Mesej utama
Pengambilan steroid dalam bentuk tablet atau sirap (melalui mulut) mampu memberikan sedikit atau tiada impak pada pendengaran dan kualiti hidup kanak-kanak dengan telinga rekat. Steroid boleh mengurangkan bilangan kanak-kanak yang menghidapi telinga rekat selepas 6 ke 12 bulan, tetapi kami tidak pasti seberapa besar pengurangan ini.
Menggunakan semburan steroid nasal juga boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan pada pendengaran atau kualiti hidup, walaupun buktinya tidak begitu kukuh. Tidak jelas sama ada steroid nasal mempengaruhi bilangan kanak-kanak dengan telinga rekat selepas susulan jangka panjang.
Disebabkan oleh kekurangan bukti yang kukuh, sukar untuk mengetahui seberapa ramai individu yang mungkin mengalami kemudaratan daripada rawatan ini. Walau bagaimanapun, apabila steroid oral digunakan untuk keadaan lain dan untuk jangka masa yang berpanjangan, kesan sampingan seperti kelesapan tulang boleh berlaku. Potensi kemudaratan ini perlu diambil kira apabila menentukan sama ada perlu menggunakan rawatan ini atau tidak.
Apakah itu OME?
Telinga rekat (atau ‘otitis media berefusi’, OME) ialah keadaan yang biasa terjadi dalam kalangan kanak-kanak. Cecair terkumpul di telinga tengah, menyebabkan gangguan pendengaran. Disebabkan oleh pendengaran yang lemah, kanak-kanak boleh mengalami masalah tingkah laku dan kelewatan dalam perkembangan pertuturan mereka.
Bagaimanakah OME dirawat?
Kebanyakan masanya, OME tidak memerlukan sebarang rawatan dan gejalanya akan beransur baik. Dalam kalangan kanak-kanak dengan OME yang berterusan, rawatan berlainan telah diterokai termasuklah menggunakan ubatan atau pembedahan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada steroid lebih baik berbanding plasebo (rawatan palsu) atau tiada rawatan bagi kanak-kanak penghidap OME.
Kami juga ingin melihat sekiranya terdapat sebarang kesan yang tidak dikehendaki yang berkaitan dengan pengambilan steroid.
Apakah yang telah kami laksanakan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan steroid yang diambil dalam bentuk tablet atau semburan nasal dengan plasebo atau tiada rawatan bagi kanak-kanak penghidap OME. Kami telah membandingkan dan merumuskan hasil kajian serta menilai tahap keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami dapati?
Kami menemui 26 kajian yang melibatkan 2770 kanak-kanak.
Steroid oral dibandingkan dengan plasebo
Kami mendapati bahawa steroid oral mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap bilangan kanak-kanak yang mempunyai pendengaran normal selepas susulan satu tahun. Pendengaran normal dikesan dalam 69.7% kanak-kanak yang menerima steroid dan 61.1% kanak-kanak yang menerima plasebo. Terdapat juga kemungkinan yang sangat sedikit atau tiada perbezaan wujud dalam kualiti hidup (berkaitan dengan telinga rekat) antara kedua-dua kumpulan tersebut.
Bukti menunjukkan bahawa steroid oral mungkin mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai telinga rekat selepas 6 ke 12 bulan susulan, tetapi hasil daripada kajian adalah sangat berbeza - oleh itu kami tidak tahu seberapa besar tahap pengurangan tersebut. Bukti mengenai kesan sampingan steroid oral tidak kukuh. Berdasarkan bukti dalam ulasan ini, kami tidak dapat menentukan kemungkinan berlakunya kesan sampingan.
Steroid oral dibandingkan dengan tanpa rawatan
Kami menemui kurang kajian yang berkaitan dan tiada maklumat berkenaan pendengaran atau kualiti hidup. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan kanak-kanak yang masih mempunyai telinga rekat (74.5% kanak-kanak yang menerima steroid, berbanding 73% daripada mereka yang tidak menerima rawatan) selepas tempoh sehingga sembilan bulan. Sekali lagi, bukti berkenaan kesan sampingan tidak kukuh.
Steroid nasal dibandingkan dengan plasebo
Kami tidak pasti sama ada steroid nasal mempunyai sebarang kesan terhadap pendengaran disebabkan bukti yang tidak kukuh. Steroid nasal boleh memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kualiti hidup selepas sembilan bulan susulan. Kami tidak pasti sekiranya steroid nasal mempengaruhi bilangan kanak-kanak dengan telinga rekat berterusan sehingga satu tahun kerana bukti daripada dua kajian adalah bercanggah. Kami tidak pasti sama jika mungkin terdapat risiko kemudaratan berkaitan rawatan ini kerana kajian tidak melaporkan kesan sampingan dengan jelas.
Steroid hidung dibandingkan dengan tanpa rawatan
Kami hanya mempunyai maklumat tentang pendengaran sehingga empat minggu susulan yang mungkin tidak cukup lama untuk benar-benar menilai rawatan ini. Namun begitu, pada peringkat ini, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam pendengaran antara kanak-kanak yang menerima steroid nasal dengan kanak-kanak tanpa rawatan. Kami juga tidak pasti sekiranya steroid nasal mempengaruhi bilangan kanak-kanak dengan telinga rekat selepas lapan minggu. Kami tidak mengenal pasti sebarang maklumat mengenai kualiti hidup atau kesan sampingan rawatan daripada kajian-kajian ini.
Apakah batasan bukti?
Kajian-kajian tersebut menggunakan banyak jenis ubatan yang berbeza untuk jangka masa yang berbeza. Kami tidak tahu sekiranya sesetengah daripadanya mungkin lebih berkesan berbanding yang lain. Kami tidak mempunyai bukti yang bagus berkenaan kesan sampingan rawatan tersebut, tetapi rawatan ini boleh menyebabkan masalah untuk sesetengah kanak-kanak.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat Januari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Adzrie Azman. Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).