap COVID-19. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini nampaknya mempunyai sedikit atau tiada kesan dalam mengurangkan kematian, pendarahan teruk, keperluan untuk dimasukkan ke hospital, atau kejadian buruk.
Apakah itu VTE?
Tromboembolisme vena, yang merangkumi kedua-dua trombosis vena dalam (DVT) dan PE, ialah keadaan di mana bekuan darah terbentuk dalam vena dan boleh bergerak ke lokasi lain (cth. paru-paru). DVT berlaku apabila bekuan darah terbentuk di dalam vena dalam dan menghalang aliran darah. PE berlaku apabila (sebahagian daripada) bekuan darah terlepas dari vena dalam dan berada di dalam saluran darah paru-paru, lalu menyekat bekalan darah paru-paru.
Bagaimanakah COVID-19 dan VTE berkaitan?
COVID-19 biasanya menjejaskan paru-paru dan saluran udara; namun, selain daripada masalah pernafasan, kira-kira 19% daripada orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 mengalami masalah dengan saluran darah mereka, menyebabkan pembekuan darah terbentuk dalam arteri, vena dan paru-paru.
Bagaimanakah VTE dirawat dan bagaimanakah VTE boleh dicegah pada orang yang berisiko?
Rawatan awal termasuk ubat-ubatan seperti antikoagulan untuk mencegah pembentukan bekuan darah baru selanjutnya. Pesakit juga boleh menerima stoking mampatan dan penjagaan klinikal (cth. senaman fizikal, penghidratan kulit dan terapi fizikal). Antikoagulan seperti rivaroxaban dan apixaban bertindak dengan menghalang unsur-unsur darah yang terlibat dalam pembentukan bekuan darah. Atas sebab ini, ia juga digunakan untuk menghalang pembekuan darah daripada terbentuk pada orang yang dianggap berisiko, seperti orang yang mempunyai COVID-19. Ini dikenali sebagai rawatan profilaksis. Walau bagaimanapun, penggunaan antikoagulan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pendarahan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada pemberian antikoagulan kepada orang dengan COVID‐19 yang tidak dirawat di hospital mengurangkan jumlah kematian atau pembekuan darah baru berbanding dengan orang yang menerima plasebo (ubat yang kelihatan serupa tetapi tanpa sifat aktif) atau tiada intervensi; dos yang berbeza atau formulasi antikoagulan yang sama; agen antiplatelet (ubat yang menghalang pembekuan darah daripada terbentuk); atau rawatan bukan ubat. Kami juga ingin mengetahui kesan antikoagulan terhadap keperluan untuk dimasukkan ke hospital; pendarahan teruk atau kejadian buruk; dan kualiti hidup.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian, memberi keutamaan kepada kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), yang menilai antikoagulan profilaksis yang diberikan kepada orang yang mempunyai COVID-19 dalam tetapan pesakit luar, berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan , dos yang berbeza bagi antikoagulan yang sama, atau agen antiplatelet. Kami mengumpulkan keputusan apabila sesuai.
Apakah yang telah kami temui?
Keputusan adalah berdasarkan lima kajian dengan 1777 peserta dari Amerika Syarikat, Switzerland, Jerman, Belgium, Brazil, India, Afrika Selatan, Sepanyol, dan UK. Dua kumpulan besar peserta telah dikaji: mereka yang mempunyai COVID-19 yang tidak memerlukan kemasukan ke hospital, dan orang yang mempunyai COVID-19 yang telah discaj dari hospital. Lima kajian membandingkan antikoagulan berbanding plasebo atau tiada rawatan, dan satu kajian juga membandingkan antikoagulan profilaksis dengan dos berbeza antikoagulan yang sama serta ejen antiplatelet. Setiap perbandingan menyiasat kesan antikoagulan pada kematian, VTE, pendarahan teruk, keperluan untuk dimasukkan ke hospital, dan kejadian buruk.
Kami mempunyai keyakinan yang rendah bahawa antikoagulan profilaksis berbanding plasebo atau tiada rawatan untuk orang bukan hospital dengan COVID-19 mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas mengurangkan risiko kematian atau kejadian buruk. Antikoagulan prophylactic mungkin mengurangkan risiko VTE; 50 pesakit perlu dirawat untuk mengelakkan satu kejadian VTE.
Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kemasukan ke hospital antara orang yang menerima antikoagulan profilaksis dan mereka yang menerima dos berbeza antikoagulan yang sama. Selain itu, antikoagulan profilaksis mungkin membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan dalam mengurangkan VTE jika dibandingkan dengan agen antiplatelet.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti oleh kerana isu dengan kaedah dan saiz kajian. Pada masa hadapan, kajian berkualiti tinggi mungkin menghasilkan data yang penting, terutamanya mengenai hasil seperti kematian, DVT dan PE.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga 18 April 2022.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my