Mesej utama
• Ibuprofen mungkin mengurangkan keamatan kesakitan selepas pembedahan sehingga dua jam berbanding dengan plasebo (ubat palsu) dan dibandingkan dengan paracetamol. Bukti berbanding dengan ubat-ubatan lain dan dalam jangka masa panjang adalah tidak jelas atau kurang.
• Secara keseluruhannya, kami tidak pasti tentang kesan tidak diingini ibuprofen, terutamanya kesan tidak diingini yang serius, kerana kajian dalam ulasan jarang mengukurnya.
• Kajian masa depan harus meneliti ibuprofen berbanding dengan ubat-ubatan yang biasa digunakan dan mengukur manfaat dan kesan tidak diingini untuk penggunaan jangka pendek dan panjang.
Mengapa pengurusan kesakitan penting?
Adalah biasa bagi kanak-kanak mengalami kesakitan selepas pembedahan (kesakitan pasca pembedahan). Kesakitan menyebabkan penderitaan dan kegelisahan dan boleh melambatkan pemulihan. Salah satu cara untuk menguruskan kesakitan pada kanak-kanak adalah dengan menggunakan pelbahgai ubat, contohnya, ibuprofen. Ibuprofen ialah sejenis ubat yang dipanggil ‘ubat anti-radang bukan steroid’ (NSAID) yang boleh mengurangkan keradangan dan kesakitan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada ibuprofen adalah rawatan kesakitan yang berkesan dan sama ada ia menyebabkan kesan tidak diingini berbanding dengan rawatan kesakitan lain. Juga, cara paling berkesan untuk memberikan ibuprofen kepada kanak-kanak.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan ibuprofen dengan pilihan rawatan lain untuk kesakitan pasca pembedahan serta kajian yang meneliti pelbagai cara untuk memberikan ibuprofen kepada kanak-kanak. Kami merumuskan keputusan-keputusan ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti-bukti tersebut.
Apakah yang telah kami temui?
Kami mendapati 43 kajian dengan 4265 kanak-kanak dengan kesakitan pasca pembedahan. Kami menggunakan data daripada 3935 kanak-kanak dalam ulasan ini. Kajian terbesar memasukkan 741 kanak-kanak dan yang terkecil memasukkann 23 kanak-kanak. Kajian telah dijalankan di banyak negara di seluruh dunia; kebanyakkanya dijalankan di Amerika Syarikat (12 kajian). Umur kanak-kanak berjulat antarai 2.2 bulan hingga 17 tahun. Kajian menggunakan ibuprofen untuk menguruskan kesakitan pasca pembedahan dalam 10 jenis pembedahan berbeza: kebanyakannya prosedur pergigian (21 kajian); dan prosedur telinga, hidung dan tekak (11 kajian).
Keputusan utama
Berbanding dengan plasebo (ubat tiruan), ibuprofen mungkin mengurangkan keamatan kesakitan dalam masa kurang daripada dua jam selepas pembedahan dan mungkin mengurangkan keamatan kesakitan sehingga 24 jam. Kami tidak pasti mengenai perbezaan untuk sebarang kesan tidak diingini . Tiada kajian melaporkan kesan tidak diingini yang serius, seperti ketidakupayaan berpanjangan atau kemasukan ke hospital.
Berbanding dengan paracetamol , ibuprofen mungkin mengurangkan keamatan kesakitan kurang daripada dua jam selepas pembedahan dan mungkin mengurangkan keamatan kesakitan sehingga 24 jam. Kami tidak pasti mengenai perbezaan untuk sebarang kesan tidak diingini . Tiada kajian melaporkan kesan tidak diingini yang serius, seperti ketidakupayaan berpanjangan atau kemasukan ke hospital. Berbanding dengan paracetamol, ibuprofen mungkin menyebabkan sedikit perbezaan kepada kemungkinan pendarahan.
Berbanding dengan morfin , ibuprofen mungkin mengurangkan laporan sebarang kesan tidak diingini.
Berbanding dengan ketorolac , ibuprofen mungkin mengurangkan kemudaratan secara keseluruhan.
Tiada kajian melaporkan keamatan kesakitan atau kesan tidak diingini yang serius, seperti kecacatan kekal atau kemasukan ke hospital untuk morfin atau ketorolac.
Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan pelbagai kaedah pemberian ibuprofen.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak pasti tentang bukti keseluruhan penggunaan ibuprofen dalam kesakitan pasce pembedahan pada kanak-kanak, terutamanya kerana tiada kajian besar yang mencukupi untuk memastikan sebarang perbezaan ibuprofen berbanding dengan alternatif lain . Selain itu, hanya beberapa kajian yang memberikan data tentang manfaat penting dan kesan tidak diingini bagi kanak-kanak yang mengalami kesakitan selepas pembedahan, terutamanya dalam jangka masa panjang.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Ogos 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia).