Apakah manfaat dan risiko vaksin untuk mencegah COVID-19?

Mesej utama

– Kebanyakan vaksin mengurangkan, atau mungkin mengurangkan, bilangan orang yang mendapat penyakit COVID-19 dan penyakit COVID-19 yang teruk.

– Banyak vaksin berkemungkinan meningkatkan bilangan orang yang mengalami kejadian seperti demam atau sakit kepala berbanding plasebo (vaksin palsu yang tidak mengandungi ubat tetapi kelihatan sama dengan vaksin yang diuji). Ini dijangka kerana kejadian ini terutamanya disebabkan oleh tindak balas badan terhadap vaksin; ia biasanya ringan dan berjangka pendek.

– Banyak vaksin mempunyai sedikit atau tiada perbezaan dalam insiden kejadian buruk yang serius berbanding plasebo.

– Tiada bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada terdapat perbezaan antara vaksin dan plasebo dari segi kematian kerana bilangan kematian adalah rendah dalam ujian.

– Kebanyakan ujian menilai keberkesanan vaksin dalam masa yang singkat, dan tidak menilai keberkesanan terhadap varian COVID yang menjadi kebimbangan.

Apakah SARS-CoV-2 dan COVID-19?

SARS-CoV-2 (gejala pernafasan akut teruk coronavirus 2) ialah virus yang menyebabkan penyakit COVID-19. Tidak semua orang yang dijangkiti SARS-CoV-2 akan mengalami gejala COVID-19. Gejala boleh menjadi ringan (contohnya demam dan sakit kepala) hingga mengancam nyawa (contohnya kesukaran bernafas), atau kematian.

Bagaimanakah vaksin mencegah COVID-19?

Walaupun vaksin berfungsi dengan cara yang sedikit berbeza, semuanya menyediakan sistem imun badan untuk menghalang orang daripada dijangkiti SARS-CoV-2 atau, jika mereka dijangkiti, untuk mencegah penyakit yang teruk.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sejauh mana setiap vaksin berfungsi dalam mengurangkan jangkitan SARS-CoV-2, penyakit COVID-19 dengan gejala, penyakit COVID-19 yang teruk, dan jumlah kematian (termasuk sebarang kematian, bukan yang berkaitan dengan COVID-19 sahaja).

Kami ingin mengetahui tentang kejadian buruk yang serius yang mungkin memerlukan kemasukan ke hospital, mengancam nyawa, atau kedua-duanya; kejadian reactogenicity sistemik (tindak balas jangka pendek segera terhadap vaksin terutamanya disebabkan oleh tindak balas imunologi; contohnya demam, sakit kepala, sakit badan, keletihan); dan sebarang kejadian buruk (termasuk kejadian buruk yang tidak serius).

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji mana-mana vaksin COVID-19 berbanding plasebo, tiada vaksin, atau vaksin COVID-19 yang lain.

Kami memilih hanya ujian rawak (reka bentuk kajian yang memberikan bukti yang paling kukuh kerana ia menilai intervensi di bawah keadaan yang ideal dalam kalangan peserta yang diagih secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan). Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti cara kajian dijalankan.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 41 kajian di seluruh dunia melibatkan 433,838 orang yang menilai 12 vaksin berbeza. Tiga puluh lima kajian menyertakan hanya orang yang sihat yang tidak pernah menghidap COVID-19. Tiga puluh enam kajian menyertakan hanya orang dewasa, dua remaja, dua kanak-kanak dan remaja, dan satu menyertakan remaja dan dewasa. Tiga mengkaji orang dengan sistem imun yang lemah, dan tiada yang mengkaji wanita hamil.

Kebanyakan kes menilai keputusan kurang daripada enam bulan selepas vaksinasi utama. Kebanyakannya menerima pembiayaan bersama daripada institusi akademik dan syarikat farmaseutikal. Kebanyakan kajian membandingkan vaksin COVID-19 dengan plasebo. Lima menilai penambahan dos penggalak 'campur dan padan'.

Keputusan utama

Kami melaporkan keputusan di bawah untuk tiga hasil utama dan untuk 10 vaksin yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (untuk hasil dan vaksin yang selebihnya, lihat teks utama). Tiada bukti yang mencukupi mengenai kematian antara vaksin dan plasebo (terutamanya kerana bilangan kematian adalah rendah), kecuali vaksin Janssen, yang mungkin mengurangkan risiko kematian semua sebab.

Orang yang mempunyai gejala

Vaksin Pfizer, Moderna, AstraZeneca, Sinopharm-Beijing, dan Bharat menghasilkan pengurangan besar dalam bilangan orang yang mempunyai gejala COVID-19.

Vaksin Janssen mengurangkan bilangan orang yang mempunyai gejala COVID-19.

Vaksin Novavax mungkin menghasilkan pengurangan besar dalam bilangan orang yang mempunyai gejala COVID-19.

Tiada bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada vaksin CoronaVac memberi kesan terhadap bilangan orang yang mempunyai gejala COVID-19 kerana keputusan berbeza antara dua kajian (satu hanya melibatkan pekerja kesihatan dengan risiko pendedahan yang lebih tinggi).

Penyakit yang teruk

Vaksin Pfizer, Moderna, Janssen, dan Bharat menghasilkan pengurangan besar dalam bilangan orang yang mempunyai penyakit yang teruk.

Tiada bukti yang mencukupi tentang vaksin CoronaVac terhadap penyakit yang teruk kerana keputusan berbeza antara dua kajian (satu hanya melibatkan pekerja kesihatan dengan risiko pendedahan yang lebih tinggi).

Kejadian buruk yang serius

Bagi vaksin Pfizer, CoronaVac, Sinopharm-Beijing, dan Novavax, tiada bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada terdapat perbezaan antara vaksin dan plasebo terutamanya kerana bilangan kejadian buruk yang serius adalah rendah.

Vaksin Moderna, AstraZeneca, Janssen, dan Bharat mungkin mengakibatkan tiada atau sedikit perbezaan dalam bilangan kejadian buruk yang serius.

Apakah batasan bukti?

Kebanyakan kajian menilai vaksin untuk masa yang singkat selepas suntikan, dan tidak jelas sama ada dan bagaimana perlindungan vaksin berkurangan dalam jangka masa lama. Disebabkan oleh kriteria pengecualian kajian vaksin COVID-19, hasil kajian tidak boleh digeneralisasikan kepada wanita hamil, orang yang mempunyai sejarah jangkitan SARS-CoV-2, atau orang yang mempunyai sistem imun yang lemah. Lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan untuk membandingkan vaksin dan jadual vaksin, dan keberkesanan dan keselamatan dalam populasi dan hasil tertentu (contohnya mencegah COVID-19 yang lama). Selanjutnya, kebanyakan kajian telah dijalankan sebelum kemunculan varian yang dibimbangi.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga November 2021. Ini adalah ulasan sistematik yang berterusan. Keputusan kami sedia ada dan dikemas kini setiap dua minggu pada platform COVID-NMA di covid-nma.com.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information