Mesej utama
• Kini, kita masih tidak tahu bila untuk menghentikan pemberian kafein kepada bayi pramatang.
• Jika kita menghentikan kafein terlalu awal, bayi mungkin mengalami episod singkat yang kekadang berulang-ulang, tahap oksigen yang lebih rendah dalam darah.
• Kita perlu melaksanakan lebih banyak kajian untuk mengetahui waktu yang terbaik untuk menghentikan pemberian kafein kepada bayi pramatang.
Mengapakah kafein diberikan kepada bayi pramatang?
Kafein merupakan ubat perangsang yang digunakan untuk mencegah dan merawat apnea – apabila pernafasan berhenti dan bermula secara berulang-ulang – seorang bayi pramatang. Kafein juga nampaknya mengurangkan episod hipoksia berjeda - kejadian apabila paras oksigen darah menurun dengan pesat. Kafein mengurangkan risiko bayi yang memerlukan pengudaraan mekanikal (terapi yang membantu atau mengambil alih pernafasan spontan) untuk menyediakan oksigen tambahan yang mencukupi . Ia menambahbaik perkembangan paru-paru, menurunkan risiko kecederaan paru-paru kronik, dan menambahbaik kualiti hidup bayi pramatang.
Bilakah kafein diberikan?
Kafein diberikan kepada bayi pramatang, tetapi kini tiada garis panduan yang jelas tentang masa yang paling tepat untuk memulakannya. Beberapa kajian menemui faedah terbaik apabila dimulakan dalam tempoh tiga hari pertama kehidupan.
Tiada panduan yang jelas juga tentang masa untuk menghentikan pemberian kafein. Sesetengah penyelidik menghentikannya berdasarkan masa pasca-haid, iaitu bersamaan dengan usia bayi, dikira dari hari pertama kitaran haid terakhir si ibu. Yang lain berhenti apabila bayi tidak bergejala selama lima hari atau lebih.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui waktu terbaik untuk menghentikan kafein. Kami mengukurnya berdasarkan keperluan menyambung semula terapi, keperluan untuk pengudaraan mekanikal, bilangan serangan apnea atau hipoksia berjeda, kelangsungan hidup, perkembangan otak pada peringkat bayi dan kanak-kanak, dan tempoh serta kos tinggal di hospital.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan:
• pemberhentian pemberian kafein pada usia pasca-haid yang berbeza;
• pemberhentian kafein pada usia pasca-haid yang sudah ditentukan atau selepas suatu tempoh yang bebas gejala;
• pemberhentian kafein selepas tempoh bebas gejala yang berbeza (selama lima hari atau lebih).
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor, seperti kaedah kajian dan saiz sampel.
Apakah yang kami temui?
Kami menyertakan tiga kajian yang melibatkan 392 bayi pramatang, dengan usia kehamilan berkisar antara 26 dan 33 minggu. Mereka dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan di mana rawatan kafein dihentikan ataupun tetap diteruskan.
Dua kajian membandingkan pemberhentian kafein pada usia pasca-haid yang tertentu dengan apabila bayi sudah bebas gejala. Satu kajian membandingkan pemberhentian kafein pada dua umur pasca-haid yang berbeza . Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan pemberhentian kafein selepas tempoh bebas gejala yang berbeza.
Menghentikan kafein pada usia pasca-haid yang berbeza
• Menghentikan kafein lebih awal (sebelum 35 minggu umur pasca-haid) boleh meningkatkan bilangan episod hipoksemia berjeda dalam tempoh tujuh hari selepas pemberhentian, berbanding dengan pemberhentian yang lewat.
• Menghentikan kafein lebih awal (sebelum 35 minggu umur selepas haid) boleh memberi sedikit hingga tiada perbezaan dalam jumlah kematian sebelum keluar dari hospital berbanding dengan pemberhentian yang lewat.
• Bukti adalah sangat tidak pasti tentang sama ada terdapat sebarang perbezaan dalam kesan tidak diingini antara pemberhentian kafein awal atau lewat.
Menghentikan kafein apabila bayi bebas gejala (awal) atau pada usia pasca-haid yang tertentu (lewat)
• Menghentikan kafein awal boleh menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam bilangan bayi dengan apnea dalam tempoh tujuh hari selepas pemberhentian, berbanding pemberhentian lewat.
• Menghentikan kafein awal mungkin menyebabkan lebih ramai bayi mengalami episod hipoksia berjeda dalam jangka masa tujuh hari selepas pemberhentian, berbanding pemberhentian lewat.
• Menghentikan kafein awal boleh memberi sedikit hingga tiada perbezaan dalam bilangan kematian sebelum discaj, berbanding pemberhentian lewat.
• Bukti adalah sangat tidak pasti tentang sama ada terdapat sebarang perbezaan dalam kesan tidak diingini antara pemberhentian kafein awal atau lewat.
Tiga kajian masih berlangsung.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana bilangan bayi yang dikaji untuk setiap hasil adalah kecil. Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan pemberhentian kafein selepas tempoh bebas gejala yang berbeza. Akhirnya, bukti tidak merangkumi semua hasil yang kami minati.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga Ogos 2023.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya, RCSI). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).